
Seorang kanak-kanak trauma berusia tujuh tahun yang terselamat dalam insiden tragik di Taman Perak, Kulim, kelmarin, dilaporkan masih mengalami tekanan emosi selepas kejadian ngeri yang meragut nyawa ibu serta adik perempuannya itu.
Dalam kejadian sekitar jam 11.05 malam, mangsa dikatakan berjaya melepaskan diri apabila ikatan kain di tubuhnya terlerai. Malangnya, ibunya ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan tergantung di kipas siling, manakala adik perempuannya berusia empat tahun ditemukan tidak bernyawa di atas tilam di bilik berasingan dipercayai dibunuh oleh si ibu sebelum bertindak menamatkan hidup sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad, memaklumkan bahawa pihak Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperoleh maklumat awal daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan Hospital Kulim mengenai waris kepada kanak-kanak trauma
tersebut.Menurut beliau, hasil siasatan awal berjaya mengesan bapa kandung mangsa, yang mengesahkan bahawa anaknya kini masih trauma dan sedang menjalani rawatan lanjut di Hospital Kulim.
Beliau berkata, bapa kandung berkenaan telah menyatakan kesediaan untuk mengambil tanggungjawab menjaga anak itu sebaik sahaja dibenarkan keluar dari hospital.
“Berdasarkan laporan perubatan, kecederaan kanak-kanak itu adalah pada bahagian leher akibat kesan jerutan pada hari kejadian. Pelindung JKM akan melakukan lawatan dan siasatan di rumah bapa kandung untuk pemantauan selepas kanak-kanak trauma
itu dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.Terdahulu, media melaporkan seorang wanita bersama anak perempuannya berusia empat tahun ditemukan maut di dalam rumah mereka di Taman Perak. Polis mengklasifikasikan kejadian berkenaan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Kejadian menyayat hati ini mencetuskan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan mental serta sokongan terhadap keluarga yang berdepan tekanan hidup bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.
Sumber: Berita Harian dan Harian Metro
Artikel lain: Wanita Ditemukan Maut Tergantung Di Kipas Siling Selepas Bunuh Anak 4 Tahun
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE