Kronologi Tragedi Gunung Liang dan Usaha Rakan Mencari Mustaqqeem
Tragedi Gunung Liang yang meragut nyawa pendaki berpengalaman, Mustaqqeem Mansoor, 34, membuka mata ramai pihak tentang bahaya pendakian di kawasan ekstrem dan pentingnya komunikasi dalam kumpulan. Dalam kejadian ini, rakan-rakan arwah tampil menafikan dakwaan tular bahawa mereka meninggalkan Mustaqqeem sendirian di puncak gunung. Malah, mereka menceritakan bagaimana mereka sanggup naik semula tanpa bantuan malim gunung untuk mencari rakan mereka yang hilang.
Muhammad Hafidz Mohd Kamal, 36, rakan karib dan rakan sekerja arwah, menjelaskan bahawa kumpulan mereka tidak pernah berniat meninggalkan Mustaqqeem. Menurutnya, insiden bermula sekitar jam 2 pagi Isnin ketika mereka dalam perjalanan ke puncak selepas melepasi Kem Iguana, salah satu titik pemeriksaan utama laluan Gunung Liang.
“Ketika itu arwah mengadu sakit kaki, jadi saya bantu membawa barangan seperti pakaian basah untuk mengurangkan bebannya. Kami memang perasan dia agak perlahan, tetapi dia masih mampu bergerak bersama malim gunung yang bertugas sebagai sweeper,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Slim River.
Usaha Mencari Mustaqqeem Tanpa Bantuan ‘Guide’
Selepas semua ahli kumpulan tiba di kaki gunung sekitar jam 6.30 pagi Rabu, Mustaqqeem didapati belum turun. Bimbang dengan keadaannya, Hafidz dan seorang lagi rakan, Rafiq, membuat keputusan untuk naik semula ke gunung tanpa menunggu bantuan atau pengiring rasmi.
“Kami beli bekalan makanan dan mula mendaki semula jam 12.45 tengah hari. Kami naik sendiri tanpa guide sebab bimbang masa semakin suntuk. Dalam perjalanan, kami terserempak dengan sweeper yang memaklumkan Mustaqqeem masih mencuba untuk turun dan dalam keadaan baik,” katanya.
Ads
Namun, selepas mencari hampir empat jam di beberapa kawasan seperti Kem 7E dan Lubuk Hantu, mereka gagal menemui sebarang tanda arwah. “Kami jerit panggil nama Mustaqqeem, tapi tiada sahutan. Ribut kuat mula melanda, jadi kami terpaksa berpatah balik,” jelas Hafidz yang masih kelihatan sedih ketika menceritakan pengalaman itu.
Sangkal Dakwaan Tinggalkan Mustaqqeem
Muhammad Hafidz menegaskan bahawa kumpulan mereka tidak pernah meninggalkan Mustaqqeem bersendirian seperti yang didakwa di media sosial. “Kami tunggu di setiap checkpoint selama dua hingga tiga jam. Kami juga cuba hubungi melalui walkie-talkie tapi tiada isyarat. Mana mungkin kami tinggalkan dia,” katanya.
Tambahnya lagi, sebelum kejadian, dia sudah pun membantu membawa barangan arwah bagi memastikan Mustaqqeem dapat bergerak lebih mudah. “Kami tak tahu keadaan arwah semakin teruk. Dia cuma sakit kaki sedikit, itu perkara biasa dalam pendakian,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pendaki, Rafiq, 36, turut menyangkal tuduhan bahawa kumpulan mereka cuai atau tidak bertanggungjawab. “Dalam pendakian, kita saling menunggu. Tak wujud istilah tinggal rakan tanpa sebab. Kami pun buat apa yang terdaya untuk bantu,” katanya.
Ads
Beliau turut menggesa pihak berkuasa agar menilai semula prosedur keselamatan dan peranan malim gunung. “Malim gunung sepatutnya tidak meninggalkan mana-mana peserta, walaupun dalam keadaan lambat atau cedera. Laporan perlu dibuat segera sekiranya ada peserta terpisah,” katanya lagi.
Kronologi Pendakian Gunung Liang
Ekspedisi Trans Slim yang disertai sembilan pendaki termasuk dua wanita dan dua malim gunung bermula pada 11 Oktober dari Bukit Fraser. Kumpulan itu dijadualkan menamatkan pendakian pada Isnin, namun cuaca buruk menyebabkan mereka terpaksa menunda perjalanan keesokan harinya. Mustaqqeem kali terakhir dilihat sekitar jam 10.30 malam di puncak Gunung Liang Barat.
Sehari kemudian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas laporan kehilangan dibuat. Mayat Mustaqqeem akhirnya ditemui oleh pasukan penyelamat di kawasan puncak pada Khamis, dan hasil bedah siasat mengesahkan beliau meninggal dunia akibat hipotermia atau kesejukan melampau.
Pengajaran Dari Tragedi Gunung Liang
Tragedi Gunung Liang ini meninggalkan kesan mendalam kepada komuniti pendaki di Malaysia. Ia menjadi peringatan bahawa faktor cuaca, suhu rendah, dan keletihan boleh menjadi ancaman besar kepada keselamatan. Persiapan rapi, komunikasi yang baik, dan kepatuhan kepada arahan malim gunung adalah kunci utama untuk mengelakkan insiden serupa.
Ads
Rakan-rakan arwah menzahirkan kesedihan mendalam atas kehilangan Mustaqqeem Mansoor, yang disifatkan sebagai seorang pendaki berpengalaman, berhati-hati dan sentiasa membantu rakan lain semasa pendakian. Semangat persahabatan dan pengorbanan rakan-rakannya yang sanggup naik semula tanpa ‘guide’ menjadi bukti kasih dan setiakawan sejati dalam dunia pendakian.
Buat mak-mak yang sering membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman kini mungkin boleh menarik lafaz lega, kerana tidak perlu lagi bersesak-sesak di sepanjang jalan tersebut. Ia berikutan laluan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di Kuala Lumpur dari pusat beli-belah Sogo akan ditutup kepada semua kenderaan kecuali bas mulai 15 Mac ini.
Dijadikan Laluan Bebas Kenderaan
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata,penutupan jalan satu kilometer itu dari Jalan Esfahan sehingga Jalan Melayu dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada orang ramai untuk berurusan di kawasan perniagaan terbabit.
“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan kajian dalam talian berhubung penutupan jalan itu yang mana sebahagian besar responden bersetuju dengan cadangan itu.
“Kita berhasrat menjadikan laluan bermula dari hadapan Sogo sehingga ke Wisma Bandar sebagai laluan bebas kenderaan atau ‘pedestrian mall’ yang mana pengunjung boleh berjalan kaki untuk membeli-belah,” katanya pada sidang media selepas majlis Bicara Makan Tengah Hari sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Putrajaya semalam.Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Cadangan Lokasi Bazar Perayaan
Beliau berkata, jika keadaan berjalan lancar, pihaknya sedia untuk menempatkan peniaga bazar perayaan yang memohon lesen berniaga di Jalan TAR dari DBKL untuk beroperasi di sepanjang laluan yang dikosongkan itu pada Ramadan ini.
Beliau berkata, laluan yang boleh menempatkan sehingga 200 lot tapak perniagaan itu juga akan dibenarkan untuk beroperasi pada musim perayaan lain.
“Kita sedang memperincikan susun atur peniaga, namun yang pasti keputusan ini akan memberikan kelegaan kepada semua pihak kerana dapat menjalankan perniagaan di kawasan lebih luas dan selesa.
“Penempatan hanya membabitkan mereka yang memohon lesen untuk berniaga pada Ramadan manakala peniaga sedia ada dikekalkan di tapak asal,” katanya.
Jaga Kepentingan Kedai Melayu
Khalid berkata, keputusan itu juga diambil bagi menjaga kepentingan kedai Melayu di kawasan tapak lama bazar Ramadan yang mana perniagaan mereka terhalang sepanjang bazar perayaan itu berlangsung.
MW: Semoga penutupan jalan ini nanti lebih memberi keselesaan buat para pengunjung, terutama ketika ada bazar ramadan setiap tahun.
Hidup bermadu tak semuanya diselebungi hubungan yang kelam, perang nak rak bagai mahu kiamat dunia. Tak semua begitu. Ada yang sama-sama saling menjaga hati, tahu batas dan faham tanggungjawab masing-masing.
Isteri Pertama Kongsi Tip Berbaik Dengan Adik Madu
“Macam mana nak baik dengan madu?”
“Saya teringin nak berbaik dengan madu macam puan. Tapi saya tak tau caranya”
“Saya nak berbaik dengan madu , tapi madu tak mahu. Macam mana nak buat kak?”
Kerapkali saya terima soalan-soalan ini.
Memanglah bukan mudah nak sampai begini. Ia bukan usaha sehari dua. Ia adalah satu proses bertahap yang sangat perlu pada IMAN dan SABAR.
3 Asas Bina Hubungan Dengan Madu Ini Jangan Dilanggar
Saya kongsikan 3 asas penting untuk membentuk hubungan yang baik sesama madu.
1. Anggap madu macam adik/kakak sendiri.
Madu itu sudah menjadi sebahagian dari keluarga kita. Sayangi/cintai dia seperti ahli keluarga.
Pegang kata-kata nabi ini baik-baik.
“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menyayangi saudaranya seperti mana dia menyayangi dirinya sendiri” HR Anas Ibnu Malik.
2. Hormati hak madu sebagai isteri kepada suami kita.
Madu sama tarafnya dengan kita. Hak semua isteri adalah sama tidak kira pangkatnya isteri sulung atau bongsu. Tiada terlebih atau terkurang. Hormati hak-haknya sebagaimana kita mahu madu hormat hak-hak kita.
3. Sentiasa bersikap ihsan kepada madu.
Ihsan bermahsud kesempurnaan atau terbaik.
Orang yang kuat ihsannya akan selalu berbuat kebaikan kerana dia mahu redha Allah dan bukan redha makhluk.
“Berbuat baiklah (kepada hamba Allah) seperti mana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah)” Surah al-Qasas, ayat 77
Maqam ihsan yang tertinggi ialah dia sanggup mengurangi haknya untuk diberikan madu atas sebab kasih sayang.
Jika ketiga-tiga asas ini diusahakan, Insya Allah pasti diberikan jalan dan ilham oleh Allah untuk kalian berkasih sayang.
Bagaimana jika madu menolak? Tidak mahu berbaik. Malah terus memusuhi dan menzalimi diri.
Beginilah.
Hati setiap manusia kepunyaan Allah. Kita tiada kuasa untuk mengubah orang lain. Mohonlah padaNya, doakan yang baik-baik untuknya.
Jangan serik berbuat kebaikan. Balas keburukan dengan lebih banyak kebaikan. Sentiasa ingat firman Allah ini dalam Surah Al Isra’ ayat 7 “Kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk faedah diri kamu sendiri”
P/s : Hari ni hari anniversary adik madu Yuyu Yusna & Tuan Suami. Cepat betul masa berlalu. Diam tak diam dah 5 tahun usia perkahwinan mereka berdua. Happy anniversary buat tuan suami dan madu tersayang! Didoakan kalian sentiasa dalam sakinah, mawaddah dan rahmah hingga ke Jannah, aamin.
Usia 47 Tahun Ustazah Norhafizah Dapat Cucu Pertama, Namakan ‘Sara El Latheefa’. Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa,47 personaliti dakwah terkenal berkongsi berita gembira apabila selamat menimang cucu perempuan baru-baru ini. Lebih istimewa, bayi comel tersebut diberi nama, disempurnakan akikah dan telah ditahnik pada hari ketujuh kelahiran mengikut sunnah.
Nama Cucu Sara El Latheefa
Alhamdulillah . Segala puji bagi Allah SWT. Solawat dan salam untuk junjungan Rasulullah SAW.
Hari ini hari ketujuh kelahiran cucunda kami yang tersayang. Alhamdulillah dapat kami sempurnakan Akikah nya, tahniknya dan memberi nama kepada bayi solehah ini pada hari yang ketujuh.
Kami namakan si comel ini dengan nama SARA EL LATHEEFA.
Semoga Jadi Wanita Solehah
Menurut Ustazah Norhafizah juga, maksud di sebalik nama ‘Sara El Latheefa’ memberi makna yang besar, dengan harapan memiliki segala sikap terpuji dan peribadi mulia.
Mudah-mudahan beliau menjadi wanita solehah, cekal, beriman, rupawan, ilmuan, cantik budi pekerti dan dihiasi kelembutan hati nurani dan tutur kata peribadi mulia. Kata Tokwan nya ( @drazahar.yaakub ) makna el- Latheefa itu ialah kelembutan yang memberi impak positif yang besar. Aamiin.
Seluruh ahli keluarga kedua-dua belah pihak @aropothman @alifah.ismail @drazahar.yaakub merafa’kan kesyukuran kepada Allah SWT. Kami mendoakan agar @asyrafmurtadhaa & @sazafieraa dapat menjadi ayah dan ibu yang mithali untuk anak-anak kalian, dididik dengan acuan agama penuh hikmah bijaksana.
Semoga sahabat-sahabat semua sudi mendoakan kebaikan buat keluarga kami dan dijauhkan dari segala kemudaratan. MashaaAllah. La quwwata illa billah.
Ramai yang mengucapkan tahniah di atas kelahiran cucu serta mendoakan semoga bayi tersebut membesar dengan sihat dan menjadi anak solehah.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah, tahniah buat Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa di atas kelahiran cucu pertama. Semoga bayi tersebut membesar dengan sihat dan menjadi anak yang solehah.
Gadis 15 tahun hilang sejak Oktober 2025 dan keluarganya merayu bantuan orang ramai. Baca laporan penuh dan ketahui ciri-ciri Qaseh untuk membantu pencarian.