Pasangan

“Sudah 7 Tahun Saya Berjuang Demi Anak-Anak”. Betty Banafe Letih Diuji, Tapi Tak Pernah Berputus Asa

Share

“Saya benar-benar letih. Tapi saya masih bertahan… demi anak-anak.”

Bagi ibu tunggal, perjuangan bukan sekadar soal mencari rezeki atau membesarkan anak-anak. Ada kalanya, perjuangan itu berlangsung di kamar mahkamah sunyi, menyakitkan, dan tidak semua orang mengerti.

Begitulah yang sedang dilalui oleh pelakon dan aktivis seni, Betty Banafe, 46, apabila kes hadanah (hak jagaan anak) antara beliau dan keluarga bekas suami masih berpanjangan walaupun telah memasuki tahun ketujuh.

Anak-Anak Dipanggil Bertemu Hakim

Terbaharu, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam membuka ruang kepada dua anaknya, Julia Claire Dargus, 12, dan Bruce Dean Dargus, 9 untuk ditemubual oleh hakim bagi membantu keputusan hak jagaan. Ini adalah langkah penting dalam kes hadanah, namun bagi Betty, ia hanyalah satu daripada banyak proses yang memakan masa dan emosi.

“Proses ini terlalu panjang dan meletihkan. Sudah tujuh tahun kami ulang alik ke mahkamah.”

Tentangan Dari Keluarga Bekas Suami

Lebih perit, Betty mengakui beliau turut berdepan tentangan berterusan daripada ibu dan bapa mentuanya, datuk dan nenek kepada anak-anaknya yang menetap di Selangor. Mereka berpendapat mereka juga berhak untuk meluangkan masa bersama cucu-cucu mereka secara tetap.

“Sedangkan sejak tahun 2019, anak-anak memang bersama mereka dua kali sebulan. Bahkan sewaktu PKP dulu, anak-anak tinggal bersama datuk dan nenek selama berbulan-bulan tanpa sebarang masalah.”

Namun apabila kes memasuki fasa penentuan hak jagaan tetap, situasinya menjadi lebih rumit. Perkara remeh turut dijadikan isu termasuk tindakan Betty membawa anak-anak pulang ke Johor ketika ibunya meninggal dunia.

“Waktu saya kehilangan ibu, saya bawa anak-anak ke Johor untuk urusan pengebumian. Itu pun dijadikan alasan untuk tindakan undang-undang.”

Kecewa Tapi Tetap Ingin Menjaga Silaturrahim

Betty yang juga dikenali dengan nama sebenarnya, Ibtisam Sekh Abu Bakar, turut menyatakan rasa kecewa apabila keikhlasannya untuk menjaga hubungan anak-anak dengan keluarga bekas suami disalah erti.

“Saya berusaha keras membina sesuatu yang baik dalam keluarga yang sudah berpecah ini. Tapi orang yang saya cuba bersangka baik dengannya, mereka jugalah yang sentiasa menyangka buruk terhadap saya.”

Dalam tempoh interim yang masih berjalan, Betty berdepan beberapa komital — iaitu perintah mahkamah kerana didakwa melanggar syarat tertentu.

Tarikh Perbicaraan Baharu Ditentukan

Mahkamah menetapkan 11 dan 12 November ini sebagai tarikh perbicaraan seterusnya.

Wanita, Jangan Pernah Letih Mempertahankan Hak

Betty bukan satu-satunya wanita yang sedang berjuang demi hak jagaan anak. Tetapi kisahnya menjadi suara untuk ramai ibu tunggal yang diam-diam terluka tetapi tetap bangkit setiap pagi demi anak-anak.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Sumber: Harian Metro

Published by
Rosmah Idayu