Tip isteri nak maafkan suami curang

 

“Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati, mempercayai kembali suami yang pernah curang? Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.”

Mungkin ada yang isteri yang dalam diam mengakui, sedang berada dalam situasi ini, pernah dicurangi oleh suami tercinta. Aduh, remuk hati. Namun demi sayang dan kasih yang masih bersisa, si isteri ambil jalan untuk memaafkan kecurangan tersebut.

Tapi, bercakap tak semudah untuk melakukan. Jadi, mungkin perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Keluarga & Guaman Syarie dan kolumnis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita, boleh membantu anda yang sedang berada dalam situasi sebegini.

Minda Manusia

Ingin saya menarik perhatian anda semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.

Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.

IKLAN

Suami Pernah Curang, Isteri Boleh Ikut Langkah-Langkah Ini Ubat Hati…

Usaha

Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda. Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.

Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.

Peluang

Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya memberi ruang dan peluang kepada sesiapa saja apatah lagi kepada pasangan sendiri.

IKLAN

Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.

Memaafkan

Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas berikan kemaafakn kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa,sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.

Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.

IKLAN

Rasulullah s.a.w, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.

Biarkan Berlalu

Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.

Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah Anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.

Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda membiarkan pengalaman perit yang lepas, berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI