Tragedi Tembak Di Golok: “Menantu Saya Yang Sarat Mengandung Masih Dalam Keadaan Terkejut, Trauma” – Ibu Mangsa

Share

“Menantu saya yang sarat mengandung masih dalam keadaan terkejut, trauma dengan kejadian yang berlaku sehingga tidak mampu berada di rumah saya kerana terbayangkan arwah suaminya,” kata Zaiton Abdul Rahman, ibu kepada Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut dalam tragedi tembakan di Golok, Thailand, petang kelmarin.

Menurut Zaiton, 64, yang juga seorang pesara guru, menantunya, Wan Fatihah Mat Husin, 35, masih tidak mampu menenangkan diri dan terpaksa pulang ke rumah ibunya di Golok malam semalam.

Wan Fatihah Mat Husin ketika hadir di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR (Harian Metro)

Menantu Masih Trauma Selepas Tembakan di Golok

“Selepas majlis pengebumian Mohd Fuad petang semalam, keadaan menantu saya masih dalam keadaan sangat sedih dan trauma kerana kejadian yang berlaku itu sangat tragik apabila di depan matanya.

“Dia masih terbayangkan keadaan suaminya yang ditembak bertalu-talu dan pada masa sama mempertahankan isterinya kerana bimbang peluru mengenai isteri yang sarat mengandung.

“Itu yang menantu beritahu ketika kami bercakap dan dia tidak mampu menceritakan lebih kerana masih trauma dan di rumah saya pun dia tidak boleh masuk ke bilik mereka kerana terbayangkan Mohd Fuad masih ada,” katanya ketika dihubungi.

Harapan Keluarga Selepas Insiden Tembakan Di Golok

Zaiton turut memaklumkan bahawa beliau akan menjemput menantunya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang petang ini.

Kredit foto: Sinar Harian

“Esok dan Rabu menantu perlu berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan kandungan. Insya Allah jika diizinkan menantu akan bersalin di sini dan berpantang di rumah saya.

“Apa yang saya doakan semoga keluarga kami semua kuat berdepan kehilangan ini,” ujarnya dengan nada sebak.

Siasatan Kes Tembakan Di Golok Sedang Dijalankan

Dalam pada itu, Zaiton berkata, pihak berkuasa Thailand telah memaklumkan kepada menantunya bahawa suspek yang menembak anaknya sudah dikenal pasti dan kini sedang diburu.

Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan berharap pelaku yang meragut nyawa anaknya itu menerima hukuman setimpal.

Kredit foto: Sinar Harian

Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia yang juga peniaga beg dan batu permata maut selepas dipercayai ditembak sebanyak 18 das oleh dua individu dikenali di rumahnya di Golok, Thailand.

Mangsa yang parah akibat kejadian tembakan di Golok itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok sekitar jam 9 malam.

Sumber: Berita Harian dan Harian Metro

Artikel lain: Dua Tahun Menunggu, Arwah Tak Sempat Timang Anak Sulung Fuad Dijangka Sambut Cahaya Mata Sulung Pada Hari Lahirnya

Isteri Saksi Suami Ditembak Depan Mata, Arwah Sempat Solat Maghrib Sebelum Ditembak 18 Das Dua Sepupu Isteri

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has