
Suri rumah menang tuntutan harta sepencarian, bekas suami gagal nafikan hak bekas isteri. Dianggap tidak menyumbang secara kewangan kepada pembentukan harta keluarga kerana hanya bergelar suri rumah, seorang wanita akhirnya berjaya dalam tuntutan harta sepencarian apabila Mahkamah Rayuan mengiktiraf sumbangan tidak langsungnya sepanjang tempoh perkahwinan.
Perkara itu dikongsikan peguam syarie, Fahmi Ramli dari Tetuan Fahmi Ramli & Co yang menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut sebagai satu pengiktirafan penting terhadap pengorbanan isteri yang memilih mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak demi keluarga.
Menurut Fahmi, beliau mula mengendalikan kes berkenaan sejak sebelum pandemik COVID-19 di Mahkamah Tinggi sebelum ia berakhir di Mahkamah Rayuan selepas melalui perjalanan perbicaraan yang panjang.
Katanya, anak guamnya sanggup meninggalkan pekerjaan tetap dan hanya melakukan kerja sambilan supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan rumah tangga serta membesarkan anak-anak sehingga dewasa.
Namun, selepas melalui usia perkahwinan yang panjang, wanita itu diceraikan ketika usia lanjut. Lebih memilukan, tuntutan harta sepencarian yang difailkannya turut dipertikaikan bekas suami sehingga terpaksa diperjuangkan di mahkamah.
“Siapa yang tak sedih bila perjalanan usia perkahwinan yang panjang dengan suami akhirnya dibuang ketika telah capai umur lanjut tanpa sebarang apa-apa harta yang diberikan seolah-olah tiada apa-apa sumbangan dalam kehidupan berumah tangga tersebut,”
kongsi Fahmi.Menurut beliau, masih ada bekas suami yang hanya mahu melindungi harta untuk diri sendiri sehingga cuba menafikan hak bekas isteri, sedangkan pengorbanan seorang suri rumah memberi ruang kepada suami membina kerjaya dan mengumpul harta sepanjang perkahwinan.
Mahkamah, katanya, menerima hujah bahawa sumbangan tidak langsung seorang isteri tidak boleh dipandang ringan kerana pengorbanan mengurus rumah tangga, membesarkan anak-anak dan memastikan keluarga berada dalam keadaan baik merupakan antara faktor yang membolehkan suami memberi tumpuan kepada kerjaya.
“Pengiktirafan berkenaan dengan sumbangan tidak langsung isteri tidak perlu diambil ringan. Pengorbanan melayari bahtera perkahwinan yang lama juga adalah satu sumbangan yang tak boleh dinafikan.
“Dengan sebab mereka adalah suri rumah, anak-anak mereka terurus dengan baik, rumah tangga lebih teratur. Kehidupan suami lebih baik dan boleh fokus untuk mencari nafkah dan mengumpul harta,”
katanya.Susulan itu, Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan hak harta sepencarian kepada anak guamnya dengan pembahagian yang disifatkan adil dan setimpal bagi setiap harta yang dituntut.
Mengakhiri perkongsiannya, Fahmi merakamkan penghargaan kepada anak guamnya yang terus mempercayainya sepanjang proses mendapatkan keadilan.
“Terima kasih puan kerana terus percayakan saya hingga ke akhir perjuangan menuntut keadilan di mahkamah. Yang hak, pasti akan kekal berhak,” katanya.