Izin atau tak? Suami memang berhak berpoligami. Namun, poligami adalah sesuatu yang sangat mendukakan hati isteri walau pun ia dibenarkan dalam agama. Ikuti pengakuan seorang wanita kepada MW.
Assalamualaikum puan kaunselor yang dihormati. Saya berusia seorang isteri dan ibu kepada tiga puteri berusia 11, 13 dan 16 tahun dan dua putera berusia 9 dan 5 tahun. Saya seorang suri rumah tangga dan saya sendiri yang memilih untuk tidak bekerja selepas melahirkan anak kedua dahulu. Suami seorang akauntan di sebuah syarikat swasta.
Saya bersyukur kerana suami mampu memberikan segala kesenangan untuk saya dan anak-anak. Tak pernah ada yang kurang pun. Dek kerana sibuk dengan anak-anak, saya jarang menemani keluar ke majlis-majlis anjuran syarikat atau client. Bila ada waktu hujung minggu barulah saya dan anak-anak dibawa keluar oleh suami, berjalan atau menonton wayang.
Hidup saya bahagia walau pun saya sedar hubungan saya dan suami agar renggang. Kami makin jarang bercakap dan kalau bercakap, hanya soal anak-anak. Suami juga sering kali pulang lewat kerana sibuk dengan kerja dan sering juga perlu bertugas di luar daerah sama ada di dalam mahu pun luar negeri.
Hidu Perubahan Suami
Saya sebenarnya tidak sedar bila suami mula berubah. Namun bila anak-anak mula lahirkan rasa sedih kerana papa semakin sibuk dan jarang keluar bersama, hati saya mula terdetik. Ya, dah lama juga kami tak keluar bersama.
Hujung minggu suami sibuk dengan kerja dan bermain golf. Hairan juga kerana dulunya dia sibuk juga tapi sekurangnya sehari akan digunakan untuk bersama kami. Kebelakangan ini, dia lebih banyak menyuruh saya keluar dengan anak-anak saja dan memberikan saya wang untuk berbelanja.
Puan, memang benar duit itu penting. Tapi saya dan anak-anak juga perlukan perhatian dan kasih sayang suami. Duit yang ditabur pada kami tak mampu buat kami bahagia.
WhatsApp Misteri
Baru-baru ini, saya ada menerima whatsApp daripada seseorang yang tiada nama. Cuma dia menyatakan suami saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan rakan baiknya. Dia kasihan pada saya yang terlalu baik katanya. Lantas dia membocorkan rahsia itu pada saya. Turut disertakan nombor wanita itu. Hanya Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu namun saya tak cepat melatah.
Saya cuba bersabar melihatkan kelakuan suami. Ya, memang banyak yang mencurigakan. Saya memberanikan diri untuk menghubungi wanita yang dikatakan punya hubungan dengan suami saya itu. Puan, ternyata dengan berani wanita itu mengakuinya. Katanya sudah beberapa bulan mereka bersama dan hubungan mereka serius. Lantas saya memberanikan diri bersemuka dengan suami hari itu juga.
Pengakuan Suami
Dia mengakui dia ada kekasih lain. Yang membuatkan saya rasa sedih, marah dan sakit hati, bila ditanya sebabnya, katanya kekasihnya itu boleh dibawa menemaninya ke majlis-majlis dan pandai bergaya.
Puan, luluh hati saya. Teruk sangatkah saya di mata suami? Bukan saya tak nak ikut dia, tapi dia yang tak benarkan. Katanya kasihan pada anak-anak. Sebagai isteri, saya tetap jaga penampilan di mata suami. Saya kecil molek dan wajah saya kata orang lebih awet muda daripada usia sebenar. Tapi ya, saya tak suka bersolek tebal atau seksi seperti kekasih baru suami yang ditunjukkan sendiri oleh suami. Suami juga terus terang meminta saya bersedia untuk dimadukan bila-bila masa saja.
Ads
Puan, saya sangat sedih tapi saya tak mampu nak kongsikan dengan sesiapa pun termasuk anak-anak dan keluarga. Hanya seorang rakan baik yang tahu kisah saya ini. Apa yang patut saya lakukan? Saya tak sanggup bermadu kasih.
Isteri Tertekan, Perak
SARANAN KAUNSELOR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah.
Wanita yang bergelar isteri sebahagian besarnya akan mencurahkan sepenuh kasih sayang, kesetiaan dan kepercayaan kepada suami dan anak-anak yang Allah kurniakan kepadanya.
Tak Kaya Tak Apa...
Baginya, memadai Allah kurniakan suami yang baik, yang tidak menduakannya dan anak-anak yang baik akhlaknya, mengatasi kekayaan yang diberikan oleh suami. Sekadar ada rumah, kenderaan, wang saku dan keperluan diri dan keluarga yang mencukupi sudah boleh menjadikan seorang isteri bahagia.
Harapan isteri, dengan memberi tumpuan kepada suami dengan memberi layanan yang baik dan mentaati perintah suami, akan mendapat layanan yang baik juga dari suami, khususnya tidak ada wanita lain yang hadir dalam hidupnya.
Namun, “ku sangka anas hingga ke petang , rupanya hujan di tengah hari”. Allah memberikan ujian kepada isteri yang baik dengan menjadikan suami punya hati dan cinta wanita lain selain daripada dirinya. Ujian yang Allah berikan itu adalah untuk meningkatkan keimanan isteri. Pun begitu, cara mengendalikan suami punya beberapa alternatif, reda dan terima ketentuan Allah, atau mahu berjuang mempertahankan suami hanya untuk dirinya sahaja.
Mampukah Suami?
Kita pernah mendengar satu frasa yang menyebut “ wanita banyak sembilan nafsu tetapi hanya ada satu akal, manakala lelaki hanya ada satu nafsu tetapi ada sembilan akal. Dan nafsu lelaki yang satu itu hanyalah wanita. Maka Allah izin lelaki berkahwin hingga empat orang jika dia benar-benar boleh berlaku adil. Persoalan suami mampu atau boleh berlaku adil itu adalah soal kedua.
Ads
Yang utama adalah Islam mengizinkan suami berkahwin selagi mana dia mampu dan berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Bukan mudah jika dia memikul amanah itu. Semuanya dipersoalkan di hadapan Allah jika dia tidak berlaku adil.
Oleh itu, bukanlah kita sebagai wanita boleh mempertikaikan hukum Allah atau melarang suami dari berkahwin lagi kerana Allah yang cipta hukum itu, maka dia tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Tiga Pendekatan
Kepada isteri seperti puan yang berhadapan dengan suami yang mahu berkahwin lai, ada tiga pendekatan yang puan boleh pilih. Pertama, meredai suami berkahwin lagi dan puan kekal sebagai isterinya.
Jika ini puan melepasi ujian ini, Masya-Allah, hebatnya puan sebagai isteri solehah yang dijanjikan syurga Allah. Kedua puan menyebut puan tidak dapat menerima poligami, iaitu dimadukan, maka puan boleh memohon perceraian. Namun ini amatlah dibenci Allah, namun ianya dihalalkan Ketiga puan menolak sekeras-kerasnya wanita itu berkongsi kasih dengan puan.
Saya tidak pasti manakah pilihan yang puan akan ambil tindakan. Pertama buat solat istikharah apakah cara terbaik yang puan akan lakukan. Berdasarkan apa yang puan coretkan dalam kisah ini, saya mengandaikan puan buat pilihan ketiga, iaitu tidak mahu berkongsi suami.
Mungkin beberapa pendekatan ini boleh membantu, namun ianya tidak semudah yang dijangka. Berkemungkinan besar ianya akan gagal, kerana kuatnya dorongan cinta. Namun puan jangan berputus asa. Pertama, puan perlu bersyukur kerana suami adalah orang yang bertanggung jawab terhadap isteri dan anak-anak. Keperluan puan dan keluarga senantiasa dipenuhi. Persepsi terhadap suami perlu positif jika puan mahu memenangi kembali cinta suami.
Puan juga perlu menukar penampilan, senantiasa bergaya khususnya di hadapan suami. Puan sahaja yang tahu apa kegemaran suami. Kedua, jika masih tidak berubah, puan boleh berbincang dengan suami tentang hasrat puan yang tidak mahu dimadukan.
Alasan suami puan tidak dibawa ke sana sini kerana kurang penampilan hanyalah alasan seorang lelaki yang mahu mencuba menu dan cita rasa yang lain. Dia akan tetap begitu. Puan teruskan berhias untuknya. Jika tiada perubahan, puan boleh libatkan ahli keluarga yang paling disegani oleh suami, sama ada sebelah suami mahu pun sebelah keluarga puan.
Bersemuka Dan Terus Terang
Ketiga, puan perlu berani berjumpa wanita itu bersama ahli keluarga terdekat dan nyatakan bahawa puan tidak mahu dimadukan. Jika wanita itu masih berkeras dan suami juga mahu meneruskan hasratnya, dan puan juga sudah tidak mampu membendung keadaan, maka jangan mudah mengalah.
Cuba alihkan fokus puan kepada perkara lain daripada hanya fokus kepada suami. Jangan megalah kepada “emosi” yang kalah seperti sedih, tidak boleh terima kenyataan suami ada yang lain. Dan pelbagai minda dan perasaan negatif yang hadir dalam diri puan. Saya rasa daripada apa yang puan nyatakan suami ada harta. Jika nampak suami beri beria-ria mahu kahwin, minta dia buat wasiat, iaitu harta tertentu untuk milik puan. Biar puan kalah hati, tetapi menang yang lain.
Alih Fokus
Minta suami izinkan puan menceburi bidang perniagaan atau bidang yang puan minati. Puan perlu ada sebuah kereta sendiri yang dinamakan atas nama puan. Puan aktifkan diri dengan perniagaan. Pada masa yang sama puan aktifkan diri dengan aktiviti kebajikan membantu masyarakat sekeliling yang susah dengan memberi pertolongan. Dengan kata lain, tiga perempat daripada tumpuan puan kepada suami dialihkan kepada aktiviti puan di luar daripada lingkungan rumah.
Apabila puan aktif dalam bidang ini, maka pemikiran dan perasaan puan akan dikuasai oleh faktor lain yang bukan suami dan hal-hal yang berkaitan dengan dirinya. Maka hati puan akan sedikit tenang. Ingat bahawa hidup ini bukan hanya untuk seorang lelaki bergelar suami, tetapi kepada ramai manusia, selagi mana ianya tidak menyalahi hukum dan adat.
Dan apabila puan kurang fokus kepada suami, secara tidak disedari fokus suami akan beralih kepada puan. Dalam mengendalikan pendekatan ini, puan perlu bijak dan pastikan puan dalam kedudukan yang kuat khususnya dari segi emosI. Tanda Allah sayang kita, adalah Allah hadirkan ujian untuk kita. Agar kita akan lebih dekat dengan Allah.
Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Mohamad, Kaunselor.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Menjadi tanggungjawab mak ayah, menamakan anak yang baru lahir dengan maksud yang baik-baik. Ada mak ayah yang memilih keunikan nama anak-anak berdasarkan sesuatu peristiwa, situasi mahupun meluahkan rasa syukur atas penantian kelahiran cahayamata.
Nama Unik ‘Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’
Pasangan suami isteri memberi nama unik untuk bayi mereka iaitu ‘Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’.Didit Saputro, 39, dan Meidiana, 35, dari Bantul, Yogyakarta memberi nama itu bagi melahirkan rasa syukur selepas tujuh tahun baru dikurniakan zuriat, lapor Detik News, pada Ahad.
“Kami menunggu selama tujuh tahun sejak pernikahan pada tahun 2012, tetapi Alhamdulillah kami diberi rezeki bayi lelaki pada 7 September 2019,” katanya.
Menjalani Rawatan Alternatif
Didit merupakan Jurugambar Profesional memberitahu isterinya telah menjalani kaedah rawatan kesuburan di hospital termasuk rawatan alternatif seperti perubatan tradisional.
“Semasa dalam usaha mendapatkan anak, isteri ditimpa kemalangan motosikal pada 2018 hingga mengalami patah tulang kaki.
“Kerana isteri enggan menjalani pembedahan, kami memilih rawatan tradisional di Borobudur. Tukang urut memberitahu isteri mengalami masalah saraf dan sukar untuk hamil. Isteri perlu menjalani rawatan sehingga November 2018. Akhirnya pada Februari 2019, kami mendapat berita gembira apabila isteri disahkan hamil dua bulan.
“Ya, saya benar-benar tidak menjangkakannya, semua yang berlaku kerana izin dari Allah SWT,” katanya.
Sebelum ini, keunikan nama bayi itu menjadi bualan hangat masyarakat termasuk warga maya selepas kad pengenalan diri bayi tersebut tular.
MW: Memang unik nama bayi ni apabila dinamkan’Alhamdulillah Rejeki Hari Ini’. Namun sebaiknya setiap mak ayah, letaklah nama yang baik-baik untuk anak-anak dan tak ‘memalukan’ mereka kelak. Semoga nama tersebut membawa maksud dan kehidupan baik buat mereka.
Cepat ubah diri! Wanita tolonglah bersiap walaupun di rumah, jaga kecantikan untuk diri & suami. Sebagai seorang wanita apatah lagi yang bergelar isteri tak kisahlah yang bekerjaya atau suri rumah penampilan diri perlulah dijaga.
Jangan biarkan diri selekeh dan terlalu selesa dengan keadaan diri yang polos. Apatah lagi bila suami ada disisi. Jangan malas ya untuk berhias.
Cepat UBAH DIRI! Wanita Tolonglah Bersiap Walaupun Di Rumah
Walaupun kadangkala suami tidak kisah dengan penampilan anda namun perlu dititik beratkan aspek kebersihan diri. Bersiap tu tak semestinya bersolek tebal tetapi cukuplah nampak bersih dan elok di mata suami tercinta.
Ikuti 10 Tip ini yang dikongsikan oleh Puan Dzuriasikim Dzulkefli yang boleh dijadikan panduan berguna buat golongan wanita.
“Pernah ketika saya berbual dengan seorang sahabat.
“Beliau sedang mengandungkan anak ketiga. Katanya dia tak ada mood langsung untuk menjaga diri. Malas nak bersiap. Apa lagi untuk memakai skincare mahu pun berhias. Hendak tengok muka sendiri di cermin pun terasa malas katanya.
“Terus saya nasihatkan dia supaya cepat-cepat ubah diri dan jangan sampai nanti menjadi tabiat pula.
“Benarlah kadang ketika mengandung kita mudah berasa lesu dan tidak bermaya. Tetapi jika kita biasakan diri dan tidak mahu melawan rasa malas, lama kelamaan perkara yang tak biasa itu jadi kebiasaan pula.
“Kadang wanita yang tidak mengandung pun ada yang berasa tidak sempat untuk bersiap. Kerana terlalu banyak kerja rumah yang seakan tak pernah habis. Jika bersiap pun nanti akan comot lagi jadi dibiarkanlah saja. Begitu.
“Jadi Malas Nak Sikat Rambut”
“Jadi malas nak mandi dan tukar baju selepas memasak. Hingga baju kadang berbau bawang ketika suami pulang pun kita dah terbiasa.
“Jadi malas hendak bersiap kerana kita fikir kita tak keluar rumah atau tidak ke mana-mana.
“Wanita Juga Mudah Berasa “Selesa”
“Suami saya tak kisah…”.
Orang perempuan mudah “take for granted” kerana menganggap hal begini sangat remeh untuk difikirkan. Dan hanya rajin bersiap ketika keluar rumah sahaja. Berada di “comfort zone” begini adalah salah satu dari punca “silent killer” dalam rumahtangga.
“Pernah Ustaz Azhar Idrus dalam ceramahnya berkata, kadang ada isteri yang sambut suami pulang. Sisik ikan pun masih ada lagi di muka. Ianya hanyalah perumpamaan betapa wanita ini ada yang tidak ambil kisah untuk merapikan diri sewaktu di rumah.
“Saya beritahu sahabat saya… dulu waktu baru kahwin mesti you nak cantik-cantik selalu kan untuk suami. Jadi, kenalah macam tu sampai bila bila. Cantik untuk diri dan cantik untuk suami.
“Sebenarnya, rasa malas untuk bersiap itu boleh hilang kalau kita amalkan beberapa perkara ini sahaja…
Pernah tak dengar ungkapan “No matter how you feel, get up, dress up, show up and never give up…”. Buat exactly begini. Tak kira apa pun yang anda sedang rasa (down atau stres), perkara pertama kena buat setiap pagi adalah mesti bangkit dari tempat tidur dan terus mandi.
(Jika boleh, saya mahu ulas dengan lebih panjang tentang ini).
Malas macamana pun, cubalah sikat atau sisir rambut anda. Jangan terkejut ada orang yang malas nak sikat rambut sendiri. Habis mandi, terus ikat dan pakai tudung. Tahukah anda dengan hanya menyikat rambut sahaja pun boleh buat kita “feel good” dan nyaman.
Sapu lah losyen pada tangan dan kaki selepas mandi. Seharian di dapur dan menguruskan rumah sekurang-kurangnya tumit tidak terasa kasar walau terlanggar kaki sendiri.
Pakai pakaian dalam yang bersih dan dalam keadaan baik. Dalam erti kata lain, pastikan pakaian dalam kita masih elok (walaupun orang tidak nampak). Ingat, kita pakai untuk diri kita.
Pilih pakaian yang bersih. Kita akan berasa selesa bila kita habis mandi dan pakai pakaian yang bersih. Usah pakai jeans atau jubah atau tudung tanpa dicuci berulang kali walaupun tidak ada orang yang tahu.
Boleh gunakan solekan tipis walaupun hanya untuk di rumah. Sekurang-kurangnya kita mahu kelihatan lebih bermaya untuk diri sendiri dan suami atau anak-anak.
Gunakan wangian badan untuk tambah kesegaran diri. Pastikan kita pakai deodorant juga. Wanita perlu pastikan bahagian bawah lengan kita terhindar dari sebarang peluh dan bau (walaupun ketika berada di rumah).
Setiap pagi amalkan begini dan anda akan berasa sangat selesa dan bahagia dengan diri. Suatu “feeling good” yang hanya anda sendiri akan rasa berbanding jika anda bangun pagi dan tidak mandi, lalu terus ke dapur.
Amalkan begini selama sekurang-kurangnya 3 minggu untuk “create habits”.
InsyaAllah jika sudah terbiasa anda sudah tidak mahu jadi malas untuk bersiap lagi.
“Kita buat bukan untuk orang tapi untuk kita sendiri.
“Kita pun akan rasa lebih sihat dan bermaya kalau kita selalu bersih, kemas dan bersiap begini.
“Pagi bersiap. Malam hendak tidur pun bersiap.
“Bersiap bukanlah bermaksud mesti bersolek tebal dan berhias. Tetapi bersihkan diri agar terjaga rapi dan manis dipandang selalu.
“Jika anda dapat lakukan ini, minda anda juga akan terasa lebih bahagia dan positif!” kongsi Puan Dzuriasikim.
Lelaki pun pandai merajuk. Bukan mengada-ngada tapi sebab lelaki pun ada perasaan. Jangan ingat perempuan sahaja boleh merajuk, lelaki pun sama. Selalu bila sebut merajuk, mesti merujuk pada kaum perempuan sahaja.
Lelaki Pun Pandai Merajuk
Mengapa bila sebut sahaja merajuk anda fikir hanya kaum wanita sahaja yang ada perasaan itu. Sedar tak sedar sebenarnya lelaki juga memiliki sifat merajuk. Malah kadangkala tahap merajuk lelaki mengalahkan isteri atau teman wanita.
Bagaimanapun tak ramai lelaki yang ingin mengaku bahawa mereka merajuk. Dengan sifat kejantanan dalam diri, mana mungkin seorang lelaki ingin tampil dilihat seperti kanak-kanak merengek yang mahukan mainan.
Tapi sebagai lelaki kita tak perlu malu. Merajuk itu normal. Merajuk itu perkara yang siapa sahaja akan dilalui oleh seorang lelaki. Kalau tak pernah merajuk itu bermakna ada yang ‘tidak kena’ dalam diri anda.
Bukan Mengada-ngada Tapi Sebab Lelaki Pun Ada Perasaan
Merajuk ini sangat dekat dengan perhatian. Kerana apa? Kerana dengan perhatianlah merajuk ini boleh berlaku. Berikut dikongsikan punca utama boleh menyebabkan lelaki merajuk.
CEMBURU
Dalam hubungan romantis rasa cemburu itu satu perkara yang lumrah. Namun kadangkala perasaan cemburu itu berbeza-beza tahapnya pada setiap orang. Lelaki boleh merajuk kerana cemburu melihat isteri atau teman wanitanya melebih-lebihkan orang lain.
Sebagai contoh lelaki boleh cemburu akan hubungan si dia dengan lelaki di tempat kerja atau sebagainya. Perkara seperti ini jika tidak dibawa berbincang boleh memudaratkan hubungan dalam jangka masa panjang.
KENA MARAH
Tiada siapa pun suka kena marah apatah lagi dimarahi oleh orang tersayang. Lebih teruk lag jika lelaki itu dimarahi di atas kesilapan yang dia tak buat pun. Memang patutulah dia merajuk!
MAKAN HATI
Ini antara jenis merajuk yang paling parah. Lelaki yang merajuk sebab perkara ini biasanya sukar untuk dia memaafkan semula. Kebiasaannya ia berlaku dalam tempoh yang lama dan dia sudah tak tahan makan hati dan memendam kemarahan. Cara terbaiknya, putuskan segala hubungan dan bertindak dingin.
RASA TAK DIHORMATI
Pantang bagi lelaki jika dia merasakan dirinya sudah tidak dihormati. Mungkin dia memilih untuk berdiam diri tapi itu tak bermakna dia tak marah. Merajauknya memang sukar untuk dipujuk.
RASA TAK DIHARGAI
Setiap orang tak sempurna dan pasti ada kekurangannya. Namun jika segala usaha yang dicurahkan tetapi langsung tak dihargai memang ia boleh menjadi punca seorang lelaki merajuk.
DAHAGA PERHATIAN
Lelaki juga perlukan perhatian apatah lagi daripada orang tersayang. Jadi antara mekanisme untuk meraka tarik perhatian pasangan ialah dengan merajuk walaupun untuk perkara kecil. Ini kita panggil jenis merajuk yang buang tabiat!
SEBAB STRES
Lain orang lain caranya untuk berdepan dengan stres. Bila sudah tidak tertahan dan menanggungnya ada lelaki lebih cenderung untuk mendiamkan diri dan mengasingkan dirinya, seolah-olah dia sedang merajuk walhal dia sebenarnya ingin lari daripada sebarang tekanan.
Ibu bapa mentua kepada personaliti media sosial Prince Syed ditahan polis selepas insiden serangan di Klang. Pempengaruh itu tampil menjelaskan isu pembedahan bariatrik isterinya, Fatin Syazwani.