
rumah sewa
Belum pudar kisah wanita meninggal di rumah sewa angkara kekasih sendiri, padahal gadis itu orangnya sopan santun. Tiada siapa menyangka hubungan cinta yang dibina selama dua tahun akhirnya berakhir dengan satu tragedi yang meruntun jiwa.
Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, seorang ejen insurans berasal dari Padang Terap, Kedah, ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Taman Mahsuri, Jitra selepas dipercayai menjadi mangsa serangan teman lelakinya sendiri.
Arwah dikenali sebagai seorang wanita yang baik, pendiam dan mudah disenangi ramai. Demi memudahkan urusan kerjanya, dia memilih tinggal menyewa bersama beberapa rakan.
Namun, di sebalik wajah yang sentiasa tenang, arwah sebenarnya dikatakan berdepan hubungan cinta yang penuh penderitaan.
Menurut ahli keluarga, teman lelakinya yang berusia 22 tahun mempunyai sikap panas baran, terlalu mengongkong serta cemburu melampau. Sepanjang hubungan mereka, mangsa dikatakan beberapa kali mengadu kepada ibu bapanya bahawa dia sering dipukul dan dikasari.
Malah, keluarga pernah menasihatinya supaya segera mengakhiri hubungan itu kerana bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku.
Malangnya, kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan.
Difahamkan, ketika rakan-rakan serumah keluar bekerja, suspek datang ke rumah mangsa. Pertengkaran dipercayai tercetus sebelum suspek bertindak menyerang mangsa sehingga menyebabkan wanita itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Tragedi tersebut hanya terbongkar kira-kira jam 9.45 malam apabila rakan serumah pulang dan menemui mangsa sudah tidak bernyawa di ruang tamu.
Polis kemudian melancarkan operasi memburu suspek sebelum berjaya menahannya di kediamannya sekitar jam 3 pagi keesokan hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kisah ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa hubungan yang dipenuhi keganasan, penderaan dan sifat mengawal bukanlah tanda kasih sayang.
Kadang-kadang, orang yang paling kita sayang juga mampu menjadi orang yang paling menyakiti kita.
Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beri.