Tragedi Kemalangan Van Kilang: Kisah Sebak Suami Terima Mesej Terakhir Isteri

Share

Kisah Sebelum Berlakunya Kemalangan Van Kilang

Seorang lelaki tidak menyangka mesej dihantar isterinya mengenai kucing kesayangan mereka merupakan mesej terakhir daripada wanita itu sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Pengawal keselamatan, Shahrin Not, 50, berkata isterinya, Norehan Abdul Ghani, 50, memaklumkan mengenai haiwan peliharaan mereka itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga kira-kira jam 4 pagi sebelum menaiki van untuk ke tempat kerja.

Dia yang tinggal di Kampung Masjid, Teluk Bahang berkata arwah langsung tidak menunjukkan perubahan sikap dan menjalankan tanggungjawab rumah tangga seperti biasa.

“Ketika saya mendapat panggilan daripada rakan-rakan anak memberitahu isteri terlibat kemalangan, saya ingat kemalangan biasa sahaja.

“Namun selepas mendapat tahu isteri telah meninggal dunia, lembik lutut, rasa tak boleh berdiri. Seperti tidak percaya isteri sudah tiada kerana dia sihat, tak ada sakit apa-apa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Tragedi Kemalangan Van Kilang Di Jalan Mount Erskine

Dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, Norehan maut di lokasi kejadian manakala tujuh lagi cedera parah selepas van kilang yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Jalan Mount Erskine di sini. Kes kemalangan van kilang itu mengejutkan penduduk setempat kerana ia melibatkan ramai pekerja yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Arwah meninggalkan tiga orang anak iaitu Siti Shahida Shahrin, 25; Muhammad Shahidan Shahrin, 23; dan Siti Shahidani Shahrin, 21.

Tujuh mangsa yang cedera parah terdiri daripada seorang lelaki iaitu pemandu van dan enam wanita yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Baru. Kesemua yang terlibat berusia dalam lingkungan 21 hingga 52 tahun.

Kenangan Terakhir Bersama Arwah

Bercerita lanjut, Shahrin yang telah berkahwin dengan arwah isterinya selama 26 tahun berkata dia berasa ralat apabila tidak dapat tidur bersama arwah isterinya kerana tertidur di sofa di ruang tamu.

“Nak jadi cerita, semalam saya tak berapa boleh tidur jadi saya baring di sofa tetapi akhirnya saya tertidur juga. Apabila saya terjaga kira-kira 3.30 pagi, saya nampak arwah dah siap-siap nak pergi kerja.

“Saya tanya dia kenapa nak pergi kerja kerana pada mulanya arwah kata nak ambil cuti pada Isnin dan Selasa. Tetapi arwah kata tak jadi, dia nak cuti Selasa dan Rabu. Saya pun tak fikir apa-apa lah sebab semuanya seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, isterinya bekerja di kilang berkenaan sejak 2004 dan menggunakan perkhidmatan van yang disediakan majikan untuk ke tempat kerja.

“Dulu dia naik bas tetapi apabila pekerja di kawasan Teluk Bahang dan sekitarnya berkurangan, pihak kilang menukar bas kepada van.

“Sejak itu, setiap hari dia akan naik van bersama rakan sekerja untuk ke kilang. Saya betul-betul tak sangka dia akan terkorban dalam perjalanannya untuk ke tempat kerja,” ujarnya.

Reaksi Keluarga Selepas Kemalangan Van Kilang

Sementara itu, Siti Shahidani berkata arwah ibunya tidak menunjukkan perubahan sikap malah mereka sempat menonton televisyen bersama pada malam Ahad.

Tambahnya, dia, kakak dan abangnya tidak sempat berbual dengan ibunya pada pagi Isnin kerana arwah keluar awal untuk ke tempat kerja.

“Ibu langsung tidak menunjukkan perubahan sikap. Kami bergurau ketika menonton televisyen seperti biasa.

“Cuma ibu ada cakap esok (Selasa) nak balik kampungnya di Permatang Bogak, Butterworth. Siapa sangka ibu benar-benar akan ‘pulang’ ke kampungnya pada hari ini kerana jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya sendiri.

“Kami pun tidak pasti lagi bila akan dikebumikan, kemungkinan selepas waktu Asar,” katanya sebak.

Latar Belakang Insiden Kemalangan Van Kilang di Malaysia

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kemalangan van kilang sering mendapat perhatian kerana melibatkan pekerja yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan tersebut. Kejadian seperti ini mengingatkan masyarakat tentang kepentingan aspek keselamatan, penyelenggaraan berkala, serta pematuhan prosedur keselamatan jalan raya. Ramai majikan turut digesa memastikan kenderaan yang digunakan untuk membawa pekerja berada dalam keadaan baik dan selamat.

Tragedi ini sekali lagi menyentuh hati rakyat Malaysia kerana ia bukan sahaja meragut nyawa, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga mangsa. Isu kemalangan van kilang terus menjadi perbincangan hangat dalam usaha meningkatkan keselamatan pekerja di negara ini.

Sumber: Sinar Harian 

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

 

Published by
Has