Untitled design (2)

Personaliti Aura Mingguan Wanita, Nor Zabetha Muhamad Nor ini cukup dikenali dalam bidang perundangan. Hebat berbahas mengemukakan hujah di mahkamah, mahupun lantang menyuarakan pandangan berkaitan undang-undang di platform media sosial, terutamanya mengenai isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Seringkali pandangan dan buah fikiran beliau, menjadi sumber rujukan masyarakat yang dahagakan ilmu perundangan.

Bagi Zabetha falsafah hidupnya yang dipegang selama ini ialah sentiasa berusaha lebih dan berikan yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan.

“Saya sentiasa ingin menjadi manusia yang berusaha lebih dari yang biasa. Saya selalu ingin jadi yang terbaik dalam setiap yang yang saya lakukan. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip berbuat baik dan banyakkan memberi tanpa mengharap. Untuk setiap kebaikan, usaha dan keikhlasan pasti ada balasan yang baik menanti. Hendak menjadi manusia berjaya perlu sentiasa ada intergriti.”

“Contohnya, jika ingin jadi seorang usahawan, jangan hanya menjadi usahawan yang memenuhi syarat sebagai usahawan sahaja. Lakukan yang terbaik, buat kajian dan sentiasa mencari cara untuk menjadi usahawan yang paling baik antara yang ada. Buat keputusan dan ambil tindakan,”

“Jika menjadi peguam, saya akan cari cara yang terbaik untuk memberi dan menyumbang bukan sahaja kepada saya, anak guam saya dan juga kepada masyarakat,” ujarnya yang merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara di firma guaman milik sendiri iaitu Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co.

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Cara Didikan Orang Tua Bentuk Jati Diri

Cara didikan orang tua dan pengalaman diri dibesarkan ternyata membentuk jati diri dan personaliti Zabetha pada hari ini. Memiliki seorang ibu yang cukup rajin bekerja dan teliti dalam pelbagai aspek, mengajar beliau untuk berdisplin, menghormati orang lain dan bertanggungjawab. Malah kombinasi sikap arwah ayah yang peramah, mudah didekati dan sukakan cabaran.

“Ibu saya jenis yang sangat tegas berkenaan dengan pelajaran. Jadi dia akan pastikan setiap malam, saya dan adik-beradik untuk menyiapkan kerja rumah dan membaca buku sekolah. Kami hanya dibenarkan menonton televisyen pada hari Sabtu dan Ahad sahaja dengan masa yang dihadkan.”

“Ibu saya pula jenis seorang yang rajin bekerja dan sangat teliti sehingga tulisannya kemas dan teliti. Semua hal-hal kecil akan diambil kira, rumah tidak boleh bersepah dan kami adik-beradik dibahagikan tugasan kerja setiap seorang. Saya diajar tentang adab dengan orang tua dan adab ketika berada di rumah orang. Waktu saya kecil dahulu, saya masih tidak nampak kesan didikan begini.”

“Apabila saya dewasa, baru saya tahu kepentingan bahawa setiap perkara dalam kehidupan ini perlu dititikberatkan supaya menjadi manusia yang berdisplin, menghormati orang lain dan bertanggungjawab. Seperti mana kita dilatih berdisplin sewaktu sekolah dahulu, ada banyak ilmu yang diterapkan dan kita adaptasikan dalam kehidupan kita. Saya sentiasa menerapkan apa yang ibu saya ajarkan.”

“Arwah bapa saya pula jenis ‘People Person’, dia senang berkawan dan kawan-kawan juga suka dengan kehadirannya. Tidak lokek dan selalu memberi. Kalau kami singgah ke mana-mana, ada sahaja kawan arwah abah yang menyapa. Waktu ini belum ada media sosial, arwah abah sudah mempunyai rangkaian kenalan yang luas. Barangkali kerana sikapnya yang peramah dan mudah didekati. Arwah abah juga suka cabaran. Waktu tahun 70-an arwah abah sudah merantau ke negara-negara lain. Saya juga digambarkan oleh rakan-rakan sebagai ‘people person’ dan suka menjelajah ke banyak negara.”

“Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya. Saya adalah kombinasi kedua-dua ibu bapa saya,” ujar Zabetha.

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Minat Mendalam Dalam Bidang Perundangan

Umum mengetahui bahawa bidang perundangan bukanlah satu bidang yang mudah. Pastinya akan berdepan dengan tekanan, pengorbanan masa serta tenaga. Hanya minat yang benar-benar mendalam sebagai pemangkin untuk terus bertahan dalam bidang ini.

“Saya sangat meminati bidang perundangan. Sejak kecil saya menyimpan cita-cita untuk menjadi peguam. Memang sikap saya, sekiranya mahukan sesuatu, saya akan tetapkan sasaran saya dan mengambil langkah-langkah sehingga saya memperolehi hasilnya.”

IKLAN

“Saya memilih kerjaya ini dan tidak pernah mencuba kerjaya-kerjaya yang lain kerana pentingnya untuk saya fokus dalam kerjaya yang saya minati. Tanpa minat yang sangat dalam barangkali sukar untuk bertahan dalam bidang guaman ini, kadangkala ada tekanan dan memerlukan pengorbanan masa serta tenaga.”

“Minat saya yang sangat mendalam, sehingga saya ingin berkongsi kepada orang ramai tentang ilmu perundangan ini, supaya masyarakat tahu dan kenal berkenaan undang-undang.” ujar beliau yang telah beramal selama 13 tahun dalam bidang perundangan.

Medan Perkongsian Ilmu Undang-Undang & Pandangan Orang Lain

Setiap kali menulis artikel dan berkongsi ilmu dengan para followers mahupun orang ramai berkaitang undang-undang, Zabetha berharap semoga mereka memperoleh manfaat daripada ilmu yang dikongsikan. Malah turut gembira apabila akaun media sosialnya turut menjadi tempat perkongsian ilmu dan pandangan orang lain.

“Saya suka apabila saya dapat berkongsi ilmu dan orang ramai memperoleh manfaat daripada ilmu yang saya kongsikan. Saya perhatikan, ramai masyarakat kita sangat berminat dengan ilmu undang-undang tetapi tidak tahu di mana hendak mencari bahan bacaan yang tepat.”

“Tidak dinafikan, bahan bacaan memang banyak di pasaran tetapi hendak mencari topik yang bersesuaian dengan situasi yang dihadapi untuk mereka tahu hak mereka, jadi sukar.”

“Ilmu yang saya perolehi dari proses pelajaran di Universiti, dari pengalaman dan dari bacaan setiap hari. Bertahun-tahun lamanya saya perolehi ilmu ini. Sayangnya kalau ilmu ini tidak dapat saya kongsikan kepada semua.”

“Saya seronok bila pembaca-pembaca saya mahir undang-undang dan ada yang pembaca saya memang dalam bidang undang-undang. Mereka sama-sama kongsi pandangan dan akaun media sosial saya menjadi tempat perkongsian ilmu dan pandangan orang lain.”

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Hormat Perbezaan Pendapat

Tak dinafikan berkongsi ilmu dan mengulas aspek undang-undang di media sosial juga mempunya cabaran yang tersendiri. Menurut Zabetha, tak semua orang akan bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan. Namun beliau bersikap terbuka dalam meraikan setiap perbezaan pendapat selagi mana ia tidak melibatkan kecaman atau perbuatan menjatuhkan kredibiliti beliau.

IKLAN

“Apabila kita berkongsi di media sosial, tidak semestinya semua orang akan bersetuju dengan pendapat kita. Misalnya sekiranya saya menulis tentang itu saman fitnah atau siber buli, ada yang jenis yang suka melakukan kesalahan begini. Jadi tulisan saya yang mengajar mangsa untuk mengambil tindakan, membuat mereka tidak senang kerana saya memberitahu hak mangsa dan terus bangkit. Jadi mereka akan menulis komen yang menentang dan komen yang menjatuhkan kredibiliti.”

“Saya ambil pendekatan bahawa cara manusia berfikir ini tidak sama. Masing-masing ada pendapat. Kadangkala saya hormat pendapat mereka yang tidak bersetuju dengan saya, asalkan tidak melibatkan kecaman atau perbuatan menjatuhkan kredibiliti. Jika ada yang bersikap begini, saya sebagai peguam akan mengambil tindakan undang-undang.”

“Bagi yang bercanggah pendapat, jika mereka tidak setuju, tidak apa. Saya fokuskan kepada orang yang berminat ingin tahu tentang perkongsian saya, ramai diluar sana.”

“Setiap kali saya menulis, saya perlu berhati-hati. Saya pastikan fakta yang tepat dan saya buat kajian dengan membaca kes-kes laporan di mahkamah. Saya pastikan bahawa posting yang saya tulis ada kualiti dan memberikan manfaat dan bukan menulis sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’. Seperti saya katakan, jadi yang terbaik dalam setiap yang yang kita lakukan, walaupun sekecil-kecil perkara. Orang lain akan nampak usaha dan keikhlasan kita,” ujarnya.

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Motivasi Kembali Kuat

Dalam berdepan dengan cabaran sekeliling adakalanya menguji kesabaran. Zabetha menjadikan bacaan buku-buku motivasi sebagai panduan untuk mengharungi dugaan agar kembali kuat dan lebih bersemangat dalam hidup.

“Bidang yang saya ceburi ini melibatkan tekanan kerja, kekangan masa dan pelbagai cabaran lagi. Bukan mudah. Saya sedar permintaan kerja yang saya ceburi kadangkala menekan, jadi saya banyak membaca buku-buku motivasi berbentuk ‘self-improvement’ yang banyak memberikan panduan, kata-kata semangat dan sebagai panduan kejayaan dalam kehidupan.

“Apabila saya membaca buku-buku begini, saya seperti mendapat semangat baru. Saya amalkan membaca setiap hari. Kadang-kadang apabila kesuntukan masa dalam sehari 15 minit, kalau saya ada lebih masa dalam 40-60 minit. Pembacaan begini saya rasakan sebagai penyuntik semangat kepada saya setiap hari. Sebulan sekurang-kurang 2-4 buku.”

“Kalau saya menghadapi saat yang sukar, saya selalu akan tanya kepada diri “Apakah perkara paling teruk yang boleh berlaku dalam situasi itu?”. Kemudian saya cari penyelesaian.”

IKLAN

“Kadangkala kita jadi ‘down’ dan takut kerana kita takut akan kesan dan akibat sesuatu situasi. Kita jadi bimbang. Ambil masa dan fikir, jika ini berlaku apakah yang paling buruk yang akan berlaku dan kemudian kita cari penyelesaian. Jangan terus bermain dengan emosi dan bimbang, hal begini akan membawa kepada masalah depresi atau tekanan.” ujarnya yang cukup positif dalam menhadapi setiap ujian.

Ternyata hasil kerja keras, perkongsian ikhlas berkongsi ilmu dalam bidang perundangan di media sosial melayakkan beliau mendapatkan pengiktirafan awam dan kepercayaan daripada pelbagai stesyen TV, radio dan sebagainya. Pencapaian dan penghargaan ini sememangnya bukanlah satu yang mudah namun Zabetha sangat hargainya.

“Saya amat bersyukur kerana mendapat pengiktirafan awam dan saya diberi kepercayaan oleh stesen TV, Radio, media dan orang awam untuk sentiasa memberikan perkongsian tentang Undang-Undang. Saya juga sering dijemput oleh Universiti dan Kolej bagi menyampaikan ceramah undang-undang. Pada pendapatan saya pengiktirafan awam dan kepercayaan yang diberikan kepada saya adalah pencapaian yang sangat saya banggakan kerana dapat berkongsi ilmu dan pendapat kepada orang awam dan dikenali ramai,” ujar Zabetha.

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Pengertian Wanita Sumber Inspirasi

Sempena ulangtahun Mingguan Wanita ke 40 dan juga sambutan Hari Wanita Sedunia pada bulan Mac ini, Zabetha mempunyai definisi tersendiri mengenai peranan wanita yang mampu memberikan inspirasi buat wanita lain. Bagi beliau setiap wanita mempunyai ciri-ciri kekuatan yang sangat luar biasa. Malah wanita perlu manfaatkan sebaiknya setiap kebolehan, kebaikan atau apa juga kelebihan diri yang ada untuk dijadikan sumber inspirasi dan tauladan buat wanita lain.

“Pada saya wanita mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa, sama ada dari segi fizikal, mental dan emosi. Majoriti wanita juga mempunyai ciri-ciri baik yang sangat hebat, tabah, penyayang, setia, rajin, taat dan pelbagai lagi. Setiap ciri ini adalah kekuatan seorang wanita dan penyebab untuk wanita berjaya dalam apa sahaja yang diceburi. Sayang sekiranya disia-siakan.”

“Kehidupan ini hanya sekali sahaja dan begitu juga masa muda, maka hargailah setiap masa dan ketika. Sentiasa mencuba untuk menjadi yang terbaik. Apa saya kebolehan, kebaikan atau kelebihan yang kita adalah contoh tauladan kepada wanita lain yang sama ingin bangkit dan kuat seperti kita,”ujar beliau.

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Ternyata, Peguambela dan Peguamcara, Nor Zabetha Muhamad Nor ini lambang seorang wanita yang memiliki aura serta personaliti hebat, berjaya dalam lapangan kerjaya, malah turut memberi sumbangan ilmu undang-undang pada masyarakat. Selayaknya beliau dicontohi dan dijadikan inspirasi buat wanita lain.

Baca Lagi Personaliti Aura Mingguan Wanita:
Ulas Pendekatan Saintifik Cara Mudah, ChM Dr Fatimah Berharap Lebih Ramai Masyarakat Celik Ilmu Sains

“Kalau Sedih Ingat Ibu, Dialah Pemberi Semangat Dalam Diri Saya” – Cikgu Zack Kirana

Kak Yatie Kongsi Resipi Yang Senang Faham, Mudah Orang Ikut.” Memang Tiada Rahsia

Jangan Perlekehkan Suri Rumah, Nur Aini Capai Sejuta Sebulan “Tak Nak Lihat Orang Sekeliling Hidup Susah”

“Tanpa Minat Yang Sangat Mendalam, Sukar Untuk Bertahan Dalam Bidang Guaman Ini” Zabetha

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI