Berita Sosial

“Ayah Tidur Atas Kakak…” Peguam Syarie Suzana Ghazali Dedah Kisah Tragis Ibu Dipaksa Diam Oleh Mentua Untuk Tutup Malu

Share

“Ayah tidur atas kakak…peguam syarie Suzana Ghazali dedah ibu dipaksa diam oleh mentua untuk tutup malu.

Perunding Keluarga Islam dan Peguam Syarie, Suzana Ghazali  berkongsi satu kisah menyayat hati mengenai seorang ibu yang didakwa dipaksa berdiam diri walaupun anak perempuannya dipercayai menjadi mangsa jenayah seksual.

Lebih memilukan, wanita itu mendakwa bukan sahaja tidak mendapat sokongan daripada keluarga mentua, malah ibu bapanya sendiri turut menghalang setiap usaha untuk mengambil tindakan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Suzana berkata wanita berkenaan hadir mendapatkan khidmat nasihat daripadanya dalam satu sesi konsultasi selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut Suzana, wanita itu berkahwin atas dasar suka sama suka. Namun, hanya tiga bulan selepas bernikah, dia mendapati suaminya didakwa terlibat dengan penyalahgunaan ganja.

Apabila perkara itu dimaklumkan kepada ibu mentua, dia berharap suaminya akan dibantu untuk berubah. Sebaliknya, wanita berkenaan hanya diminta terus bersabar dengan berkata, “biasalah tu, nanti dia berubah lah tu.”

Berpegang kepada harapan suaminya akan berubah, dia memilih untuk mempertahankan rumah tangga dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Anak Dicabul Bapa

Tidak lama kemudian, suaminya berhenti bekerja. Keadaan itu menyebabkan wanita berkenaan menjadi pencari nafkah utama keluarga manakala dua anak mereka, seorang anak perempuan berusia empat tahun dan anak lelaki berusia dua tahun ketika itu, ditinggalkan di bawah jagaan bapa mereka.

Menurut Suzana Ghazali lagi, pada suatu hari selepas pulang bekerja ibu ni dapati anak perempuannya menangis dalam keadaan ketakutan. Ketika memeriksa keadaan anaknya, dia menemui tompokan darah pada seluar kanak-kanak tersebut.

Apabila ditanya apa yang berlaku, anak itu didakwa menjawab, “Ayah tidur atas kakak.”

Bimbang dengan keadaan anaknya, wanita tersebut segera membawanya ke sebuah klinik swasta untuk menjalani pemeriksaan. Menurut Suzana, pemeriksaan mendapati terdapat kesan koyakan yang menunjukkan tanda-tanda pencabulan.

Lebih mengecewakan, apabila kejadian itu dimaklumkan kepada keluarga, wanita tersebut didakwa diminta supaya tidak membuat laporan polis kerana bimbang akan memalukan keluarga.

Malah, ada yang memberi alasan mangsa masih kecil dan akan melupakan kejadian itu apabila meningkat dewasa. Kejadian tersebut, menurut Suzana, berlaku pada tahun 2023.

Peguam Syarie Suzana Ghazali Dedah Kisah Tragis Ibu Dipaksa Diam Oleh Mentua Untuk Tutup Malu

Suami Didakwa Abaikan Tanggungjawab

Suzana berkata, kehidupan wanita itu tidak menjadi lebih baik walaupun suaminya memperoleh pekerjaan baharu pada Jun 2024 dengan pendapatan sekitar RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.

Suami didakwa hampir tidak pernah pulang bermalam di rumah dan hanya singgah untuk menukar pakaian sebelum keluar semula.

Dalam masa sama, wanita itu diminta berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anak-anak.

Walaupun suami mempunyai pendapatan tetap, nafkah keluarga didakwa tidak diberikan secara konsisten sehingga dia terpaksa berkali-kali meminta wang perbelanjaan.

Suzana turut mendedahkan wanita tersebut pernah menjejak suaminya ke tempat kerja sebelum mendakwa menemui lelaki itu bersama wanita lain.

Namun apabila perkara itu diadukan kepada keluarga mentua, dia sekali lagi diminta supaya terus bersabar.

Lebih menyedihkan, ibu bapanya sendiri turut menasihatinya agar tidak memikirkan soal perceraian kerana keluarga mereka tidak mahu melihat rumah tangga itu berakhir dengan perpisahan.

Nekad Mahu Bercerai

Selepas bertahun-tahun memendam derita, minggu lalu menjadi titik perubahan apabila wanita itu sekali lagi mendakwa mengesan suaminya bersama wanita lain sehingga berlaku pertengkaran dan dirinya hampir dipukul.

Insiden tersebut akhirnya membuatkan dia nekad untuk menamatkan perkahwinan yang selama ini dipertahankan. Namun, keputusan itu sekali lagi tidak dipersetujui keluarganya.

Menurut Suzana, ibu bapa wanita berkenaan didakwa memberi kata dua.

“Kau jangan nak cerai. Kalau kau cerai, jangan nak balik duduk rumah ni.”

Suzana berkata beliau kini sedang mengusahakan bantuan untuk wanita tersebut, namun menjelaskan wanita itu juga perlu mengambil beberapa tindakan bagi membantu usaha yang sedang dijalankan.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar segala urusan wanita berkenaan dipermudahkan. “Saya sedang usahakan sesuatu buat wanita ini dan dia sendiri perlu lakukan sesuatu bagi membantu usaha saya menolongnya. Mohon doakan urusan wanita ini dipermudahkan. Terima kasih,” tulisnya.

Perkongsian Suzana mengundang perhatian ramai kerana menyentuh isu keselamatan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pengabaian tanggungjawab suami serta tekanan yang dihadapi sesetengah mangsa apabila keluarga sendiri tidak menyokong usaha mendapatkan keadilan atau keluar daripada hubungan yang didakwa memudaratkan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros