
Negeri Sabah baru sahaja melakar satu lagi sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada Borneo Safari ke-33, antara ekspedisi off-road terbesar di rantau ini. Lebih 600 kenderaan 4×4 dan lebih 1,800 peserta dari seluruh dunia membanjiri bumi Sabah, menjadikan negeri ini nadi kepada aktiviti ekstrem dan pengembaraan.
Selain itu, Sabah turut menjadi gelanggang kepada acara larian lasak dan ultra popular seperti Borneo Ultra Trail Marathon (BUTM), The Most Beautiful Trail (TMBT), Oceanman, Kadamaian Ultra Race, serta Mount Kinabalu International Climbathon.
Namun, apabila garisan tamat dilintasi, dan sorakan perlahan-lahan reda… sesuatu yang lain pula menanti. Di Sabah, pengembaraan tidak berakhir bersama perlumbaan, ia baru sahaja bermula.
Bumi yang dilingkari banjaran gunung, hutan hujan purba dan lautan biru ini adalah taman permainan untuk jiwa-jiwa yang cinta kepada cabaran, keindahan dan ketenangan. Sama ada anda pengembara lasak atau pencari ketenangan, Sabah sentiasa mempunyai sesuatu yang menunggu untuk diterokai.
Jika ketinggian adalah bahasa hati anda, Gunung Kinabalu adalah puisi alam yang wajib ditawan. Dengan ketinggian 4,095 meter, pendakian dua hari ini menghadiahkan pemandangan matahari terbit yang membuatkan setiap langkah mendaki terasa berbaloi.
Bagi yang mahukan cabaran luar biasa, Via Ferrata memberi pengalaman mendebarkan dengan laluan besi dan jambatan gantung di dinding granit pengalaman yang pasti kekal dalam memori.
Selepas pendakian, rehatkan diri di Kundasang, si “Little New Zealand” Sabah yang dilingkari kabus dingin, padang menghijau dan udara segar yang menyegarkan jiwa.
Jika mahukan pendakian yang lebih mencabar, kunjungi:
Gunung Trus Madi (2,642m) – puncak kedua tertinggi Malaysia
Gunung Sinsing (2,586m)
Gunung Tambuyukon (2,579m)
Gunung Kaingaran (2,468m)
Setiap puncak menyimpan cabaran tersendiri, namun menghadiahkan pemandangan yang memukau dan rasa puas yang sukar digambarkan.
Untuk pengembaraan yang lebih mendebarkan, Kiulu dan Tenom menawarkan pengalaman arung jeram antara yang terbaik di Malaysia.
Bagi keluarga dan pengembara baharu, Sungai Kiulu dengan gred I–II memberikan kombinasi sempurna antara keseronokan, ketenangan serta peluang menikmati pemandangan kampung dan kehijauan Sabah.
Jika anda fikir keindahan Sabah hanya pada permukaan bumi, tunggu sehingga anda menyelam ke dunianya yang tersembunyi.
Pulau Sipadan, antara tapak selaman terindah dunia, menampilkan pusaran barracuda yang memukau, penyu laut yang jinak, yu terumbu karang dan tebing laut menjunam yang mengagumkan.
Pulau Mabul dan Kapalai pula menawarkan resort terapung dan kehidupan marin berwarna-warni, bagaikan dunia ajaib bawah laut. Jika ingin aktiviti selaman dekat dengan Kota Kinabalu, Taman Marin Tunku Abdul Rahman hanya sejauh 20 minit menaiki bot. Sesuai untuk snorkeling dan selaman rekreasi.
Untuk mereka yang cintakan hutan hujan, Lembangan Maliau ialah permata tersembunyi yang mesti diterokai. Digelar Sabah’s Lost World, ia adalah wilayah hutan hujan prasejarah yang kekal utuh, lengkap dengan air terjun bertingkat, flora unik dan denai mencabar.
Tidak dilupakan Lembah Danum, salah satu hutan hujan tropika tertua dunia, di mana anda mungkin dapat melihat orang utan, gajah Borneo, harimau dahan dan hidupan nokturnal melalui night safari. Ini bukan sekadar pengembaraan, tetapi perjalanan untuk mengenal Borneo dalam cara paling autentik!
Jika anda ingin menikmati Sabah dalam gaya santai, lakukanlah road trip melalui Tambunan – Keningau – Tenom selain Kota Belud – Kudat – Tip of Borneo. Laluan ini dipenuhi sawah padi, pantai indah, kampung tradisional dan homestay mesra pengunjung. Singgahlah di perkampungan Bajau atau Rungus, cuba hidangan seperti hinava atau tuhau, dan benarkan diri anda menikmati keramahan rakyat Sabah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.