Berita Sosial

Ujian Ketahanan Pelajar UiTM Bertukar Jadi Tragedi, Mak Ayah Lihat Dari Jauh Di Katil Zon Merah Sebelum Anak Meninggal Dunia

Share

Siapa sangka, ujian ketahanan pelajar UiTM, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal bertukar tragedi apabila dia rebah ketika menyertai Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka di sini pada 4 September lalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

Ujian Ketahanan Pelajar UiTM Bertukar Jadi Tragedi

Pelajar berusia 21 tahun dari UiTM Kampus Seremban itu menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh kira-kira 2 petang semalam.

Bapanya, Mohamad Fellimal Mohd Sulanah, 50, berkata, anaknya yang juga pelajar Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi menyertai cabaran berkenaan dalam dua edisi terdahulu dan berada dalam keadaan sihat sebelum menyertai acara tahun ini.

“Anak saya sangat meminati bidang sukan dan telah membuat persiapan mencukupi untuk menyertai acara ini. Dia berjaya menamatkan cabaran pada dua edisi lalu, malah pasukannya menjadi antara pemenang pada tahun lepas.

“Saya dimaklumkan bahawa anak saya kelihatan lemah apabila semakin menghampiri garisan penamat dalam acara pada Jumaat dan hampir rebah sebelum dikejarkan ke fasiliti perubatan di UiTM Jengka,” katanya.

 

Fellimal berkata, kali terakhir dia berhubung dengan Fadhlan Fakhry adalah menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 6.55 petang pada 4 September dan anaknya berjanji untuk menelefonnya selepas selesai acara ketahanan berkenaan pada sebelah malam.

“Kira-kira jam 11 malam, saya menerima panggilan daripada pegawai UiTM yang memaklumkan bahawa anak saya dibawa ke Hospital Jengka. Saya amat terkejut.

“Ketika saya dan isteri berbincang sama ada mahu bertolak ke Hospital Jengka, saya menerima satu lagi panggilan kira-kira tengah malam memaklumkan anak saya telah dipindahkan ke HOSHAS jadi kami terus bertolak dari Shah Alam dan tiba di sini kira-kira jam 3.30 pagi,”

katanya.

Mak Ayah Lihat Dari Jauh Di Katil Zon Merah Sebelum Anak Meninggal Dunia

Fellimal berkata keluarganya dibenarkan melihat Fadhlan Fakhry dari jarak jauh di katilnya di zon merah, di mana mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat akibat strok haba.

Fellimal yang turut membantu mengendalikan sebuah kelab ragbi komuniti berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Fadhlan Fakhry adalah semasa majlis pentauliahan dan konvokesyen Leftenan Muda Kesatria di UiTM Shah Alam pada 29 Ogos lalu.

“Kami mengambil banyak gambar pada majlis itu dan itulah kenangan terakhir saya serta isteri bersamanya. Dia berada di UiTM selama kira-kira seminggu untuk menjalani latihan dan perbarisan (kawat) sebelum bertolak dari Shah Alam ke UiTM Jengka pada 1 September.

“Anak saya baru sahaja menamatkan pengajian diploma selama tiga tahun dan merancang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah, namun kejadian ini pula berlaku,”

katanya dengan nada sebak.

Selesai prosedur bedah siasat pada 2.30 pagi, jenazah Fadhlan Fakhry dibawa ke Masjid Denai Alam untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina.

Fadhlan Fakhry dipercayai mengalami masalah kesihatan berkaitan haba bersama lapan lagi peserta lain ketika KKEC pada 4 September lalu. Lapan pelajar lain berkenaan dimasukkan ke HOSHAS dan Hospital Jengka untuk menerima rawatan.

Sumber: Harian Metro

Published by
Nadia Mohamad