Ada suami sampai semak kepala bila dengan isteri yang kuat berleter. Katanya benda-benda kecik pun boleh jadi besar, bila isteri mula membebel. Ini tak kena, itu tak kena.
Aduan itu, suami tanyakan pada Ustaz Wan Asrul Al-Kalantani sebabnya nak cari jalan penyelesaian macam mana nak bagi isterinya kurang berleter.
Kata Ustaz, itu proses normal untuk seorang isteri yang penat dalaman. Sebenarnya, ada solusi macam mana suami nak tenangkan hati panas isteri yang bising-bising tu. Hadamkan.
Semak Kepala Bila Isteri Kuat Berleter
“Ustaz, macam mana nak bagi Isteri tak berleter? Benda-benda kecik pun, jadi besar. Semak jugalah kepala.”
Jawapan :
Jika menikah dengan isteri yang tidak dapat bercakap (bisu dan pekak) sekalipun, belum tentu mereka tidak berleter.
Bersyukurlah ada juga yang hendak berleter kepada kita. Cuba bayangkan, suatu masa dia diam dan tidak berleter pada kita. ‘Buat dekk je’ pada kita. Rupanya dia dah ‘berleter’ pada orang lain, ada tempat lain untuk dia lepaskan leteran. Semasa itu, kita akan sedar bahawa mereka sudah jemu dengan kita.
Isteri Kuat Berleter Itu Tandanya Dia Penat Dalaman
Kenapa para isteri berleter?
Itulah tandanya penat. Penat dalaman. Mereka memerlukan sokongan.
Seharian menguruskan rumah. Penat. suami balik kerja, dengan harapan dilayani mereka (isteri) pula. Mereka layan, hidang makan, beri air, tetapi suami pula beri komen kepada masakan mereka seperti juri ‘masterchef’, tidak mengapa, mereka tahan.
Hendak mandi, suami Buka baju, seluar, seluar sotong, letak merata. Mereka (isteri) dalam letih-letih, membongkok badan kutip satu persatu, letak di dalam bakul yang memang sudah disediakan di dalam bilik. Semasa itu mereka sudah mula berbunyi, tetapi suami jawab semula pada mereka, “ala, baju je pun.” Mereka menjeling pada kita. Suami senyum kerang busuk.
Malam, isteri mengetuk pinggang, betis, menggosok bahu sendiri, tanda tidak selesa. Suami ada di sebelah mereka. Terpandang. Siap tanya, “awak ok ke?”, mereka jawab, “lenguh, penat sikit hari ni, kena sental tandas di bawah.”
Suami pun menjawab, “penat tu, tidurlah.” Sambil suami meneruskan kuisan jari di telefon pintar dan tersenyum seorang.
Untuk keadaan di atas. Jika seorang isteri tidak berleter kepada anda, bermaksud, itu isteri kayu. ‘Try hard’ untuk jadi Solehah tetapi tidak mendapat sokongan dari suami. Jika itu yang terjadi, mereka akan berleter seorang diri yang akhirnya membawa kepada bercakap seorang diri, kemurungan.
Salah Satu Cara Isteri Lepaskan Hormon Dalam Badan
Ataupun mereka memilih untuk vokal. Iaitu bersuara. Dengan cara berleter. Untuk lepaskan keluhan, dan itulah cara mereka meransang serotonin mereka. Disebabkan itu selesai mereka berleter, mereka akan menarik nafas panjang, tanda lega, kemudian bertanya kepada suami, “ok, sekarang Abang faham dah?”
Jawapan kita kepada soalan itu akan menentukan samada mereka akan meransang endhorpins (Hormon bahagia) atau kortisol (Hormon stress).
Jika suami menjawab, “ya, dah faham. Saya minta maaf ya. Jom siap-siap kita dating, Abang belanja.” Dah tentu jawapan ini akan meransang endhorpins.
Jika suami menjawab, “awak dah kenapa? Benda kecik je pun. Serabut je la.” Jawapan sebegini sudah tentu meransang kortisol.
Panduan Untuk Suami Redakan Isteri Yang Kuat Berleter
Cara untuk selesaikan mudah saja. Tetapi apabila EGO ada sebesar batu di atas kepala, benda kecil jadi besar.
Mudah sahaja, untuk elakkan ‘jurus laser’ dari isteri.
FORMULANYA adalah S.U.A.P :
S okong : Bantu mereka
U sap : Usap, sentuh, peluk mereka.
A jak : Ajak mereka sesekali keluar berdua (dating). Jika tidak keluar, dalam rumah pun tiada masalah. Pegang tangan mereka, dengarkan keluhan mereka.
P uji : Pujilah mereka. Kerana wanita dan pujian adalah berpisah tiada. Jangan sampai orang lain yang memuji isteri kita. Pujian suami kepada isteri adalah suatu penghargaan.
Semoga bahagia rumahtangga kalian dengan Rahmat dan Redha ALLAH.
Wassalaam.
-AFIWAAK-
MW : Haa.. dah boleh praktik formula ustaz kongsi tu ya. Jangan tidak-tidak.
Artikel berkaitan :
Sumber/Foto : Wan Asrul Al-Kalantani
∞
Benarlah hati manusia adalah milik Allah. Sekali Allah balikkan hati seseorang, tidak mampu kita mengubahnya. Zuhail sendiri tidak menyangka dirinya dapat bertemu semula kekasih pertamanya ketika kursus di Melaka hujung tahun. Hanya sekadar bertukar-tukar nombor telefon, akhirnya membibitkan kemesraan.
Zuhail seorang bapa kepada empat orang anak. Dirinya dan isteri, Misya telah mendirikan rumah tangga hampir sepuluh tahun. Berkahwin atas aturan keluarga membuatkan perasaan cinta antara Zuhail dan Misya kurang mendalam. Tetapi ianya bukanlah alasan buat Zuhail melupakan tangungjawabnya.
Biar pun hubungan mereka agak dingin, tetapi isterinya tidak pernah berkecil hati, malah sentiasa berusaha memenangi hati tercinta. Hingga ke satu saat Zuhail terpaksa mengalah dan cuba belajar menyanyangi isterinya, tetapi perasaan itu seakan-akan tidak ikhlas.
Sebenarnya perasaan kasihan melebihi rasa sayang pada Misya. Namun begitu, perkara itu tidak pernah Zuhail ungkapkan. Setiap kali Zuhail melihat pengorbanan Misya yang melahirkan anak-anaknya, membesarkan anak-anak serta menguruskan keperluan dan anak-anak membuatkan Zuhail rasa bersalah.
Zuhail juga manusia biasa, kesempatan bertemu kekasih lamanya, Nadia seolah-olah memberi harapan baru untuknya merasai rasa cinta yang sebenar. Nadia masih seperti dahulu, cantik, bekerjaya dan amat memahami setiap kemahuan Zuhail.
Menyemai Cinta Lama
Dalam diam, Zuhail dan Nadia menyulam cinta yang terlarang. Zuhail yang hanyut dek asmara tidak mengetahui bahawa Nadia sebenarnya masih lagi sah bergelar isteri orang. Zuhail seakan-akan hilang arah hingga tidak mampu membezakan intan dan permata.
Di rumah Zuhail semakin dingin dengan Misya, anak-anak juga tidak diendahkannya. Zuhail kerap menghabiskan masa dengan telefon daripada bercakap dengan Misya atau pun anak-anak. Hilang gurau senda dan bila Zuhail bersuara, pasti tinggi suaranya.
Pernah sekali ibu Misya tenat, Zuhail langsung tidak ambil peduli. Malah di suruh anak dan isterinya pulang ke kampung sendiri. Disebabkan sukar menguruskan anak-anak sendirian menaiki bas, Misya pendamkan hasrat hatinya biar pun perasaannya tidak keruan.
Paling syahdu apabila Misya mendapat panggilan bahawa ibunya telah pergi buat selamanya. Misya langsung meminta pertolongan rakan baiknya untuk membawa dirinya dan anak-anak pulang ke kampung. Kali ini Misya tekad untuk tinggalkan Zuhail. Dirinya tak ubah seperti sampah diperlakukan Zuhail.
Kenyataan Yang Pahit
Zuhail yang langsung tidak mempedulikan tentang isterinya keliru apabila pulang ke rumah, rumah seakan sepi. Tetapi perkara ini langsung tidak berbekas di hatinya, malah dia makin galak untuk bertemu Nadia. Terasa hidupnya bebas kini tanpa isteri dan anak-anak.
Sedang asyik menikmati hidangan makan malam di restoren, Zuhail tiba-tiba ditumbuk oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Rupa-rupanya lelaki tersebut adalah suami kepada Nadia. Zuhail amat kecewa dan rasa tertipu. Selama ini Nadia mengakui dirinya telah bercerai.
Zuhail yang patah hati mencuba nasib untuk memujuk Misya, tetapi Misya langsung tidak memberi peluang kepadanya. Misya benar-benar terluka dengan tindakan Zuhail yang mengabaikan dirinya dan anak-anak. Lebih melukakan hati Misya apabila suaminya langsung tidak muncul di hari pengebumian ibunya.
Benarlah sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Selama ini Zuhail mengejar kaca, rupanya permata yang berada disampingnya tidak pernah dihargai.
∞
Sebagai mak ayah, jangan sekali-sekali mengajar anak untuk kutip duit raya dengan sesiapa. Kita tak tahu macam mana keadaan kewangan orang. Kena beringat tak semua orang bertuah ada rezeki lebih bab duit. Dan paling penting sebenarnya jagalah air muka pemberi duit raya.
Sebolehnya didiklah anak supaya menjaga adab apabila dapat duit raya, salah satunya jangan buka sampul depan pemberi. Nak lagi faham tentang DUIT RAYA, renungkan perkongsian daripada Parent Connect Consultancy, Puan Noor Afidah Abu Bakar ini…
DUIT RAYA OH! DUIT RAYA.
Pemberian duit Raya sudah lama menjadi budaya kita. Ia bukanlah satu budaya yang baru. Menurut emak saya, semasa emak kecil 70 tahun lalu kanak-kanak sudah pun diberikan duit Raya. Malah walau bukan musim Raya sekalipun, jika duit diberikan sebagai hadiah kepada kanak-kanak, ia disebut sebagai ‘duit Raya’ juga.
Apa yang baru adalah pemberian duit Raya di dalam sampul yang ditiru dari budaya masyarakat Cina jika tidak silap saya. Masyarakat Cina memberi ang pau dalam sampul merah, masyarakat Melayu memberi duit Raya dalam sampul hijau pada asalnya dan kini menjadi sampul pelbagai warna.
Bagi saya pemberian duit Raya kepada kanak-kanak tidak ada salahnya sebagai meraikan kanak-kanak pada Hari Raya. Sejak zaman-berzaman dan di mana sahaja, kanak-kanaklah yang paling gembira pada Hari Raya. Ia seumpama memberi hadiah kepada mereka. Dalam masyarakat Islam yang lain juga ada budaya memberi hadiah sempena Syawal tetapi tidak semestinya dalam bentuk wang. Hadiah ini diberikan untuk mengeratkan hubungan dan sebagai lambang ukhuwwah dan kasih sayang. Bagi saya konsep pemberian duit Raya juga begitu.
Didik Anak Erti Syawal
Walau bagaimanapun ibubapa perlu mendidik anak pengertian Syawal sebenarnya. Didiklah anak bahawa Hari Raya bukanlah untuk mengutip duit Raya semata-mata walaupun aktiviti itu sangat mengujakan.
Pasal Duit Raya
Janganlah pula ibubapa yang lebih sudu dari kuah memaksa anak meminta duit Raya ataupun menyindir mereka yang memberi jumlah duit Raya tidak sebanyak yang ibubapa harapkan. Duit Raya tidak seharusnya menjadi satu bebanan.
Banyak Sikit Duit Raya
Agak lucu bila mengingatkan ada kanak-kanak yang menolak jumlah duit Raya yang sedikit kerana mahukan yang lebih banyak. Jika tidak beri sekurang-kurangnya RM5, mereka menolak dan berlalu. Ini pemikiran ‘skim cepat kaya’ yang mengharapkan imbuhan yang besar sehinggakan yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Agaknya dari mana kanak-kanak belajar hingga mempunyai mentaliti yang sebegini?
Adab Pergi Beraya Bila Dapat Duit
Sebelum anak keluar konvoi beramai-ramai keliling kampung mengutip duit Raya, berpesanlah kepada anak agar bersyukur dengan apa saja jumlah yang diterima. Sedikit pun syukur, banyak pun syukur. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Jangan mengeluh, jangan menyindir, jangan komplen kepada tuan rumah. Walau tidak diberi duit Raya sekalipun, redholah. Jaga lisan, jaga adab.
Jamah Makanan Walau Tak Banyak
Pesanlah kepada anak supaya menjamah juga makanan dan minuman yang dihidangkan tuan rumah, walaupun sedikit, walaupun perut sudah padat dengan ketupat, rendang, dan air manis.
Belanja Ikut Kemampuan
Bimbinglah anak tentang pengurusan duit Raya. Mungkin ada yang dibelanjakan untuk membeli apa yang diidamkan selama ini, ada jumlah yang disedekah/didermakan kepada tabung pilihan, ada jumlah yang ditabung. Semoga latihan pengurusan kewangan ini menjadi tabiat atau ‘habit’ dan amalan yang berterusan.
Masyarakat kita memang agak terkebelakang dalam soal pengurusan kewangan. Ramai yang suka berbelanja melebihi kemampuan, ramai yang diisytihar muflis pada usia yang masih muda, ramai yang hidup ‘biar papa asal bergaya’, ramai yang tidak tahu menabung.
Semuanya bermula dari kecil.
Beri Duit Ikut Kemampuan
Berilah duit Raya megikut kemampuan dengan niat untuk meraikan kanak-kanak dan menggembirakan mereka. Janganlah jadikan duit Raya sebagai simbol kekayaan atau status symbol’ sehingga ia membebankan.
∞
Kebiasaannya mak-mak selalu berdoa agar dirinya yang sakit daripada anaknya yang sakit. Namun berbeza dengan ibu ini apabila dia berpandangan sebaliknya.
Kongsi ibu ini, ada sebabnya biar anak sakit daripada mak yang sakit. Nanti kucar-kacir jadinya bila mak jatuh sakit. Di samping itu, sudah-sudahnya mengejar title “ibu terbaik” dan jadilah diri sendiri.
Ikuti perkongsian Puan Farizal Radzali ini dan fahami apakah mesej yang dia cuba sampaikan:
Kongsi Ibu Ini Ada Sebabnya
Dulu, masa saya baru ada seorang anak, tiap kali anak demam atau sakit, saya susah hati. Sampai saya cakap dekat mak saya, kalaulah sakit itu boleh berpindah, biarlah sakit anak itu pindah dekat saya.
Tapi mak saya cakap, “Biar anak yang sakit, jangan mak yang sakit”. Masa itu saya rasa tak patut seorang mak cakap macam itu.
Tapi lama kelamaan, bila anak pun sudah bertambah, baru saya faham apa yang mak saya cuba sampaikan.
“BIAR ANAK SAKIT, JANGAN MAK YANG SAKIT”.
Andai semua ahli keluarga sakit sekalipun, seorang mak boleh jaga semuanya.
Tapi bila mak seorang yang sakit, semua isi keluarga jadi tak tentu arah, segalanya jadi kucar kacir. Sesungguhnya benar sekali.
Mak saya juga cakap, kalau makanan sudah siap, ada masa makanlah dulu. Jangan risaukan anak belum makan.
Sebab mak yang kena bertenaga. Jangan tunggu masa sesuai untuk makan, sebab seorang mak tiada masa sesuai. Kerana mak tiada me time.
Baca Juga Di sini:
Ada Sebabnya, Biar Anak Sakit JANGAN Mak Yang Sakit!
Pelukan Terakhir Seorang Ibu, Anak Kecil Maut Terhentak Pada Dashboard
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Kalau ada duit, rasa nak makan makanan mahal sikit tapi tak mampu nak beli untuk semua isi keluarga, belilah dan makan sendiri.
Contohnya, teringin sangat hendak makan aiskrim Connetto (dulu aiskrim ini kira mahallah). Belilah dan makan sendiri. Jangan rasa bersalah.
Carilah Me-Time Sendiri
Jangan rasa pentingkan diri. Sebab anak akan membesar, insyallah mereka akan ada masa untuk menikmatinya, mungkin lebih dari kita. Doakan rezeki anak-anak dimudahkan.
Sebagai mak, tak kiralah bekerja atau tak, kita tetap seorang mak. Kita tetap lalui perkara yang sama, tugas yang sama, rutin yang sama.
Memasak, membasuh, mengemas, mencuci, mengajar, mendidik, membebel, semua itu tugas mak, tiada yang terkecuali. Carilah “me time” sendiri. Jangan tunggu “me time” itu datang, sebab ia tak akan datang.
Tak Perlu Jadi Sempurna
Tak perlu jadi sempurna untuk segalanya. Hidup ini bukan untuk jadi sempurna, tapi untuk dinikmati dan menyimpan bekalan untuk hari kemudian.
Jangan peduli kata orang sebab orang bercakap tak akan pernah berhenti. Puaskan hati sendiri, bukan untuk orang lain.
Hidup untuk memberi, tapi simpan sikit untuk diri sendiri. Bukan kerana pentingkan diri tapi kerana kita manusia, ada kelemahan, kita tahu penat.
Berehatlah jika nafas sudah makin laju, jangan paksa diri. Minta bantuan jika perlu, walaupun adakala bantuan yang diminta, tiada yang peduli. Andai sukar didik suami, didiklah anak untuk membantu.
Moga mak-mak di luar sana sihat selalu, sentiasa dilindungi Allah SWT dan diberi pahala berlipat ganda di atas pangkat sebagai mak.
Re-post
Nukilan Farizal Radzali
MW: Tugas mak-mak bukan mudah, setiap hari hadap rutin yang sama. Sedari anak kecil hinggalah mereka besar. Jadi mak-mak perlu cari masa untuk diri sendiri dan sentiasa jaga kesihatan demi keluarga tersayang.
Sumber: Puan Farizal Radzali
∞