Kekeluargaan

Tiada Sekatan, Tiada Dendam. Diana Danielle Letak Anak Sebagai Fokus Hidup

Share

Dalam dunia glamor yang penuh sorotan, ada luka yang tidak sempat sembuh di depan kamera. Begitulah yang dirasai oleh aktres jelita, Diana Danielle, apabila menyentuh soal hubungannya dengan bekas suami, aktor Farid Kamil, selepas perpisahan mereka yang menjadi perhatian ramai.

“Saya berusaha tidak timbulkan sebarang perasaan yang tidak bagus. Sebab itulah saya pilih jauhkan diri dari hal komunikasi,” ujar Diana jujur ketika ditemui selepas kemunculannya di program Meletop

kelmarin.

Bagi Diana, fasa perceraian ini masih terlalu baru. Hatinya belum sempat pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk menjalinkan semula sebarang bentuk komunikasi yang berisiko menggugat emosi. Dia kini dalam proses menyesuaikan diri, bukan sebagai isteri, tetapi sebagai seorang ibu tunggal yang ingin membina kehidupan baru berlandaskan kekuatan dan ketenangan.

“Mungkin suatu hari nanti kami akan kembali berkomunikasi. Sekarang masa untuk kami berusaha mencari tempo dan rentak baru dalam hidup. Fokusnya kini adalah anak-anak,” tambahnya tenang.

Ruang Ayah Untuk Anak-Anak

Walaupun memilih untuk menjauhkan diri dari komunikasi peribadi, Diana tetap bersikap terbuka terhadap hubungan antara Farid dan anak-anak mereka, Muhammad dan Nur Aurora. Malah, dia lebih selesa jika bekas suaminya berhubung terus dengan anak-anak tanpa perlu melalui dirinya.

“Saya rasa lebih baik jika dia berhubung dengan anak-anak terus supaya tidak ada unsur-unsur seperti saya cuba untuk mempengaruhi anak-anak ataupun yang tidak sepatutnya,” jelas Diana.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/diana-danielle-fail-perceraian-farid-kamil-enggan-lafaz-talak-di-mahkamah/

Tiada sebarang sekatan atau halangan yang dikenakan ke atas Farid untuk bertemu anak-anak. Diana sekadar menjadi ibu yang memastikan jadual sekolah dan tuisyen berjalan seperti biasa – selebihnya terpulang kepada bapa dan anak untuk mengatur detik bersama.

Bukan Emosi, Tapi Kenangan Yang Ditinggalkan

Baru-baru ini, Diana menjadi buah mulut selepas muncul dalam satu sesi podcast yang menyentuh sedikit sebanyak tentang kisah rumah tangganya. Ada yang menuduh beliau seolah-olah merindui masa lalu.

Juga Baca: https://www.mingguanwanita.my/farid-berangan-tidak-ada-apa-lagi-boleh-diselamatkan-diana-danielle-tetapkan-pendirian-hanya-mahu-bercerai/

Namun bagi Diana, ia hanyalah luahan yang lahir secara jujur, bukan rindu, tetapi satu bentuk penceritaan.

“Saya tidak merindukannya, sebaliknya mahu jalan terus. Ia bukan sesuatu yang menarik pun untuk dibincangkan. Tetapi apabila kita bercerita, kadang-kadang kita merasakan apa yang kita rasa,” jelasnya sambil menepis salah faham sesetengah pihak.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu