Mengajar di sekolah yang majoriti pelajarnya berlainan bangsa tentunya mempunyai kesukaran tersendiri. Itulah yang dikongsi oleh guru ini.

“Pengkhususan saya ialah Bahasa Melayu. Semasa menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim tetapi semasa mengikuti pengajian di UPSI pengkhususan bertukar kepada pendidikan Seni Visual Sekolah Rendah.

“Di sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Gemas, saya mengajar Bahasa Melayu bagi murid-murid Tahun 3 dan menjadi Guru Perpustakaan dan Media. Sebagai seorang guru, cabaran tetap ada apabila kita mengajar di SJK(T).

“Penggunaan bahasa pengantar selain Bahasa Malaysia dan perbezaan budaya merupakan antara cabaran yang perlu di lalui oleh seseorang guru berbangsa Melayu apabila mengajar di sekolah Jenis Kebangsaan tetapi perkara ini bukanlah faktor penghalang untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam bidang Pendidikan,”ungkap Salenah Rahmat, 48 tahun.

Tak Pernah Rasa Tersisih, Walau Satu-satunya Guru Melayu Di Sekolah Tamil

Tingkat Kemahiran

Menurut Salenah, cabaran utamanya mengajar di SJK(T) Gemas adalah untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam kemahiran berbahasa memandangkan Bahasa Melayu merupakan bahasa kedua mereka manakala bahasa Tamil bahasa utama mereka. Lagi pun, dia mengajar tahap satu yang mana mereka perlu masa yang lebih untuk memahami sesuatu ayat yang diajar oleh guru.

Tidak dinafikan, di peringkat permulaan Salenah memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana di sekolah. Biar pun berasa kekok di awalnya, namun lama-kelamaan dirinya semakin selesa dan seronok dapat menjadi salah seorang tenaga pengajar berbangsa Melayu di SJK(T).

IKLAN

Tidak ketinggalan, Salenah juga turut menyesuaikan diri dengan cara memahami adat dan budaya mereka, belajar serba sedikit bahasa asas seperti selamat datang, selamat pagi dan terima kasih. Selain itu, dalam masa yang sama mengikuti program-program yang berkaitan dengan budaya masyarakat India seperti sambutan Deepavali, perayaan ponggal dan banyak lagi.

Kagum Bertukar Minat

Sememangnya, sejak kecil lagi wanita ini berminat untuk bergelar seorang guru. Bermula dengan perasaan kagum dengan karisma dan pesona yang wujud pada seorang guru dalam mendidik anak bangsa, akhirnya minatnya untuk menjadi pendidik semakin bercambah.

“Idola saya pada ketika itu ialah seorang guru yang bernama Cikgu Abd Jalil bin Salim, iaitu guru saya ketika dalam darjah satu. Apabila cikgu tersebut meminta saya memberitahu apa cita-cita saya apabila dewasa, dengan rasa bangsa dan penuh yakin saya menjawab iaitu “cita-cita saya ialah ingin menjadi seorang guru”.

“Selain itu, saya memilih karier ini adalah kerana ingin memenuhi permintaan keluarga terutama ibu yang ingin melihat saya menjadi seorang pendidik. Selain itu saya ingin menyampaikan ilmu pengetahuan yang saya ada kepada anak-anak didik.

IKLAN

“Setelah 23 tahun bergelar pendidik bukanlah satu jangka waktu yang singkat. Pelbagai pengalaman yang ditimba di dua buah sekolah iaitu di SK Bandar Mersing dan kini di SJK(T) Gemas. Sepanjang berkhidmat sebagai guru, bosan itu tidak pernah ada dalam diri apatah lagi apabila melihat anak didik yang diajar mendapat kejayaan cemerlang dalam akademik.

“Ini disebabkan saya memang suka bergaul dengan murid-murid walaupun mereka berlainan agama dan bangsa dengan saya. Saya tetap menyayangi mereka seperti anak saya sendiri. Jadi perasaan bosan tidak pernah wujud dalam diri saya. Selain itu murid-murid sentiasa menyayangi dan menghormati saya seorang guru yang mendidik mereka,” jelasnya lagi.

Tak Pernah Rasa Tersisih, Walau Satu-satunya Guru Melayu Di Sekolah Tamil

Cabaran Mengajar

Setiap karier yang diceburi, pasti ada dugaan. Begitu juga dengan karier perguruan. Cabaran utama dalam mendidik murid-murid di SJK(T)  ini ialah untuk membuatkan mereka memahami Bahasa Melayu dan menarik minat mereka untuk mempelajarinya.

IKLAN

Situasi ini menjadi sukar apabila semua buku ditulis dalam Bahasa Tamil hanya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sahaja yang berbeza. Malahan, bahasa pertuturan mereka juga menggunakan bahasa ibunda.

“Selain itu cabaran utama dalam mengajar subjek ini adalah untuk mendidik mereka menguasai kosa kata Bahasa Melayu kerana penguasaan kosa kata mereka yang masih lemah.

“Secara tidak langsung, perkara ini akan menyebabkan pembinaan ayat secara lisan dan tulisan masih perlu ditingkatkan lagi. Saya akan mengajar mereka sehingga betul-betul memahaminya dengan menggunakan pelbagai kaedah yang difikirkan sesuai dengan mereka.

“Cabaran lain ialah murid kurang berminat untuk membaca buku Bahasa Melayu. Ini kerana murid-murid tidak memahami apa yang mereka baca. Jadi secara tidak langsung mereka tidak berminat untuk belajar Bahasa Melayu,” katanya lagi yang tidak pernah berputus untuk membantu muridnya.

Jelas isteri kepada seorang tentera ini lagi, walaupun dia mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Salenah berbangga dapat membimbing dan mendidik mereka menguasai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Pelbagai kaedah yang dia terapkan dalam diri pelajarnya agar mereka dapat menguasai bahasa kebangsaan ini.

Akhir sekali, dia berharap generasi baharu terutama di kalangan bukan berbangsa Melayu, cubalah belajar dan menguasai Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Selain itu, ketahuilah Bahasa Melayu adalah bahasa yang dapat menyatukan semua kaum di Malaysia.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI