
Tiga anak kecil kehilangan ayah, dilanggar pemandu mabuk ketika keluar mencari keperluan keluarga. Dalam usia masih kecil, ketiga-tiga ini sudah bergelar anak yatim. Susuk ayah yang menjadi pelindung kepada keluarga kecil ini berakhir di tangan pemandu mabuk yang mana video arwah melambung di atas bumbung kenderaan tular di media sosial sejak semalam.
Arwah Amirul Hafiz Omar diberitakan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar pemandu mabuk yang turut disahkan di bawah pengaruh dadah.

Dalam kejadian menyayat hati pada jam 11.40 pagi melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta, siasatan awal pihak polis mendapati sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.


“Pemandu berkenaan dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan. Tindakan itu menyebabkan kenderaan dipandunya melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan,”.

Difahamkan arwah keluar membeli barang keperluan keluarga ketika kejadian menyayat hati menimpanya. Di media sosial, ada saudara dari sebelah arwah yang berkongsi wajah sayu anak-anak kecil arwah Amirul Hafiz ketika di masjid bagi urusan pengebumian ayah mereka. Wajah polos yang tidak mengerti betapa kejamnya dunia di mana kerana seorang memandu dalam keadaan mabuk berada di atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey memaklumkan, akibat pelanggaran tersebut, mangsa Amirul Hafiz Omar berusia lingkungan 30-an, tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya yang turut menambah, hasil ujian saringan mendapati pemandu kereta berkenaan positif alkohol dan dadah.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Pemuda itu direman 4 hari bagi membantu siasatan. Beliau berkata, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat,” katanya.
Isu pemandu mabuk berada di atas jalan raya mendatangkan kemarahan kepada orang ramai dan meminta pihak berkuasa bertegas menangani isu yang dianggap sangat membimbangkan ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




