Suami nak kahwin lagi, jangan diam-diam, bincanglah dengan isteri dulu. Bila suami mula timbulkan hasrat nak tambah satu lagi, memang bukan benda yang mudah untuk isteri hadam. Lebih menyakitkan adalah bila perkara itu disembunyikan, dan isteri dapat tahu dari orang lain atau lebih teruk, mimpi pun boleh jadi ‘alarm’.
Macam satu kisah yang dikongsi oleh Dr. Khairul Faizie baru-baru ini, bila isterinya sendiri bercerita tentang mimpi pelik masa mereka sedang santai bersarapan.
“I mimpi kita pergi Melaka. Lepas tu tiba-tiba jumpa isteri kedua you. Rupa-rupanya dah kahwin senyap 6 tahun, siap ada anak seorang,” kata isterinya sambil ketawa kecil.
Dr. Khairul sendiri tergamam, dan berseloroh katanya, dia lupa nak tanya rupa bini nombor dua tu macam mana.
Tapi dari mimpi pun kita boleh ambil pengajaran, sebab isu poligami bukan main-main.
Berikut antara perkara penting yang lelaki (dan wanita) patut renungkan:
Kalau betul nak kahwin lagi, suami kena ada keberanian untuk maklumkan pada isteri. Tak perlu sorok macam buat benda salah. Kalau benar niat kerana agama dan yakin mampu berlaku adil, kenapa perlu diam-diam?
Menyorok perkahwinan kedua bukan saja menipu isteri pertama, tapi juga menghina kepercayaan dan usaha dia dalam membina keluarga. Isteri mungkin marah, itu normal. Tapi lebih baik hadap kemarahan secara jujur daripada menanggung dosa kerana menipu bertahun-tahun.
Isteri yang marah bila suami nak kahwin lagi – itu bukan bermaksud dia tak faham hukum. Cuma, poligami menyentuh emosi paling sensitif seorang wanita. Jadi, jangan expect mereka terus redha tanpa rasa. Namun, kalau dibawa berbincang dengan tenang, mungkin jalan masih terbuka.
Kalau suami betul-betul ikhlas dan telus, itu lebih baik daripada dia berzina atau curang secara senyap. Tapi, suami juga kena terima kalau isteri minta dilepaskan – bukan sebab dia tak izinkan, tapi mungkin dia tak sanggup.
Waktu itu, banyakkan solat, doa, dan minta Allah beri petunjuk. Kalau benar jalan itu yang terbaik, Allah akan lorongkan juga.
Kita semua hanya dipinjamkan satu sama lain. Suami isteri bukan hak milik, tapi amanah yang perlu dijaga. Apa pun berlaku, ingat – perkahwinan bukan tiket untuk berkuasa atas pasangan. Kalau sayang pasangan kerana Allah, kita juga kena redha dengan takdir-Nya, walaupun pahit.
Tapi ingat juga, kalau suami yang dah beristeri mahu kahwin lagi, tanggungjawab dia berganda. Kalau culas, isteri ada hak untuk buat laporan dan tuntut hak melalui saluran undang-undang syariah.
Kepada wanita yang akan jadi isteri kedua, tolong jangan aniaya kaum sendiri. Kalau kau sanggup rahsiakan hubungan dengan suami orang, dan bersubahat dengan dia menipu isteri pertama, kau jangan terkejut kalau satu hari nanti kau pula yang merasai perkara sama.
Hari ini kau isteri kedua. Kalau esok suami kau kahwin lagi secara rahsia, kau pula yang bakal rasa peritnya. Poligami itu sah dari sudut agama, tapi mesti telus, berdaftar, dan ikut undang-undang. Jangan ikut jalan mudah ke sempadan untuk nikah diam-diam.
Poligami bukan soal siapa menang, siapa kalah. Ia soal tanggungjawab, keadilan, dan kejujuran. Kalau rasa mampu dan yakin boleh berlaku adil, bawa berbincang dengan isteri dengan hati yang tenang. Kalau tak mampu hadap, jangan mula.
Dan buat isteri pula, kalau suami datang dengan niat nak kahwin lagi – tenang, jangan terus meletup. Mungkin tak mudah, tapi cuba dengar dulu dengan akal, bukan emosi.
Hidup berumah tangga ini bukan perlumbaan siapa lebih berkuasa. Ia soal saling memahami dan menjaga amanah Allah, dengan ikhlas.
Sumber: Dr. Khairul Faizie
Baca artikel lain juga: Poligami, Isteri Bukan Takut Atau Ego Tapi Ada Sebabnya Tak Mahu
Lelaki Kalau Ajak Poligami Tapi Nak Nikah Di Siam, Peguam Syarie Nasihat Wanita Tinggalkan Dia
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE