Tips & Petua

Tip Pakai Minyak Wangi, Jangan Sembur Sampai Orang Sebelah Sakit Kepala

Share

Usah pandang remeh, wanita patut tahu tip pakai minyak wangi untuk elakkan bau terlampau kuat sampai orang sekeliling rasa kurang selesa. Tidak kiralah pakai untuk pergi bekerja atau keluar ke majlis tertentu, anda kena tahu cara yang betul bila sembur minyak wangi.

Tip Pakai Minyak Wangi

Namun apa yang wangi di hidung kita belum tentu sama untuk orang lain, apatah lagi jika berada dalam suasana tertutup seperti di ofis selama 8 jam sehari.

Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna di Threads (@iambeden) berharap lebih ramai orang peka dengan jenis wangian yang sesuai dipakai ke tempat kerja.

Menurutnya, sesetengah wangian akan membuatkan orang sakit kepala berbanding menikmati bau harum tersebut.

Elakkan Eau de Parfum Di Pejabat, Sebaliknya Pilih Eau de Toilette atau Cologne

Pilih wangian yang tidak terlalu pekat seperti Eau de Toilette atau Eau de Cologne untuk memakai di ofis.

Ini kerana kedua-dua jenis wangian ini kurang pekat serta baunya akan hilang secara perlahan-lahan tanpa memenuhi ruang.

Jika anda masih gemar memakai Eau de Parfum, pastikan satu semburan sahaja untuk mengelakkan bau terlalu kuat di ofis.

Dari segi bau pula, jenis yang bersih serta segar adalah pilihan paling selamat untuk dipakai.

Contohnya seperti bau sitrus bergamot, lemon dan limau, yang boleh dipadankan dengan cedarwood atau cendana.

Wangian seperti lavender, pudina, sage dan bunga lembut iris serta lily of the valley pun sesuai.

Sebaliknya, elakkan bau manis seperti vanila, coklat, oud, smoky dan buah-buahan.

Jangan Sembur Sampai Orang Sebelah Sakit Kepala

Menurut Scento, cara memakai minyak wangi juga penting seperti pemilihan bau.

Sembur minyak wangi pada titik nadi seperti pergelangan tangan, leher atau belakang telinga kerana bahagian lebih panas ini akan membantu menyebarkan bau lebih efektif.

Ingat, satu atau dua semburan sahaja sudah mencukupi.

Bau wangian sepatutnya dapat dinikmati oleh orang berdiri dekat dengan kita, bukannya seluruh ruang.

Jika seseorang boleh bau minyak wangi anda dari jauh, itu tandanya anda sembur terlalu banyak.

Selain itu, teknik cloud walk-through juga disyorkan, iaitu menyembur minyak wangi di hadapan anda dan mengambil langkah ke depan.

Cara ini akan menyebarkan bau dengan lebih sekata pada baju dan rambut, tanpa menumpukan pada satu tempat sahaja.

Tambahan pula, anda juga boleh sapu pelembap pada kulit sebelum menyembur minyak wangi untuk bantu mengekalkan bau lebih lama di badan.

Bau Wangian Masih Ada Walaupun Tidak Dapat Kesannya

Inilah perkara yang ramai tidak sedar. Selepas 30 minit, anda mungkin sudah tidak dapat menghidu bau wangian sendiri.

Ia tidak bermakna baunya sudah hilang, hidung anda sudah terbiasa dengan bau tersebut, tetapi orang di sekeliling masih boleh menghidunya dengan jelas.

Memetik semula Scento berkata, “Jika anda rasa bau minyak wangi sudah pudar, kemungkinan besar ia berlaku pada hidung anda sahaja.”

Disebabkan itu, menyembur semula minyak wangi di ofis terutamanya di ruang tertutup akan mengganggu keselesaan rakan sekerja.

Jika perlu touch up, cukuplah sekadar menggunakan body mist yang lembut berbanding semburan minyak wangi.

Bau Minyak Wangi Akan Merebak Jauh Dalam Pejabat Berbanding Bilik Sendiri

Perlu diingatkan tempat anda bekerja mempengaruhi pilihan minyak wangi kerana bau wangi boleh merebak jauh dalam ruang tertutup.

Sebab itu, elakkan bau pekat seperti oud, bunga tuberose, atau vanila, coklat kerana ia akan memenuhi ruang dengan cepat.

Jika anda bekerja di luar atau mempunyai bilik persendirian, pilihlah minyak wangi yang memiliki bau sitrus sahaja.

Tidak Semua Orang Boleh Tahan Dengan Bau Minyak Wangi

Scento turut melaporkan terdapat segelintir individu yang lebih sensitif terhadap bau minyak wangi boleh menyebabkan migrain, loya, serta sukar menumpukan perhatian.

Jika anda mempunyai rakan kerja yang hidungnya sensitif, elakkan menggunakan minyak wangi terlalu kuat atau memakai produk kurang bau.

Pastikan kita peka terhadap orang di sekeliling dan memakai wangian yang membuatkan mereka rasa yakin serta selesa, bukannya loya dan muntah.

Bagaimana Cara Ingin Mengetahui Wangian Anda Terlalu Kuat?

Cara paling mudah adalah melihat reaksi orang sekeliling anda. Jika ramai mula mengadu sakit kepala atau pening, itu tandanya minyak wangi anda terlalu kuat.

Untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku, sembur sedikit sahaja ketika waktu bekerja supaya orang lebih selesa.

Tambahan pula, sebelum membeli minyak wangi baharu, cuba dahulu botol bersaiz kecil sepanjang satu hari bekerja.

Perhatikan sama ada baunya kekal lekat di badan ketika berada dalam lif atau bilik mesyuarat.

Selain itu, anda juga boleh minta pandangan jujur daripada kawan rapat yang boleh dipercayai. Minyak wangi profesional sepatutnya memiliki bau bersih, terkawal dan boleh dibau pada jarak dekat sahaja. Tujuannya untuk melengkapkan penampilan, bukan mengumumkan kehadiran anda.

 

Published by
Nadia Mohamad