
Program realiti Akademi Qurra 2024, minggu kelima cukup mengejutkan apabila Tilmizah Busyra mengumumkan penarikan dirinya.
Tilmizah Busyra Berat Hati Umum Tarik Diri
Walau sedih untuk meninggalkan pertandingan yang sudah berlangsung selama lima minggu itu namun Busyra terpaksa melepaskan dengan berat hati.
“Sememangnya bakat yang ada pada Busyra sangat besar dan antara peserta menyerlah,” kongsi Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah ketika ditemui media selepas tamat rancangan langsung Akademi Qurra Episod 5.
Peserta yang mendapat markah 88% itu menyatakan selepas membuat solat istikarah dirinya memilih untuk menunaikan umrah bersama keluarga.
“Tiga hari lalu baru saya dapat tarikh untuk pergi menjadi tetamu Allah mengerjakan umrah di Tanah Suci dalam masa terdekat. Sememangnya sukar untuk buat pilihan sebabnya jika saya tak sertai rombongan keluarga untuk tunai umrah takt ahu bila lagi saya boleh sampai ke sana.
“Saya lakukan solat istikarah dan akhirnya saya ambil keputusan untuk tarik diri dari pentas Akademi Qurra,” jelas Busyra.
Undi Masuk Untuk Kekalkan 9 Peserta
Tiada penyingkiran minggu ini namun telah diadakan undi masuk untuk kekalkan 9 peserta. Nasib berpihak kepada Tilmizah Sholihah yang terpilih untuk masuk semula.
Menurut Penerbit Akademi Qurra 2024, Saifulizzam Mohd Lizah setiap peserta yang tersingkir tidak pernah tertinggal untuk mengikut kelas online Mudarris dan Mudarrisah.
Bagi mengekalkan Sembilan peserta, salah seorang peserta tersingkir awal telah diterima masuk semula.
“Barisan tenaga pengajar mengalami proses penstrukturan semula bagi memberi peluang kepada talamiz untuk mendalami ilmu tarannum daripada semua Mudarris dan Mudarrisah,” kata Saifullizzam.
Tiada Penyingkir Minggu Ke-5
Nasib juga berpihak kepada Tilmiz Taufiq dan Tilmizah Sofea kerana tiada penyingkiran diadakan.
Minggu kelima Akademi Qurra 2024 menyaksikan Tilmiz Amnan mendapat markah tertinggi 93%, diikuti Tilmiz Dr Adlee, Tilmizah Syahira 88.5%, Tilmiz Nabil 88.5%, Tilmiz Luqman 88.5%, Tilmizah Ainsyafa 88%, Tilmizah Busyra 88%, Tilmiz Taufiq 87.5% dan Tilmizah Sofea 87%.
Dihoskan oleh Raqib Majid, Akademi Qurra 2024 turut menampilkan Mudarris Ammar Mukhlis, Mudarrisah Suhailah Zulkifly dan Mudarrisah Nadia Hashim yang bertindak selaku tenaga pengajar.
Program yang ditayangkan pada setiap hari Sabtu, jam 9 malam menampilkan juri tetap Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman dan dibantu oleh Ustaz Muhammad Qayyim Nizar Sarim serta juri jemputan untuk minggu keempat Ustaz Abdul Khair Jalil.
Baca Disini : Tidak konsisten punca Tilmizah Athiyyah & Firza tersingkir minggu keempat Akademi Qurra 2024
Sumber Foto : TV Alhijrah
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Bekas penyampai radio, Ikhwan Rosli dedah dalam bidang seni gaji penyampai radio antara yang tertinggi. Namun tak semua penyampai dibayar tinggi ianya berdasarkan pengalaman. Ikhwan juga mengulas mengenai nasib yang dialami oleh bekas penyampai Suria FM, Tyzo Xander.
Ain Edruce dikecam terlampau kasar dengan suami? Betul atau hanya sekadar gurauan dalam hubungan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak Perlu Mengadu Pada Manusia, Al-Quran Ada Jawapan…Buka Dan Baca!

Tak perlu malu untuk mengakui, tiap orang pastinya akan melalui saat-saat yang mereka akan diuji dengan pelbagai ujian hidup. Tidak kira dari segi peribadi, kerjaya dan sebagainya.
Tak Sama Ujian Hidup
Perkongsian daripada Dr. Nurhidayah Roslan ini pastinya sedikit sebanyak membuka mata kita betapa besarnya mukjizat Al-Quran bagi mereka yang telah benar-benar memahaminya.
“ Walau berkelulusan di dalam bidangKejuruteraan Genetik Dan Sains Biomolekul, saya memilih untuk menjalankan bisnes bersama suami. Sebenarnya dunia perniagaan sangat dengan jiwa saya dan sejak zaman belajar lagi saya sudah mula meniaga.
“ Apabila menjalankan bisnes sendiri, saya sangat cepat stres kerana saya seorang yang memiliki ekspektasi yang sangat tinggi dalam tiap apa yang saya lakukan. Bila tak mampu capai, saya akan rasa ‘down’ dan tertekan,” Ujar Dr. Nurhidayah membuka bicara.
Kawan Suruh Buka Al-Quran
Jika dahulu, al-Quran sekadar dibaca saja. Akuinya, seorang rakannya pernah menyarankan supaya apa saja masalah yang dihadapi, bukalah al-Quran.
“ Pada ketika itu saya tak berapa nak faham sangat. Sehinggalah pada satu ketika, saya berada dalam satu situasi di persimpangan dilema. Saya rasa sangat sedih, down dan rasa tak ada manusia yang boleh bantu saya. Akhirnya saat itu, selepas saya mengadu pada Allah; saya buka al-Quran dan mata saya terpaku pada satu ayat yang lebih kurang maksudnya: “Bukan manusia yang buat pilihan tapi Allah yang rancang”. Bermakna, apa yang terjadi, kita tak boleh salahkan orang lain. Saya kena ikut saja apa yang Allah rancang dan tak boleh salahkan orang lain. Akhirnya timbul rasa reda dan tenang dalam diri.” Jelasnya.
Menurut Dr. Nurhidayah lagi, ini juga menjadi titik tolak untuk dirinya dan membawa perubahan besar pada hidupnya secara keseluruhan.
Sebelum Kongsi Di Media Sosial, Buka Al-Quran
Tambah Dr. Nurhidayah lagi, kadangkala bila diri jadi mangsa fitnah dan rasa sakit hati, pasti tercetus rasa hendak berkongsi di media sosial untuk memalukan orang itu.
“ Bila saya dah faham al-Quran, saya dah tak ada perasaan itu. Sebelum buka media sosial, mengadulah dulu pada Allah dan buka al-Quran. Pasti akan hadir rasa tenang dan reda. Kita juga akan ada perasaan takkan salahkan orang lain atas apa juga yang berlaku.
“ Dahulu, saya seorang yang cepat stres dan panas baran. Sikap ini jugas sebenarnya memberi kesan terhadap hubungan saya dengan suami dan anak-anak. Asyik panas dan tegang saja bila mereka tak dapat buat seperti yang saya inginkan.
“ Bila saya rasakan segalanya Allah yang rancang, saya lebih tenang untuk terima kekurangan orang lain dan tak salahkan orang lain. Akhirnya, Subhanallah, banyak perkara baik berlaku. Jika di musim PKP ini, ramai yang terkesan terutama yang menjalankan bisnes. Namun Alhamdulillah, Allah takdirkan banyak peluang di luar kebiasaan untuk diri saya. Rezeki datang daripada pelbagai arah dan tanpa diduga. Syukur Alhamdulillah.” Kongsinya penuh kesyukuran.
Tak Rugi Didik anak Sayang Al-Quran
Hubungan dengan anak-anak juga semakin baik malah anak sulungnya pernah mengatakan yang kini dirinya sudah jauh berubah.Tiada lagi panas baran dan marah-marah.
“ Bila anak suarakan tentang perubahan diri saya, maka saya terangkan puncanya bagaimana saya lebih tenang iaitu al-Quran. Saya ajar anak-anak yang berusia 11, 9 dan 7 tahun untuk sayang dan hormat al-Quran. Mereka akan mengaji setiap hari dan membaca tafsir al-Quran. Saya ingin jiwa mereka penuh dengan al-Quran.
“ Al- Quran adalah satu budaya hidup. Bukan bulan Ramadan saja kita kena baca. Al-Quran kena dijadikan sebagai panduan hidup. Kalau rasa sedih, nak jawapan dan panduan, bukalah al-Quran sebab al-Quran adalah mukjizat nabi untuk kita. Ia relevan sepanjang zaman. Apa lagi kita nak pertikaikan?
“ Kalau kita anggap al-Quran sebagai sebuah kitab yang kita baca saja, maka setakat itu sajalah. Sebaliknya kalau kita faham al-Quran sebagai panduan, impaknya cukup luar biasa bagi kita. Akan ada ada jawapan untuk tiap persoalan dalam hidup. Bila buka al-Quran pasti ada jawapan yang Allah bagi.” Tambah Dr. Nurhidayah tegas.
Akan Ikut Serta World Quran Hour
Ujar Dr. Nurhidayah lagi, besar hikmah tersirat bila mengadakan World Quran Hour pada tempoh PKP ini.
“ Semua orang sedang duduk di rumah bersama keluarga, jadi lebih memudahkan untuk turut serta dengan program ini. Pasti lebih bermakna andai dapat membaca al-Quran bersama keluarga. Insya-Allah saya sekeluarga akan turut serta dalam program World Quran Hour tanggal 13 Mei nanti. FB: https://www.facebook.com/WorldQuranHour/
Dalam masa yang sama, marilah kita sebarkan kasih sayang pada seluruh umat Islam. Sayang tanpa syarat, sayang tanpa batasan. Itulah akhlak Rasulullah s.a.w.” Akhiri Dr. Nurhidayah menutup bicara.
World Quran Hour akan diadakan pada 13 Mei ini bermula jam 12 tengah hari. Ayuh semua! Kita gemakan alunan Al-Quran ke seluruh dunia!
https://www.mingguanwanita.my/viral-18-dan-19-rupanya-ada-signifikan-dalam-surah-al-quran/
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
WAJIB Solat Walaupun Dalam KAPAL TERBANG, Jangan Ambil Ringan Begini Caranya!

WAJIB Solat Walaupun Dalam KAPAL TERBANG, Jangan Ambil Ringan Begini Caranya! Solat merupakan satu kewajipan walau dimana sahaja kita berada. Namun apabila dalam keadaan bermusafir dan tempoh perjalanan yang jauh, ramai yang mengambil mudah tidak menunaikan solat pada waktunya atas pelbagai alasan. Tidak kurang yang tidak tahu cara untuk menunaikannya lebih-lebih lagi jika berada di dalam kapal terbang yang mempunyai ruang terhad dan pelbagai keterbatasannya.
Untuk faham lebih lanjut baca perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun ini sebagai rujukan;
RAMAI YANG TAK TAHU ATAU TAK NAK AMBIL TAHU?
TATACARA SOLAT FARDHU ATAS KAPAL TERBANG YANG RAMAI ORANG TERLEPAS PANDANG
Sepanjang musafir dari Malaysia ke Turki, kami perlu transit di Jeddah dahulu sebelum sampai ke destinasi misi. Penerbangan yang mengambil masa sekitar 13 jam pastinya ada waktu solat yang perlu kami laksanakan di atas kapal terbang. Alhamdulillah, syukur di dalam penerbangan Saudia Airlines ini ada disediakan ruang solat yang sangat selesa.
Ramai yang saya perasan mengambil ringan tentang solat sewaktu bermusafir. Lagi-lagi ketika dalam perjalanan yang panjang menaiki kapal terbang. Malah, ada yang meninggalkan solat kerana tidak tahu cara sebenar untuk menunaikannya.
Sahabat, kita WAJIB menunaikan ibadah solat walau dimanapun kita berada. Tidak ada yang terkecuali daripada menyahut panggilan seruan illahi melainkan mereka yang mati sahaja, bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ajar tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.
Lebih menyedihkan, ramai yang abaikan solat fardhu, ada yang tidak berwuduk sebelum solat sedangkan kemudahan air boleh didapati dengan mudah, ada yang solat duduk tanpa usaha mencari tempat-tempat kosong luas dibelakang bahagian kapal dan lebih menyedihkan ada yang tidak solat dengan alasan akan qadha’ sesudah sampai.
Firman Allah SWT :
Daripada Imran bin Husain, Rasulullah SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا , فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Sembahyanglah dengan cara berdiri, jika engkau tidak berdaya maka dengan cara duduk, dan jika engkau tidak berdaya (dengan cara duduk) maka dengan cara berbaring (sembahyang merusuk).”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Tatacara Solat Di atas Kapal Terbang
Di sini saya ingin kongsikan tatacara solat di atas kapal terbang, mudah-mudahan ia bermanfaat semasa kita sedang musafir dalam perjalanan yang panjang. Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.
Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:
أَمَّا الرَّاكِبُ فِي سَفِينَةٍ فَيَلْزَمُهُ الْإِسْتِقْبَالُ وَ اِتْمَامُ الْأَرْكَانِ سَوَاءٌ كَانَتْ وَاقِفَةً أَوْ سَائِرَةً لِأَنَّهُ لَا مَشَقَّةَ فِيهِ وَهٰذَا مُتَّفَقٌ عَلَيهِ
Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”
Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.
Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.
Seseorang yang mengerjakan solat di atas kapal (bot, kapal terbang dan seumpamanya) hukumnya adalah WAJIB menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya seperti solat di darat.
Maksud menyempurnakan segala rukun dan syaratnya ialah seperti qiyam (berdiri), ruku’, iktidal, sujud dan tahiyat. Namun, jika tidak dapat melakukan atas sebab kenderaan yang dinaiki beralih arah (terumbang-ambing) maka HARUS bagi dirinya melakukan dan menyempurnakan solat tersebut dalam keadaan duduk sambil menghadap ke arah kiblat dari awal solat hingga salam.
ADAKAH BOLEH SOLAT HORMAT WAKTU DALAM KAPAL TERBANG?
Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim menjelaskan dalam kitab Taqrirat as-Sadidah:
وَمِثْلُ ذٰلِكَ الصَّلَاةُ فِي الطَّائِرَةِ، فَتَجُوزُ مَعَ الصِّحَّةِ صَلَاةَ النَّفْلِ، وَأَمَّا صَلَاةُ الْفَرْضِ إِنْ تَعَيَّنَتْ عَلَيهِ أَثْنَاءُ الرِّحْلَةِ وَكَانَتِ الرِّحْلَةُ طَوِيلَةٌ، بِأَنْ لَمْ يَسْتَطِعِ الصَّلَاةَ قَبْلَ صُعُودِهَا أَوْ إِنْطِلَاقِهَا أَوْ بَعْدَ هُبُوطِهَا فِي الْوَقْتِ، وَلَوْ تَقْدِيمًا أَوْ تَأْخِيرًا، فَفِي هٰذَا الْحَالَةِ يَجِبُ عَلَيهِ أَنْ يُصَلِّيِ لِحُرْمَةِ الْوَقْتِ مَعَ اسْتِقْبَالِ الْقِبْلَةَ وَفِيهَا حَالَتَانِ: 1. إِنْ صُلِّيَ بِإِتْمَامِ الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ: فَفِي وُجُوبِ الْقَضَاءِ عَلَيهِ خِلَافٌ، لِعَدَمِ اسْتِقْرَارِ الطَّائِرَةَ فِي الْأَرْضِ وَالْمُعْتَمَدِ أَنَّ عَلَيهِ الْقَضَاءَ 2 – وَإِنْ صَلَّى بِدُونِ إِتْمَامُ الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ أَوْ بِدُونِ اسْتِقْبَالَ الْقِبْلَةَ مَعَ الْإِتْمَامِ فَيَجِبُ عَلَيهِ الْقَضَاءُ بِلَا خِلَافٌ
Maksudnya: “Seperti hal demikian solat di dalam kapal terbang, melakukannya dibolehkan pada solat sunat. Sedangkan pada solat fardhu, jika dia hanya mampu melakukan di tengah perjalanan kerana perjalanan jauh dan ia tidak mampu melaksanakan solat pada waktunya, sama ada sebelum atau selepas mendarat kapal terbang, meskipun dengan cara jama’ taqdim atau takkhir, maka dalam keadaan demikian wajib baginya untuk solat hormat waktu dengan tetap menghadap ke arah kiblat.”
Keadaan solatnya diperincikan dalam dua keadaan:
a) Jika seseorang dapat mendirikan solat dengan menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud, maka dalam hal ini dia tidak perlu qadha solatnya.
b) Manakala sebaliknya (tidak dapat menyempurnakan gerakan ruku’ dan sujud atau dia solat tidak menghadap ke arah kiblat) maka wajib baginya qadha solat menurut kesepakatan para ulama.”
Abu Bakar Al-Hishni menuturkan di dalam kitabnya Kifayatul Akhyar:
يَجُوزُ لِلْمُسَافِرِ التَنَقُّلُ رَاكِبًا وَمَاشِيًا إِلَى جِهَة مَقْصِدِهِ فِي السَّفَرِ الطَّوِيلِ وَالقَصِيرِ عَلَى الْمَذْهَبِ
Maksudnya: “Dibolehkan bagi seorang musafir sama ada dengan kenderaan atau berjalan kaki melakukan solat sunat dengan menghadap ke arah tempat tujuannya, di dalam perjalanan yang panjang (yang boleh mengqasar solat) dan di dalam perjalanan yang pendek (yang tidak dibolehkan mengqasar solat) menurut pendapat dalam mazhab (Syafi’e).”
Pendapat di atas bertepatan dengan satu hadis, daripada Jabir bin Abdillah r.a.:
كَانَ رَسُول اللَّهِ يُصَلِّي عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ فَإِذَا أَرَادَ الْفَرِيضَةَ نَزَل فَاسْتَقْبَل الْقِبْلَةَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW solat di atas kenderaannya menghadap ke mana pun kenderaannya itu menghadap. Namun bila Baginda hendak solat fardhu, maka baginda turun dan solat menghadap kiblat.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Kesimpulannya, walau apa jua keadaan sekalipun, solat tetap wajib dilaksanakan kerana ia merupakan tiang agama dan merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Berdasarkan dalil di atas, WAJIB kita qadha solat semula bagi solat fardhu.
APAKAH HUKUM BAGI YANG MENINGGALKAN SOLAT DENGAN SENGAJA?
Solat merupakan satu pertalian antara hamba-Nya dengan Tuhan-Nya. Sesiapa yang memutuskan hubungan dengan penciptanya dikira berdosa besar. Apatah lagi mengingkari suruhan-Nya.
Firman Allah SWT:
فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ، الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ
Maksudnya: “(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.”
(Surah al-Ma’un: Ayat 4-5)
BAGAIMANA CARA MENGETAHUI WAKTU SOLAT KETIKA BERADA DI ATAS KAPAL TERBANG?
Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengetahui waktu solat adalah melalui pengumuman oleh pramugara atau krew kapal terbang. Tuan puan boleh juga bertanya kepada mereka jika tiada pengumuman dilakukan, terutamanya berkaitan tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Namun ada juga saranan daripada hadis Rasulullah SAW untuk kita melihat sendiri.
Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:
وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.
Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan sesorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimana warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Oleh itu, jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang, maka waktu untuk mendirikan solat subuh boleh diketahui melalui terbit fajar dengan kemunculan cahaya ketika seseorang itu di dalam kapal terbang.
Kemudian, bagi solat Zuhur dan Asar boleh dilakukan apabila bermulanya waktu Zuhur dan dijama’kan dengan waktu Asar dengan mengambil kira rukhsah (kemudahan) permusafiran yang terdapat dalam syarak. Waktu Zuhur bermula apabila tergelincirnya matahari.
Manakala, solat Maghrib dan Isyak, lebih mudah untuk mengetahuinya, iaitu apabila matahari telah terbenam, maka masuklah waktu solat maghrib.Ketika itu, boleh melaksanakan jama’ taqdim antara maghrib dan isya’, sebagaimana ditangguhkan solat maghrib boleh dijama’kan dengan solat isya’ sebagai jama’ ta’khir.
Tuan puan,
Perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa. Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisitif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat. Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.
Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua, silakan share kepada yang lain juga ya.
Saudaramu,
Asma’ binti Harun
Rujukan:
1. Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Imam Nawawi
2. Mughni al Muhtaj, Syeikh Khatib Syarbini
3. Taqrirat as-Sadidah, Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad bin Salim
4. Kifayatul Akhyar, Abu Bakar Al-Hishni
Mesti Baca:Gempa Bumi Turkiye: Mangsa Terperangkap Dalam Runtuhan Minta Air Untuk Tunaikan Solat
Baca Lagi Di Sini:Buat Yang Terbaik, Solatlah Dengan TENANG Bukan Dalam Keadaan Terburu-Buru!
Artikel Menarik:Jaga Solat Bahagiakan Isteri, Semua Beban Hilang Sekelip Mata!
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat terutamanya buat yang selalu ‘travel’ dalam perjalanan yang jauh. Menunaikan solat itu satu kewajipan, tak kiralah di mana sahaja kita berada.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mengaji Marathon 2023 Buktikan Bahawa Golongan Muda Mencintai Al-Quran

Mengaji Marathon 2023 berjaya tarik ramai golongan muda cintai Al-Quran. Pernyataan ini terbukti apabila MCPLUS, pusat tuisyen dalam talian terbesar di Malaysia, berjaya menghimpunkan ramai peserta daripada pelbagai peringkat usia menyertai Program Mengaji Marathon 2023 secara maya yang kali kedua diadakan ini.
Menurut jurucakap MCPLUS, program ini diadakan bersempena dengan sambutan Nuzul Quran dan lebih menarik lagi, Mengaji Marathon ini telah berlangsung 12 jam tanpa henti bermula 6.30 pagi hingga 6.30 petang pada Sabtu, 8 April 2023 lalu.
Salah satu faktor kuat menarik perhatian golongan muda ialah apabila pihak penganjur menggunakan pendekatan lebih mesra belia dengan menjemput nama-nama besar dan popular di kalangan mereka. Antara yang terlibat ialah Mawi, Anas Tahir, Ustaz Adnin, Ustaz Mahiraja, Raqib Majid, Qawi dan Sirpuloh. Pendekatan yang tepat dan ini adalah sebahagian dari inisiatif MCPLUS memupuk sifat kecintaan terhadap al-Quran dalam kalangan muslim.
Inisiatif ini harus dipuji berikutan ia membantu muslim dan muslimin untuk khatam al – Quran pada bulan Ramadan dengan membaca 10 hingga 11 Juz awal al-Quran semasa marathon ini berlangsung.
“Kami berniat untuk beri peluang kepada mereka yang ketinggalan dalam bacaan al-Quran agar mengejar kembali dan seterusnya menghabiskan kesemua 30 Juz sempena Ramadan”
“Jujurnya kami memang teruja menganjurkan Program Mengaji Marathon 2023 ini seterusnya menjadi platform untuk semua umat Islam berkumpul dan mengaji al-Quran bersama secara maya. Acara ini bukan sekadar membaca al-Quran tetapi juga memupuk semangat kemasyarakatan dan kerohanian,” ulas Fathi Hussein, tutor MCPLUS.
Menurutnya lagi, MCPLUS ingin berkongsi inspirasi dengan melihat lebih ramai rakyat malaysia terutamanya anak muda mencintai al-Quran dengan membacanya. Ia sekali gus dapat melahirkan sebuah generasi yang baik dalam mengukuhkan hubungan mereka dengan Allah.
Muhammad Taufik Qari OKU Cekap Baca Al-Quran Braille
Kemajuan teknologi Al-Quran pada hari ini, turut menyaksikan kehebatan adik Muhammad Taufik Azman pemuda cacat penglihatan yang cekap membaca al-Quran Braille. Beliau hadir sebagai salah seorang peserta istimewa.
Pemuda berusia 22 tahun, anak kelahiran Negeri Sembilan ini mula mendapat pendedahan mempelajari teknik bacaan al- Quran Braille sejak berusia 7 tahun lagi.
Menurut Muhammad Taufik, beliau mula membaca Iqra ketika mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bharu. Di sini dia mempelajari teknik asas membaca al-Quran tulisan Braille.
“Bila usia semakin meningkat, rasa cinta akan al-Quran semakin menebal dalam diri ini. Sejak 10 tahun lepas saya mula mendalami bacaan al-Quran dan menyertai pelbagai pertandingan Musabaqah mewakili negeri Johor, “ kata Muhammad Taufik, yang buta sejak lahir, menanam impian ingin mewakili negara dalam pertandingan Musabaqah peringkat antarabangsa suatu hari nanti.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1441H/ 2020M merupakan idolanya. Dia membuktikan biarpun ada kekurangan namun ia bukan penghalang untuk mencapai impian menjadi qari yang baik dan bersaing dengan mereka yang lebih sempurna fizikalnya.
Untuk makluman semua, tahun lalu, Mengaji Marathon berjaya menarik lebih 100,000 tontonan di Youtube LIVE dan ternyata acara ini mengulangi sejarah dan telah memberikan pengalaman berharga sekali gus mendedahkan para peserta dengan keindahan ayat-ayat suci al-Quran serta mempraktikkan ajaran Islam untuk tujuan peningkatan refleksi diri dan rohani.
Acara ini telah dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan peserta boleh menyertainya mengikut keselesaan diri di rumah kerana acara ini dibuat melalui penstriman langsung di saluran Youtube MCPLUS.MY. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mcplus.my.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!