Takut Jarum, Tetapi Berjaya Jadi Jururawat Hasil Doa Arwah Emak

Cita-cita asalnya ingin menjadi guru. Namun ibunya berharap sangat agar dia memilih kerjaya sebagai jururawat. Boleh membantu orang sakit katanya. Disebabkan tidak mahu menghampakan harapan ibu tercinta, Zuraidah binti Osman akhirnya memilih jururawat sebagai kerjaya pilihan.

Namun cita-cita ibunya untuk melihat Zuraidah lengkap berpakaian serba putih yang dikenakan oleh jururawat tidak kesampaian apabila ibunya meninggal dunia akibat serangan strok. Walau tanpa ibu di sisi, wanita berusia 37 tahun ini tetap meneruskan kerjaya ini dengan penuh dedikasi.

“Saya bermula sebagai jururawat biasa lebih kurang 16 tahun lalu. Saya mengikuti program diploma kejururawatan di Hospital Kuala Lumpur. Selepas itu saya bekerja di hospital mata. Malah, dalam tempoh itu, saya berkesempatan bekerja di Arab Saudi selama setahun.

“Sejak lima tahun lalu saya mula menjadi pengajar klinikal kepada jururawat di Sunway Medical Centre, Subang Jaya. Maknanya sekarang ini cita-cita saya untuk menjadi guru pun telah tercapai. Dengan melunaskan hasrat ibu jadi jururawat juga bermakna saya dapat juga capai cita-cita menjadi guru.

“Banyak ilmu dan pengalaman yang saya peroleh sepanjang menjadi jururawat. Ilmu dan pengalaman inilah yang saya guna untuk mengajar jurulatih pelatih di bawah seliaan saya,” ujarnya ketika ditemui di Sunway Medical Centre, tempatnya bertugas kini.

Jambatan Ke Syurga

Takut Jarum, Tetapi Berjaya Jadi Jururawat Hasil Doa Arwah Emak
Zuraidah tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dengan jururawat yang dilatihnya.

Bertugas sebagai pengajar klinikal memastikan Zuraidah sentiasa mengajar teori dan praktikal kepada jururawat pelatih. Tetapi kadang kala apabila khidmatnya diperlukan, dia turut membantu memberi rawatan kepada pesakit.

“Itu yang saya suka dengan kerja saya sekarang ini kerana saya masih dapat memberi khidmat kepada pesakit. Saya suka berkhidmat kepada pesakit. Melihatkan pesakit sembuh daripada penyakit mereka adalah kegembiraan saya.”

IKLAN

Walaupun dirinya bergelar jururawat, Zuraidah mengakui dirinya takut dengan jarum. Namun ketakutan tersebut tidak pernah memberi masalah dalam kerjayanya. Dia hanya takut jika jarum itu menyuntik dirinya sendiri.

Namun apabila berhadapan dengan pesakit yang memerlukan dirinya menyuntik mereka dengan jarum, perasaan takut itu hilang dengan sendirinya. Ternyata sikap profesionalisme dalam kerja kuat dalam diri Zuraidah.

“Sangat berbaloi jadi jururawat. Apa yang saya ada sekarang ini semuanya hasil doa arwah emak. Memang betul kata emak. Jadi jururawat ini boleh membantu orang. Pada pendapat saya jadi jururawat ini boleh jadi jambatan ke syurga tetapi kenalah kita kerja dengan penuh keikhlasan,” ujar Zuraidah lagi dengan menjadi jururawat dirinya menjadi idola sepupunya.

“Kerjaya jururawat ini membuka mata mereka. Ia bukan setakat bekerja menjaga pesakit. Banyak lagi kelebihan dan kebaikan jadi jururawat.”

IKLAN

Kejadian Tembak-menembak Di Hospital

Banyak pengalaman yang dikutip sepanjang jadi jururawat. Tetapi pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika bekerja di Hospital Kuala Lumpur. Pada ketika itu dirinya masih lagi bergelar jururawat pelatih.

“Saya masih ingat lagi, ketika itu ada kes seorang penjenayah dimasukkan ke dalam wad. Entah macamana penjenayah itu berjaya merampas pistol daripada anggota polis. Dia kemudiannya melepaskan tembakan di dalam wad kerana mahu melepaskan diri.

“Kejadian tembak-menembak antara penjenayah dengan polis itu pernah menjadi muka hadapan surat khabar dan tajuk utama berita. Masih ingat lagi, saya dan beberapa orang jururawat yang berhampiran dengan wad itu menyembunyikan diri dalam wad bersebelahan. Walaupun pintu ditutup tetapi masih lagi bunyi tembakan. Nasib baik tidak berlaku apa-apa pada kami,” katanyanya mengingatkan peristiwa itu.

Walau trauma dengan kejadian tersebut, namun jiwa Zuraidah tetap kuat untuk memberi khidmat kepada masyarakat yang memerlukan.

IKLAN

“Kerjaya jururawat ini sangat mencabar tetapi cabaran itu mematangkan seseorang. Mereka yang menjadi jururawat boleh memajukan diri mereka kerana banyak peluang untuk berjaya. Tidak semestinya jadi jururawat kita hanya bekerja di tanah air sendiri. Jika ada peluang kita boleh bekerja di luar negara.

“Orang kata hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pilihan itu semuanya atas diri kita sendiri. Nasihat saya kepada mereka yang berminat menjadikan jururawat sebagai kerjaya pilihan, perlulah ada sikap ikhlas berkhidmat dalam diri,” katanya lagi.

Ditegur Gemuk Oleh Pesakit

Tidak dinafikan kerjaya sebagai jururawat ini tidak lari daripada berhadapan dengan stres atau tekanan. Ibu kepada dua orang cahaya mata ini memilih untuk melakukan aktiviti kecergasan sebagai satu cara melepaskan dan menghilang tekanan.

“Saya suka melatih orang untuk melakukan senaman. Senaman yang saya ajar biasanya gabungan tarian dan kecergasan yang dikenali sebagai zapina. Bila ada masa saya akan gunakan masa itu untuk mengajar mereka yang berminat.

“Sebenarnya ada kebaikannya bila tubuh sihat. Saya masih ingat lagi, suatu ketika tubuh badan saya agak berisi dan ada pesakit tegur saya. Dia kata awak jadi jururawat tetapi kenapa awak gemuk.

“Mula dari situ saya ambil keputusan untuk mengurangkan berat badan dengan rajin melakukan senaman. Kini saya mahu berkongsi cara hidup sihat dengan mereka yang berminat,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI