Trend S-Line, dedah aib sendiri, normalisasi dosa di media sosial. Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) melahirkan rasa gusar terhadap kemunculan trend baharu di media sosial dikenali sebagai ‘S-Line’ yang dikatakan menggalakkan pendedahan aib secara terang-terangan dan bertentangan dengan nilai agama serta budaya masyarakat Timur.
Trend S-Line, Dedah Aib Sendiri, Normalisasi Dosa Di Media Sosial
Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli memaklumkan bahawa trend ini dipercayai mendapat inspirasi daripada sebuah drama Korea dan kini menjadi ikutan ramai, terutamanya dalam kalangan remaja Muslim yang terpengaruh untuk berkongsi pengalaman berkaitan seksualiti secara terbuka dalam platform sosial masing-masing.
Trend tersebut melibatkan tindakan individu melukis garisan merah di atas kepala mereka, yang kononnya melambangkan jumlah pengalaman seksual yang mereka miliki. Semakin banyak garisan, semakin tinggi pengalamannya.
“Ada yang mengaitkan dengan perbuatan zina jika yang melakukan itu belum berkahwin. Meskipun ia kelihatan hanya simbolik, namun realitinya menjurus kepada pendedahan maruah dan mendorong membuka aib secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau turut menegaskan bahawa antara faktor yang menyebabkan trend ini menular adalah perasaan takut ketinggalan atau ‘fear of missing out’ (FOMO), menyebabkan sesetengah pengguna, khususnya golongan muda, sanggup mengetepikan nilai agama dan adab dalam berperilaku serta berpakaian.
“Lebih membimbangkan, trend ini disertai semata-mata kerana pengaruh sosial dan perasaan takut ketinggalan (FOMO) sehingga mengetepikan batas agama serta adab dalam berpakaian dan perilaku,” tambah beliau.
Datuk Mohd Faiz yang juga Yang Dipertua MTPN Terengganu menyeru masyarakat Islam supaya lebih berprinsip dan tidak mudah terikut-ikut dengan arus media sosial yang boleh memudaratkan harga diri. Menurut beliau, Islam sangat menekankan larangan terhadap tindakan mendedahkan aib sendiri, lebih-lebih lagi untuk tatapan umum.
“Masyarakat Muslim khususnya golongan muda dinasihatkan agar lebih berprinsip dan tidak terikut-ikut dengan sebarang trend yang memperdagangkan maruah demi perhatian atau kandungan tular,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pengguna media sosial menggunakan platform tersebut untuk tujuan yang lebih bermakna seperti menyebarkan ilmu, nilai murni serta perkara yang memberi inspirasi kepada orang lain.
“Sebagai pengguna, kita perlu bijak menilai kandungan yang sesuai dikongsi. Maruah bukan untuk dijadikan bahan tontonan atas nama hiburan atau simbolisme kosong,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa peranan aktif ibu bapa, para pendidik serta masyarakat keseluruhannya untuk mendidik anak-anak agar lebih berhati-hati dalam menerima pengaruh luar yang bercanggah dengan ajaran Islam dan nilai budaya setempat.
“Kita di pihak MTPN akan terus komited memberi kesedaran kepada pengguna berkaitan penggunaan media sosial secara beretika, berpaksikan nilai dan tidak merosakkan kesejahteraan sosial,” katanya mengakhiri kenyataan.
Ads
Berikut perkongsian daripada PU Syed tentang isu ini:
Kini wujud satu trend yang membimbangkan dalam kalangan anak muda di Malaysia, iaitu kecenderungan mendedahkan aib sendiri di media sosial. Fenomena ini timbul apabila segelintir remaja terpengaruh dengan sebuah drama Korea adaptasi Webtoon berjudul S-Line.
Dalam drama tersebut, digambarkan seorang pelajar sekolah menengah mempunyai keistimewaan melihat “garis merah” di atas kepala orang lain. Garis ini kononnya melambangkan hubungan seksual yang pernah dialami seseorang – semakin banyak garis, semakin ‘berpengalaman’ individu tersebut.
Trend ini kemudiannya merebak ke media sosial, di mana terdapat anak-anak muda tempatan yang memuat naik gambar mereka dengan ‘garisan merah’ rekaan di atas kepala, seolah-olah bangga dengan sejarah silam mereka atau sekadar meniru budaya yang jelas bertentangan dengan nilai moral dan agama.
Lebih menyedihkan, ada yang menganggap perbuatan ini sebagai satu bentuk keterbukaan atau ‘jujur dengan diri sendiri’, sedangkan hakikatnya ia adalah satu bentuk pendedahan aib yang tidak wajar.
