
Tragedi Banjir Taiping Gegar Emosi Warga Maya
“Baca doa yah… tolong… dah sampai ni dah!” — jeritan cemas seorang wanita dalam video tular memperlihatkan detik mencemaskan ketika banjir Taiping melanda kawasan perumahan pada Khamis. Rakaman berdurasi sekitar 19 saat itu memaparkan suasana panik, dengan tangisan dan laungan “Allahuakbar” bergema di tengah limpahan air yang sudah mencecah paras pinggang.
Suasana Panik Saat Air Naik Mendadak
Dalam video berkenaan, seorang lelaki turut kedengaran meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya. “Habislah rumah aku… kesian anak aku ni… aku takut anak aku ni… Allahuakbar,” ujarnya dengan nada sebak. Keadaan banjir Taiping ini jelas menguji ketabahan para mangsa yang cuba menyelamatkan diri.

Detik Sayu Mangsa Banjir Diselamatkan
Gambar yang dikongsi di media sosial turut menunjukkan keadaan menyayat hati apabila seorang lelaki dilihat menggendong bayi kecil tinggi-tinggi sambil bergelut menyelamatkan diri bersama ahli keluarga lain. Beberapa mangsa lain pula terpaksa memanjat bumbung kenderaan untuk berlindung sementara menunggu bantuan tiba. Ramai warganet mengakui sebak menonton video banjir Taiping tersebut yang tular di media sosial.
Bantuan Kecemasan & Pusat Pemindahan Dibuka
Kejadian dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak petang yang menyebabkan air naik mendadak dan melimpah ke kawasan kediaman. Ketika ini, pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang giat menjalankan operasi pemindahan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir Taiping.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Perak, sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sejak jam 7.30 malam bagi menempatkan penduduk yang terjejas. Antara PPS yang beroperasi ialah:
- Dewan Orang Ramai Simpang Halt
- Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong
- Dewan Perdana Trong
- Dewan Serbaguna Masjid Al Wusta Batu 8
- Masjid Ali Rouse
- Sekolah Kebangsaan Simpang
Jumlah keseluruhan mangsa dan keluarga yang dipindahkan masih dalam proses pengiraan dan pemindahan. Sementara itu, di daerah Manjung, PPS Sekolah Sungai Batu, Pantai Remis dibuka pada jam 8 malam bagi menempatkan 180 mangsa daripada 44 keluarga selepas rumah mereka di Kampung Sungai Batu dan Kampung Nelayan dinaiki air.

Usaha Berterusan Menyelamatkan Mangsa
Selain itu, PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, Pengkalan Baru turut beroperasi sejak 8.30 malam dengan proses pemindahan mangsa dari Kampung Padang Serai masih diteruskan. Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan semasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Tragedi banjir Taiping ini bukan sahaja menggambarkan cabaran besar yang dihadapi mangsa, tetapi turut memperlihatkan keprihatinan masyarakat yang bersama mendoakan keselamatan mereka. Semoga semua mangsa terus tabah menghadapi dugaan ini.
Sumber: Sinar Harian
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!






