Suami Isteri Maut Ford Mustang Terbabas Selamat Dikebumikan, Sempat Belanja Kek Untuk Pekerja Kedai Emas

Share

Suami isteri maut Ford Mustang terbabas selamat dikebumikan, sempat belanja kek untuk pekerja kedai emas. Pemergian pasangan suami isteri yang juga pemilik kedai emas, Allahyarham Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya Nur Syamimi Rosli, 36, akibat kemalangan jalan raya pada Isnin lalu memberi kesan yang amat mendalam bukan sahaja kepada ahli keluarga, malah kepada golongan yang pernah menerima bantuan daripada mereka.

Suami Isteri Maut Ford Mustang Terbabas Selamat Dikebumikan, Sempat Belanja Kek Untuk Pekerja Kedai Emas

Menurut bapa kepada Allahyarhamah Nur Syamimi, iaitu Rosli Ramli, 61, pasangan itu sangat pemurah dan tidak lokek untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan. Malah katanya, mereka sangat mudah tersentuh melihat penderitaan insan lain.

Rosli menyiram pusara anak dan menantunya selepas jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu.

“Mungkin asbab daripada sifat pemurah mereka, ALLAH permudahkan urusan perniagaan barang kemas diusahakan hingga berjaya membuka dua kedai emas termasuk di Pekan.

“Dulu dia (Nur Syamimi) menjual barang kemas termasuk barang perhiasan suasa dan perak secara kecil-kecilan termasuk di pekan sehari.

“Berkat usaha mereka, perniagaan barang kemas yang diusahakan lebih 10 tahun lalu itu semakin maju dan boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada Selasa.

Rosli yang merupakan pesara guru turut berkongsi bahawa pasangan itu sering bergerak bersama setiap kali menghantar barang kemas kepada pelanggan. Malah, pertemuan terakhir mereka berlaku dua hari sebelum kejadian, ketika pasangan itu menghantar anak ketiga untuk bermalam di rumahnya.

“Saya cuma dapat tahu mereka ke Segamat semalam (Isnin) untuk bertemu pelanggan sebelum menerima khabar mengejutkan ini,” ujarnya.

Beliau menerima berita kemalangan yang meragut nyawa anak dan menantunya sekitar jam 3 petang daripada anak bongsunya.

“Masa terima panggilan saya baru hendak makan tengah hari.

“Anak beritahu kakak dia dan suami kemalangan dan kedua-duanya maut di tempat kejadian,” katanya lagi.

Rosli menyifatkan kehilangan mereka sebagai satu tamparan hebat kerana perniagaan yang diusahakan bersama kini sedang berkembang pesat.

“Mereka pergi waktu perniagaan sedang maju tapi ALLAH lebih sayangkan mereka,” katanya, sambil mengenang kembali tragedi kehilangan anak keduanya, Allahyarham Mohd Shazwan, dalam kemalangan pada tahun 2011.

Pasangan ini meninggalkan empat orang anak perempuan berusia antara dua hingga 11 tahun, iaitu Nur Izzara Eryna (11), Nur Airaa Eryna (7), Nur Naura Eryna (4), dan Nur Qairaa Eryna (2).

Nur Izzara Eryna bersama dua adiknya menyiram pusara kedua ibu bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada Selasa.

Adik bongsu Nur Syamimi, iaitu Nur Izzah Ezani Rosli, 26, turut berkongsi bahawa kakak dan abang iparnya sangat baik dengan pekerja mereka dan tidak pernah berkira.

“Pada Jumaat lalu mereka sempat belanja kek untuk pekerja kedai emas di Pekan.

“Pada pagi Isnin, mereka singgah di kedai untuk ambil barang kemas yang dipesan pelanggan.

“Masa itu hanya abang ipar yang turun ambil barang manakala kakak hanya tunggu dalam kereta,” katanya.

Berita tentang kemalangan tragis yang menimpa kakak dan abang iparnya itu sangat mengejutkan seluruh ahli keluarga.

Jenazah pasangan ini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jambu pada kira-kira jam 10.45 pagi, Selasa. Sebelum itu, jenazah dibawa dari kediaman keluarga di Taman Syahbandar menaiki dua van jenazah dan tiba di Masjid Tengku Panglima Perang Tengku Muhamad, Pekan pada jam 9 pagi untuk disolatkan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Mohd Izuddin dan Nur Syamimi maut selepas kereta Ford Mustang yang mereka naiki terbabas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan berhampiran simpang Felda Pemanis, Segamat. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 2 petang ketika mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Empat Beradik Jadi Yatim Piatu Sekelip Mata, Suami Isteri Maut Ford Mustang Terbabas Di Jalan Segamat-Kuantan

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

 

Published by
Has