Perlu difahami, aib ialah sesuatu perkara yang kita tidak mahu diketahui oleh orang lain, apatah lagi jika ia berkait dengan dosa dan maksiat. Islam melarang keras umatnya daripada mendedahkan keaiban diri sendiri mahupun orang lain.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu.(Hadis riwayat Bukhari)
Ads
Hadis ini bukan menggalakkan kebebasan tanpa batas, sebaliknya sebagai satu bentuk amaran bahawa sifat malu adalah benteng terakhir seorang Muslim daripada melakukan dosa. Maka apabila seseorang tidak lagi mempunyai rasa malu, segala larangan Allah akan mudah dilanggar.
Allah SWT telah menutup aib kita dengan rahmat-Nya. Maka, mengapa pula kita secara sukarela mendedahkannya kepada orang lain? Jika benar perkara yang dilakukan itu adalah dosa, maka segeralah bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah.
Jangan sesekali mendedahkannya di hadapan umum, kerana pengakuan secara terbuka boleh membawa kepada sabitan hukum syarak jika dilaksanakan undang-undang Islam. Antaranya ialah hukuman sebat 100 kali bagi penzina yang belum berkahwin, dan rejam sehingga mati bagi mereka yang telah berkahwin.
Trend seperti ini bukan sahaja mencemarkan maruah diri, bahkan menjatuhkan maruah keluarga dan umat Islam secara keseluruhan. Janganlah kita normalisasikan perkara mungkar atas nama keterbukaan atau hiburan.
Ingatlah, bukan semua perkara boleh dijadikan ‘content’. Semoga Allah melindungi kita dan zuriat keturunan kita daripada terjebak dengan trend yang merosakkan dan menyalahi syarak ini.
Kadang sebab penat dan nak cepat, mak-mak suka biarkan botol susu yang sudah diguna tak berbasuh. Kalau di rumah ada banyak botol susu spare, lagilah lama maknya biarkan botol susu tak basuh sampai keesokan harinya,
Inilah yang salah dan mak-mak yang baru beranak kecil kena tahu botol susu itulah segala tempat bakteria akan melekat kalau tidak dijaga dengan betul.
Jadi untuk selamatkan anak-anak dari peringkat awal, mak-mak kena rajin dan ikut beberapa cara ini…
1. Terus basuh, kalau malas bilas air
Ini memang kena buat! Kalau dah nampak anak habis minum susu, terus ambil botol dan goncang dengan air dulu. Lagi elok, rendam dengan air suam. Kalau pun malas sangat, pastikan bilas air. Nak basuh esok hari pun, tak kisahlah. Janji susu tak terbiar dalam botol lama sangat. Itu yang boleh berkerak!
2. Sabun khas
Nak basuh botol susu ni tak bolehlah guna pencuci pinggan mangkuk yang sedia ada. Bahaya! Mak-mak perlu sediakan cecair khas untuk mencuci botol bayi. nak jimat, cari yang murah. Janji selamat dan tak ada kesan pada bayi.
3. Leraikan satu-satu
Janganlah cuci botol anak dengan puting melekat pada bekasnya. Leraikan satu-satu dan rendam air panas.
4. Guna berus khas
Berus khas senang untuk ibu basuh bahagian dalam. Senang menghilangkan saki baki susu yang melekat. Teliti sedikit di bahagian puting susu agar ketulan susu tertanggal.
5. Garam
Sedikit sukar untuk cuci bahagian puting susu. Jadi ambil garam dan sapu di bahagian dalam puting susu. Gerakkan ke sekeliling dengan cara memicit dan mengurut hujungnya. Letakkan juga ke dalam botol susu yang kotor dan goncang dengan air. Ini dapat hilangkan saki baki susu dan bau masam susu.
6. Guna jarum
Basuh botol susu dan peralatan lain dengan sempurna di bawah air mengalir. Guna jarum untuk membersihkan lubang-lubang pada puting susu.
7. Sterilkan botol susu anak
Setiap kali selepas cuci, anda kena sterilkan botol susu anak, cara ini untuk bunuh semua bakteria yang mungkin masih ada di dalam botol susu. Rendamkan dalam air panas selama 10 minit selepas dicuci dengan pencuci khas.
8. Jangan basah
Botol yang lembap boleh undang bakteria lebih cepat, jadi seeloknya pastikan botol susu anak kering. Kalau puting susu anak dah berkerak, tukar baru! Nak cepat kering, belilah tempat letak botol susu. Apa salahnya sediakan untuk jaga kesihatan anak.
BARANG PERLU ADA BILA ANAK HISAP SUSU BOTOL
1. Berus khas cuci botol susu anak
2. Sabun pencuci botol anak.
3. Tempat keringkan botol.
Macam Mana Nak Cuci Kalau Botol Dah Berkerak
Sediakan bahan:
Gunakan air panas untuk hasil yang lebih berkesan
Sedikit garam dan beras
Caranya:
1. Masukkan beras ke dalam botol dan isi air panas.
2. Tutup botol dengan penutup dan goncang sampai kerak tak ada.
3. Bilas dengan air sampai cuci.
4. Ulang langkah yang sama untuk garam. Dan kalau nak lebih bersih, mak-mak boleh guna berus botol.
5. Untuk puting pun sama, masukkan beras dan air panas kemudian picit sampai hilang kerak.
Ok, itu sahaja tip penting buat ibu yang baru ada anak, moga bermanfaat buat semua!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan satu masa yang singkat nak menyiapkan banglo idaman. Kisah Zuraida Abd Manaf ,35 dan suami, Mohd Ishak Mohd Idris, 37 berusaha keras nak menyiapkan sebuah banglo idaman untuk mak dari tapak rumah lot lama milik ibu ternyata tak kesampaian. Ini kerana, ibunya telah menghempuskan nafas terakhir tanpa sempat melihat banglo indah hadiah anak dan menantunya.
Sebab itulah mak ayah, walau macam mana mewah atau susah sekali pun diri kita. Belajarlah bersyukur. Sebab semua yang ada di dunia ini sebenarnya bukanlah milik kita. Tapi sementara hidup di dunia lakukanlah amanah yang tuhan berikan ini dengan sebaik-baiknya.
Zuraida sememangnya sejak tinggal di rumah batu asal milik ibu mentuanya itu tak pernah tak sempat menghias kediamannya. Bak katanya “Walaupun luar nampak setinggan dalam rumah macam kondominium.”
Tambahnya, dalam menata hias kediaman, biarlah orang nak kata apa; rumah setinggankah, rumah kampungkah, rumah papan atau rumah bertingkat-tingkatkah. Yang penting perlu kemas dan teratur. Hiaslah ikut kemampuan diri sendiri dan jangan sesekali ikut apa yang orang lain miliki.
Kata Zuraida lagi, “Ibu bapa mentua saya dah uzur masa itu. Mereka bagi kami rumah itu memandangkan kami yang sanggup jaga mereka. Masa itu mak dah sakit kanser arwah mak memang teringin sangat-sangat nak duduk rumah baru.
“Kami pula ingatkan nak kekalkan saja rumah kayu tu sebab memori mentua. Disebabkan keselamatan kami sekeluarga, anai-anai pun dah mula naik. Bimbang rumah timpa kami, saya dan suami nekad runtuhkan semua dengan modal apa yang ada saja.
Ruang yang sama diubah hiasannya.
Simpan Duit Berdikit-dikit, Bina Rumah Berperingkat
“Masa itu semuanya serahkan pada Allah untuk permudahkan segala urusan. Kami minta doa mak dan ayah moga urusan dan niat nak realisasikan impian mak tercapai. Saya dan suami berusaha simpan duit sebaik mungkin untuk bina rumah baru secara berperingkat. Kami mulakan pembinaan hujung tahun 2008-2009 di bahagian belakang bawah saja.”
Kronologi Menyiapkan Rumah
Tahun 2010-2011, ada modal lebih kami naikkan bahagian atas siapkan apa yang terbengkalai.
Tahun 2014, bahagian hadapan kayu pula makin membimbangkan dan anai-anai dah makan bahagian dalam walaupun luarannya masih cantik.
Ketika dalam pembinaan, September 2014 iaitu hampir 85% siap, mak mentua pergi menghadap Ilahi kerana sakit kansernya itu.
Bulan 11, 2014 barulah rumah ni siap sepenuhnya.
“Sekarang, di rumah ini saya jaga ayah yang tak sihat, kena mandikan pakai pampers dan mak saya yang kencing manis dan masih duduk atas kerusi roda. Masa mak mentua masih ada iaitu tahun 2010, saya bawa mak saya tinggal bersama besan sekali. Mudah untuk saya tengok.”
Proses menukar rumah papan menjadi banglo yang indah mengambil masa hampir 11 tahun. Dari tahun 2006 (ketika mula-mula tinggal di situ) sampailah penghujung tahun 2014.
Zuraida ini surirumah sepenuh masa. Manakala suami pula bekerja sendiri. Pasangan ini amalkan cara menyimpan yang konsisten dan tidak membazir. Barangkali juga niat mahu menggembirakan hati ibu itulah Allah permudahkan laluan mereka.
Walaupun mak mentua dapat merasai sebahagian kegembiraan, ketika ini ada emak sendiri yang boleh merasai kediaman indah ciptaan Zuraida dan suami.
Ketika duduk di rumah papan, menghias sudah jadi kebiasaan. Dua tahun sekali saya akan cat bahagian dalam ruang tamu; merah, pink, kelabu, hijau. Sepanjang 8 tahun itu bertukar-tukar warna. Di luar pula catnya bertukar 4 tahun sekali.
Biarlah orang nak kata tadika pun, sebab pemilihan warna car kuning dan oren. Yang penting buat pelan-pelan sikit-sikit ikut bajet seadanya. Sebab itulah sampai ke hari ini proses menyiapkan interior banglonya itu masih terus dilakukan. Kemahiran suami bertukang memudahkan proses menyiapkan rumah dengan lebih menjimatkan kos.
Cara Zuraida Jaga Ayah Mentua, Mak Yang Sakit
1. Diam itu Sabar.
2. Bila suami outstation, ayah mentua tak nak saya mandikan. Dia malu, saya minta bantuan abang ipar yang tinggal sebelah rumah. Keperluan makan minum ayah uruskan dengan sebaiknya.
3. Kalau penat, saya minta suami bawa keluar ambil angin. Minta bantuan abang ipar, jagakan di rumah.
4. Saya tak pergi terlalu lama, dalam 3 ke 4 jam. Sebab ada emak di rumah.
5. Kalau perlu balik kampung atau bercuti, minta bantuan abang atau kakak ipar tengokkan emak. Ambil semula mak sebaik pulang bercuti.
6. Saya dan suami anak bongsu, sudah lumrah ibu bapa lebih selesa dengan yang bongsu. Syukur alhamdulillah, saya boleh terima semua ujian ini.
7. Perlu sentiasa positif daalam kehidupan. Itu lebih bermakna. Saya akan abaikan perasaan-perasaan yang bercelaru dan negatif.
Hebat ujian pelawak, Shuib Sepahtu ini. Memaklumkan perkembangan terbaru isteri, kata Shuib, Siti Sarah ditiarapkan bagi membolehkan oksigen dan paru-parunya boleh bekerjasama.
Selepas melalui pembedahan mengeluarkan bayi pramatangnya, Siti Sarah masih belum sedarkan diri. Dekat 30 jam Sarah koma selepas dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HUKM.
Memandangkan ketika dimasukkan ke ICU, Sarah kena jangkitan Covid-19. Keadaan itu membuatkan paru-parunya banyak terkesan.
Jantungnya juga sudah lemah, berkemungkinan jantungnya banyak bekerja ketika proses mengeluarkan bayinya semalam.
Siti Sarah Ditiarapkan, Ada Sedikit Darah Beku Di Paru-paru
Ketika ini, apa yang mereka harapkan adalah paru-paru Siti Sarah dapat kembali normal dan membekalkan oksigen dalam badan.
“Difahamkan ada sedikit darah beku pada paru-paru.” Doktor juga tidak boleh berbuat apa-apa padanya buat masa sekarang. Kerana Sarah baru saja melalui pembedahan mengeluarkan bayinya.
Tentunya perkembangan ini sedikit sebanyak mengundang resah di hati Shuib. Sehinggakan apabila ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali dia menjadi takut.
Tapi jika tak dijawab, bimbang itu panggilan dari doktor yang mahu memaklumkan perkembangan isterinya.
Rindu Ini Menyakitkan
Tak mudah bagi Shuib yang ketika ini berada di rumah bersama tiga orang anak-anaknya. Sukar baginya untuk melalui setiap saat tanpa kehadiran isterinya itu.
Maka itulah perkongsiannya, ‘rindu ini menyakitkan, Allahuakbar’ Dan tanpa Sarah membuatkan hati menjadi rindu dan sayu.
“Apabila rindu datang, jadi sakit.” Membuatkan jadi sukar untuknya hadapi. Setiap sudut ada bayangan isteri. Jadi teringat-ongat.
“Nak kawal sayu, tapi tak boleh.”
Keadaan itu membuatkan Shuib cuba bercakap dalam hati, kadangkala bercakap sendirian. Harapannya agar didengari isteri.
Sehingga ke hari ini, Shuib tak putus menerima kiriman mesej dan gambar baik dari orang persendirian mahupun anak-anak tahfiz yang membaca Yassin dan doa selamat untuk isterinya.
Akuinya, usaha yang mereka lakukan itu sentiasa mengharukannya malah berterima kasih untuk kiriman doa tersebut. “Ia satu rahmat terlalu besar buat kami.”
“Saya balikkan semua doa kepada mereka. Kepada yang sedang menderita Covid-19, semoga terus tabah. Ini masa kita sama-sama doakan orang lain.”
Mingguan Wanita :Mendoakan agar Siti Sarah kembali sedar dan bayinya dalam keadaan sihat. Semoga Shuib dan anak-anak dapat melalui ujian hebat ini dengan tenang dan dipermudahkanNya.
Seorang lelaki Malaysia maut selepas ditembak di Sungai Golok, Thailand. Mangsa dipercayai terlibat dalam masalah hutang yang membawa kepada tragedi berdarah di sempadan Malaysia-Thailand.