
Suami isteri ditemui meninggal dunia, mayat dijumpai dalam gulungan karpet selepas jiran terhidu bau busuk. Pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53 ditemui dalam keadaan tragis dalam satu kejadian bunuh di Kampung Belau, Merbok.
Kehilangan suami isteri ini disedari selepas jiran terhidu bau busuk dari rumah mangsa dan ketika pemeriksaan polis mendapati mayat keduanya ditemui dalam gulungan karpet.
Apa yang mengejutkan kedua suami isteri ini menjadi mangsa jenayah kejam di maan kepala pasangan ini terpisah dari badan manakala mayat Suraya Man dipercayai dipotong untuk dilupuskan di dalam gulungan karpet kediaman mereka.
Jika mayat suami isteri ditemui di ruang tamu, mayat anak lelaki mereka iaitu, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29 pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah malam mengenai ketiadaan pasangan suami isteri itu selama tiga hari dan mereka terhidu bau busuk yang kuat dari rumah tersebut.
“Sebaik sahaja anggota tiba di lokasi, rumah dalam keadaan gelap dan berkunci dari dalam. Bau busuk terlalu kuat sehingga memaksa pihak polis memecah masuk,” katanya pada sidang Akhbar di Balai Polis Merbok di sini pada Khamis.
Jelas Hanyan, pemeriksaan rapi menjumpai mayat pasangan suami isteri itu ditutupi dengan karpet serta pakaian di dapur rumah.
Menurutnya, terdapat percikan darah dan kesan cubaan melupuskan mayat di ruang tamu.
“Mayat pasangan suami isteri dipercayai telah lebih 48 jam, manakala mayat anak mereka masih baru. Beberapa jenis senjata tajam turut ditemui berdekatan mayat anak mereka,” ujarnya.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian ini menjurus kepada perbuatan bunuh namun motif kejadian masih disiasat.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 8 malam Isnin lalu hingga penemuan mayat.
“Hasil maklumat yang diperolehi mendapati lelaki berusia 29 tahun itu pernah mengalami gangguan mental pada tahun 2018 ke 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.
“Seorang lagi anak mangsa wanita yang berkerja sebagai tentera, baru sahaja kembali ke rumahnya di Johor, Isnin lalu, selepas pulang beraya di situ,” katanya.
Setakat ini, polis telah memanggil lima saksi untuk memberi keterangan.
Kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.