Tragedi Plaza Tol Bukit Kajang – “Kebiasaannya dia makan bersepah tapi pagi itu makan elok…seolah tahu masanya telah tiba.” “Kami sudah 10 tahun menanti zuriat, tetapi dalam sekelip mata ALLAH uji kami dengan kehilangan seorang daripada anak kembar.”
Itulah kata-kata penuh sebak Amirul Ridzuan Abu Bakar, 39, apabila memaklumkan anak bongsunya, Amir Husayn, meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (Silk), Sabtu lalu.
Dalam insiden kira-kira jam 10.50 pagi itu, kereta yang dipandu isterinya, Nurul Husna Khairuddin, 38, dirempuh sebuah lori hingga menyebabkan bayi berusia setahun empat bulan itu tercampak keluar.
Amirul yang juga pensyarah berada di Kedah atas urusan kerja ketika kejadian, manakala isterinya keluar bersarapan bersama dua anak kembar mereka, Amir Husayn dan Amir Hasan, serta ibu bapa mentua.
“Sekitar jam 10.59 pagi, saya menerima mesej kecemasan daripada telefon isteri. Saya kemudian cuba menghubunginya beberapa kali namun tidak berjawab sebelum ada orang lain yang menjawab panggilan serta memaklumkan isteri saya terlibat dalam kemalangan,” katanya pada Ahad.
Lebih memilukan, Amirul berkongsi bahawa anaknya menunjukkan kelakuan yang berbeza pagi sebelum kejadian.
“Kebiasaannya dia makan bersepah, tetapi pagi itu dia makan elok dan bersungguh-sungguh seolah-olah tahu masanya sudah tiba,” katanya.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Amir Husayn adalah akibat pendarahan dalaman. Amirul dan isteri yang berkahwin pada tahun 2013 menerima kehadiran anak kembar lelaki pada 20 Mei tahun lalu selepas hampir sedekad menanti.
“Amir Husayn lahir 15 saat selepas abangnya, Amir Hasan. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan.
“Kembar seorang lagi masih sihat dan dalam pemantauan pihak hospital. Isteri pula masih bersedih, jadi saya mahu beri ruang kepadanya,” katanya.
Amirul turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama keluarga ketika insiden itu berlaku kerana terikat dengan urusan kerja.
“Saya sedih melihat keadaan isteri, lebih-lebih lagi apabila mengenang anak kami yang telah pergi.
“Saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai mengalami masalah brek. Pemandunya dikatakan sempat melompat keluar sebelum kenderaan itu merempuh tiga kereta lain yang berada di plaza tol berkenaan.
Akibat nahas itu, seorang bayi disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tujuh lagi mangsa cedera dan kini dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang serta KPJ Kajang.
Sumber: Sinar Harian dan Sinar Harian
Artikel lain: Lori Alami Masalah Brek, Bayi Lelaki Maut Dalam Kemalangan Empat Kenderaan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE