
70 tahun menua bersama, Tun M pernah kongsi rahsia rumah tangga bahagia bersama Tun Hasmah.
Tun M dan Tun Hasmah meniti perjalanan rumah tangga selama 70 tahun sebelum pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), jam 9.20 minit pagi tadi.
5 Ogos lalu, pasangan ini sempat meraikan ulang tahun perkahwinan ke-70 mereka. Sebuah perjalanan panjang yang bermula sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956. Daripada zaman muda sebagai pelajar perubatan, membina keluarga hinggalah melalui pelbagai fasa kehidupan dan kepimpinan negara, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah kekal menjadi pendamping setia Tun Dr Mahathir baik semasa pentadbiran mahu pun suri hati negarawan ini.
Di sebalik perjalanan rumah tangga yang bertahan selama tujuh dekad, Tun Dr Mahathir pernah berkongsi rahsia perkahwinannya kekal bahagia bersama Tun Dr Siti Hasmah. Bagi negarawan itu, dua perkara menjadi antara kunci utama hubungan mereka iaitu saling menerima keadaan pasangan dan bertoleransi.
Perkongsian lama itu terasa jauh lebih menyentuh hati untuk dikenang kembali hari ini selepas pemergian wanita yang telah menemaninya selama lebih 70 tahun.
Di media sosialnya, Tun Mahathir turut berkongsi wajah isteri tercinta yang menemui penciptanya hari ini.
Dalam wawancara eksklusif oleh The Third Age Media Association dan Bernama News Channel (BNC) di Yayasan Kepimpinan Perdana ketika usia perkahwinan mereka memasuki 64 tahun, Tun Dr Mahathir berkata tiada siapa mampu mengubah sepenuhnya diri pasangan.
Sebaliknya, mereka belajar menerima keadaan masing-masing sebagai salah satu cara untuk membina hubungan yang sihat dan seimbang.
Dengan wajah tersipu-sipu dan senyuman manis, Tun Dr Mahathir yang ketika wawancara dilakukan berusia 93 tahun turut mengenang kehidupan indah mereka ketika muda. Dalam perkongsian itu, beliau mengakui Tun Dr Siti Hasmah menjadi antara tulang belakang kepada kejayaannya.
“Ya, isteri saya selalu berkata di belakang seorang suami yang berjaya ialah seorang isteri, bukan sekadar seorang wanita,” katanya.
Tun Dr Mahathir turut mengakui bahawa seperti pasangan lain, perjalanan rumah tangga mereka bukan tanpa perbezaan dan ketegangan. Namun seiring pertambahan usia, mereka belajar bahawa menerima pasangan seadanya menjadi antara perkara penting dalam mempertahankan sebuah perkahwinan.
“Pada awalnya sudah pasti, semasa kami masih muda, kami ada perbezaan, ketegangan dan semua itu. Tetapi apabila anda bertambah tua anda sedar bahawa anda tidak boleh mengubah banyak diri pasangan anda dan beliau juga tidak boleh mengubah banyak diri saya dan kami belajar untuk saling menerima dan itulah diri sebenar seseorang itu,” katanya.
Selain saling menerima, toleransi menjadi satu lagi kunci utama dalam perkahwinan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.
Tatkala Tun Dr Mahathir menghabiskan banyak masa dalam dunia politik dan pentadbiran negara, Tun Dr Siti Hasmah sentiasa menemaninya walaupun tidak terlibat secara langsung dalam politik.
Kesibukan dan tuntutan tugas menyebabkan ada ketika Tun Dr Mahathir terpaksa meninggalkan isterinya untuk melaksanakan tanggungjawab. Namun bagi beliau, sikap bertolak ansur perlu datang daripada kedua-dua belah pihak.
“Beliau menemani saya dan jika saya terpaksa tinggalkannya kerana saya ada kerja, beliau bertolak ansur dengan saya. Begitu juga saya akan bertolak ansur dengannya bagi perkara tertentu yang beliau lakukan, jadi saya fikir perlu ada toleransi,” katanya.
Tun Dr Mahathir turut menekankan perlunya pasangan mengambil kira perasaan dan masa depan anak-anak ketika berhadapan dengan masalah rumah tangga. Baginya, perpisahan ibu bapa turut memberi kesan kepada kehidupan anak-anak.
“Anak-anak tidak akan mempunyai kehidupan yang baik. Jadi anda perlu prihatin terhadap anak-anak anda,” katanya.
Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah mula mengenali satu sama lain ketika menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura pada 1947 sebelum mendirikan rumah tangga pada 1956.
Daripada dua anak muda yang sama-sama menuntut dalam bidang perubatan, kehidupan membawa mereka melalui sebuah perjalanan yang panjang. Tun Dr Mahathir kemudiannya menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia manakala Tun Dr Siti Hasmah mencipta legasinya sendiri sebagai doktor perubatan dan tokoh kesihatan awam negara.
Di sebalik kedudukan dan pencapaian masing-masing, sisi mereka sebagai suami isteri sentiasa dekat di hati masyarakat. Tun Dr Siti Hasmah dikenali sebagai pendamping yang setia sementara Tun Dr Mahathir sendiri tidak keberatan mengakui peranan besar isterinya sepanjang perjalanan hidupnya.
Pada 5 Ogos 2026, pasangan ini genap 70 tahun mendirikan rumah tangga. Sebuah perjalanan yang merentas tujuh dekad, daripada zaman muda, membesarkan keluarga, melalui jatuh bangun kehidupan hinggalah meniti usia emas bersama.
Hari ini, kata-kata lama Tun Dr Mahathir mengenai rumah tangga mereka terasa lebih menyentuh hati apabila dibaca kembali.
Dua perkara yang kedengaran sederhana namun itulah antara rahsia yang pernah dikongsikan Tun Dr Mahathir mengenai sebuah perkahwinan yang mampu bertahan selama tujuh dekad.
Selepas lebih 70 tahun berkongsi kehidupan, membina keluarga dan melalui begitu banyak episod suka duka bersama kini yang tinggal adalah kenangan tentang sebuah perjalanan panjang termasuk kata-kata Tun Dr Mahathir sendiri mengenai wanita yang selama puluhan tahun setia berada di sisinya.
Selepas 70 tahun menua bersama, perjalanan Tun M dan Tun Hasmah menjadi kisah rumah tangga yang dibina atas penerimaan, toleransi dan sikap saling memahami.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Allahyarham Tun Hasmah akan dikebumikan petang nanti selepas Asar di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.