
Tiga dekad CEDAW, Malaysia perkukuh pemerkasaan wanita. Ulang tahun ke-30 ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) menjadi titik penting dalam perjalanan Malaysia memperkasa hak wanita.
Pelancaran buku dokumentasi tiga dekad CEDAW telah disempurnakan oleh Datuk Seri Nancy, disusuli forum Agenda Wanita Negara (FAWN 2025), menegaskan komitmen berterusan negara dalam menjunjung kesaksamaan gender sejak Malaysia meratifikasi konvensyen itu pada 5 Julai 1995.
Tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-30 perjuangan memperkasa hak wanita dan kesaksamaan gender di negara ini.

Pelancaran buku tersebut bukan sahaja menjadi refleksi usaha serta pencapaian nasional, malah simbol komitmen berterusan dan iltizam negara untuk terus memartabatkan kedudukan wanita sambil membina masyarakat yang lebih adil, inklusif dan bebas diskriminasi.
Dalam pada sama, forum ini menjadi platform strategik untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030. Kedua-dua dasar ini memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
Nancy menegaskan bahawa pencapaian dasar ini memerlukan sokongan semua pihak.
“Komitmen bukan hanya datang daripada kementerian tetapi juga kerajaan negeri, pihak swasta dan komuniti. Hanya dengan usaha bersama kita mampu capai sasaran dan pastikan wanita benar-benar diberi ruang dan peluang,” katanya.
Ketika bercakap kepada media, Nancy menjelaskan, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kini mencecah 56 peratus dengan kerajaan menyasarkan jumlah itu akan meningkat 60 peratus menjelang 2030.
“KPWKM turut mengambil inisiatif termasuk subsidi penjagaan kanak-kanak bagi menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja,” katanya memaklumkan FAWN 2025 turut menyasarkan 30 peratus wanita berada dalam jawatan pembuat keputusan selain penglibatan wanita dalam bidang STEM dan pasukan keselamatan juga akan terus diperkasa.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri KPWKM Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Hanani Sapi.
Masa yang sama dalam ucapannya, beliau turut menyenaraikan beberapa pencapaian utama Malaysia sepanjang tiga dekad sebagai Negara Pihak CEDAW, antaranya pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) yang memperkukuh hak pekerja wanita dan pelantikan “Gender Focal Point” (GFP) dan “Gender Focal Team” (GFT) di setiap kementerian dan agensi.
Forum Agenda Wanita Negara (FAWN) 2025 dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga & Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sebagai platform strategik yang menyokong agenda pemerkasaan wanita selaras Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030.
Nancy menegaskan visi kementerian jelas terpahat dalam slogan “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara” yang mencerminkan keyakinan bahawa kemajuan wanita adalah kunci kepada kekuatan negara.
Sempena pelancaran buku 30 tahun CEDAW itu, sebelah pagi turut diadakan satu forum penting bagi wanita iaitu isu nafkah tertunggak anak.
Sesi diskusi Pascaperceraian: Dalam Sirna Ada Sinar menyaksikan statistik dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menunjukkan hampir 30 peratus lelaki mengabaikan nafkah anak selepas terjadinya perceraian antara pasangan.
Forum yang berlangsung ini menghimpunkan pakar undang-undang, agamawan, psikologi dan pemandiri untuk mengupas cabaran serta mencari penyelesaian lebih berkesan bagi melindungi wanita bagi mencari jalan penyelesaian bagi isu ini.
Jelas, isu tunggakan nafkah anak adalah realiti getir yang tidak boleh dipandang ringan kerana memberi kesan langsung kepada kesejahteraan wanita, pembangunan anak-anak serta kestabilan institusi keluarga.
Nafkah anak ini bukan sekadar soal kewangan, ia soal survival seorang ibu dan masa depan anak-anak. Wanita tak akan berjuang sendirian, sebaliknya melalui pemerkasaan wanita ini, kita akan pastikan ada perlindungan melalui undang-undang, sokongan sosial dan intervensi kebajikan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI