
Hasrat seorang suri rumah untuk membeli baju kurung sempena Aidilfitri bertukar menjadi rezeki besar apabila dirinya berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM200,000 melalui kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN.
Pemenang bertuah itu ialah Nurul Aqilah Radzuan, 33, ibu kepada dua anak yang berasal dari Taiping, Perak. Kemenangan tersebut menjadikannya antara penerima hadiah utama dalam kempen ‘AFFIN Dream Box’ yang dijalankan dengan kerjasama strategik Affin Islamic Bank Berhad.
Nurul Aqilah mengakui pada awalnya dia tidak menyangka pembelian baju raya secara dalam talian itu bakal membawanya kepada tuah luar biasa.
“Saya beli baju kurung itu sebab tertarik dengan promosi percuma tumbler. Apabila sampai, saya buka kotak, tengok tumbler, kemudian baru buka baju dan cuba pakai. Selepas itu, saya imbas kod QR tersebut dan terpandang angka yang banyak kosong di belakang.
“Saya tenung lama, ingatkan RM200 sahaja, tetapi apabila melihat jumlah sebenar, saya terus mengambil tangkapan skrin dan hantar kepada suami untuk pengesahan. Saya masih dalam keadaan tidak percaya sehingga pihak Bulan Bintang menghubungi saya,” katanya ketika majlis penyerahan hadiah di Menara AFFIN, TRX Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam masa sama, pengasas jenama Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi atau Meri menjelaskan idea ‘Dream Box’ tercetus selepas beliau sering berdepan perbandingan nilai hadiah yang diberikan kepada pelanggan setiap tahun.
“Tahun-tahun sebelum ini, orang sering membandingkan nilai hadiah yang saya berikan. Saya terfikir, tidakkan setiap tahun saya perlu memberikan hadiah fizikal yang lebih mahal? Jadi, idea ‘Dream Box’ ini timbul supaya pemenang boleh menentukan sendiri impian atau kemahuan mereka.
“Kolaborasi bersama Affin Islamic Bank ini juga membolehkan kami melebarkan profil pelanggan dan membuktikan bahawa Bulan Bintang adalah jenama yang sentiasa ingin berkongsi rezeki dengan pelanggan setia kami,” katanya.
“Mekanisme kempen ini sangat mudah. Pelanggan hanya perlu membeli mana-mana barangan serendah RM109, imbas kod QR, dan keputusan keluar secara terus. Kami tidak mahu pelanggan menunggu lama atau perlu melalui proses cabutan yang rumit.
“Inilah kekuatan kempen ini, biar pelanggan sendiri merasai pengalaman menang secara terus tanpa perlu keraguan,” jelasnya lagi.
Bagi Nurul Aqilah, kemenangan ini adalah rezeki Ramadan yang paling bermakna buat keluarganya dan wang tersebut akan digunakan untuk simpanan masa depan serta merealisasikan impian yang selama ini terpendam.