Berita

Syed Saddiq Dah Dapat “Lampu Hijau” Mama & Abuyah, Hargai Tunang Setia Harungi Ujian Bersama

Share

Syed Saddiq dah dapat “lampu hijau” Mama & Abuyah, hargai tunang setia harungi ujian bersama.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya mendedahkan sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Mama dan Abuyah untuk meneruskan perancangan mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, Bella Astillah.

Perkongsian itu dibuat sejurus Mahkamah Persekutuan mengekalkan pembebasannya daripada empat pertuduhan pada Isnin sambil beliau menzahirkan penghargaan kepada keluarga serta Bella Astillah yang setia berada di sisinya sepanjang hampir enam tahun melalui episod penuh ujian.

Syed Saddiq Dah Dapat “Lampu Hijau” Mama & Abuyah
Mama & Abuyah sudah memberi lampu hijau untuk masa depannya

Dalam sidang media selepas keputusan mahkamah diumumkan, Ahli Parlimen Muar itu dilihat beberapa kali menahan sebak ketika mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak pernah berhenti mempercayai dan menyokongnya. Selain kedua ibu bapanya, nama Bella Astillah turut disebut sebagai individu yang sentiasa memberi kekuatan ketika beliau berdepan saat paling sukar dalam hidup.

Bella Astillah Setia Menemani Saat Paling Sukar

Syed Saddiq mengakui bukan mudah buat Bella menerima dirinya ketika mereka mula mengenali antara satu sama lain. Ketika itu, beliau sudah pun berdepan kes mahkamah yang menjadi perhatian seluruh negara.

Namun, menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, Bella tidak pernah memilih untuk menjauhkan diri, sebaliknya terus memberikan sokongan sepanjang proses perbicaraan berlangsung.

“Terima kasih juga kepada tunang saya, Bella yang setia bersama. Bukan mudah ya kerana sebelum dia bersama saya, saya merupakan salah seorang pesalah di mahkamah.

“Sumbangan dan jasa dia saya tak lupa.”

Pengakuan itu menyentuh hati ramai kerana Syed Saddiq secara terbuka mengiktiraf pengorbanan Bella yang sanggup berdiri teguh di sisinya ketika pelbagai persepsi dan ujian melanda.

Syed Saddiq hargai Bella yang setia dan mengharungi ujian bersamanya
Kebahagiaan jelas terpancar di wajah seisi keluarga dan pastinya ramai tidak sabar menantikan detik ini melihat mereka membina keluarga

Sejak hubungan mereka diketahui umum, pasangan ini sering menjadi perhatian ramai. Ada yang mengagumi keserasian mereka, tidak kurang juga yang mendoakan agar hubungan tersebut berakhir di jenjang pelamin.

Syed Saddiq Dapat ‘Lampu Hijau’ Mama & Abuyah

Selain penghargaan buat Bella, kenyataan yang paling mencuri perhatian pastinya apabila Syed Saddiq mendedahkan beliau sudah menerima restu daripada kedua ibu bapanya.

Menurut beliau, isyarat positif itu diterima sebaik sahaja selesai prosiding mahkamah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada keluarga khususnya Mama dan Abuyah, saya fikir ramai tahu apa yang mereka lalui selama ini.”

Ketika ditanya mengenai perancangan perkahwinan, Syed Saddiq memilih untuk tidak mengulas panjang kerana menghormati institusi kehakiman. Namun, beliau sempat memberikan jawapan yang membuatkan ramai tersenyum.

“Tetapi, boleh tanya (soal kahwin) di luar mahkamah kerana saya menghormati institusi kehakiman ini.

“Saya tak mahu keluarkan respons yang melibatkan perkara peribadi semata-mata, cuma tadi dah dapat ‘lampu hijau’ daripada Mama dan Abuyah.”

Ungkapan ringkas itu pantas tular di media sosial apabila ramai peminat menganggap ia sebagai petanda hubungan pasangan tersebut kini semakin hampir ke fasa seterusnya.

Ucap Terima Kasih Kepada Keluarga, Peguam Dan Media

Dalam sidang media sama, Syed Saddiq turut mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang hampir enam tahun berdepan siasatan dan pendakwaan.

Beliau turut berterima kasih kepada adik-beradik, rakan-rakan, pasukan peguam yang diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik serta pengamal media yang mengikuti perjalanan kes tersebut sejak awal.

Menurut Syed Saddiq, pengalaman yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah dan beliau berharap tiada sesiapa, termasuk musuh politiknya sendiri, perlu melalui ujian yang sama.

Syed Saddiq, pengalaman yang dilaluinya bukan sesuatu yang mudah dan beliau berharap tiada sesiapa, termasuk musuh politiknya sendiri, perlu melalui ujian yang sama.

Mengulas mengenai perancangan selepas ini, beliau berkata bercadang mengadakan kenduri kesyukuran khusus buat penyokong dan rakyat Muar yang tidak pernah berhenti memberikan kepercayaan kepadanya.

Katanya, walaupun pernah berdepan keputusan prima facie sebelum Pilihan Raya Umum, rakyat Muar tetap memilih beliau sebagai Ahli Parlimen. Kepercayaan itu menjadi amanah yang akan terus dipikul demi membela kebajikan masyarakat di kawasan tersebut.

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Pembebasan Syed Saddiq

Mahkamah Persekutuan pada Isnin menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap Syed Saddiq menerusi keputusan majoriti 2-1.

Keputusan itu menyaksikan beliau dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan membabitkan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Seisi keluarga ini mengucapkan syukur kerana bebas dalam kes ini

Keputusan majoriti tersebut sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2023.

Di sebalik keputusan yang memberi kelegaan kepada dirinya dan keluarga, kenyataan mengenai ‘lampu hijau’ daripada Mama dan Abuyah serta penghargaan buat Bella Astillah nyata menjadi momen yang paling mencuri perhatian.

Ramai peminat turut membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah dan doa agar segala perancangan pasangan itu dipermudahkan serta berakhir dengan sebuah ikatan yang diimpikan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros