Bukan mudah untuk menerima kegagalan. Bukan sahaja diri sendiri yang kecewa, mak dan ayah juga turut merasa. Tetapi apa yang terjadi telah berada di depan mata. Ambil masa sekejap dan kemudian bangkitlah kembali kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bukanlah pengakhiran muktamad.

Doktor ini antara insan yang pernah gagal, ketika SPM dia langsung tiada A, kemudian apabila melanjutkan pelajaran pernah gagal dan diberhentikan. Tetapi apa yang berlaku dalam hidupnya membuatkan dia akhirnya bangkit dari kegagalan.

Ikuti perkongsian, Prof. Madya Dr. Midhat Nabil

JANGAN SESEKALI BERASA KECEWA DENGAN KEPUTUSAN SPM ANDA, TETAPI BANGKITLAH KEMBALI, KERANA IANYA BUKANLAH PENGAKHIRAN YANG MUKTAMAD

Salam semua, pertama sekali saya ingin ucapkan jutaan tahniah kepada mereka yang telah mendapat keputusan yang cemerlang untuk SPM pada hari ini. Syabas buat diri anda. Sudah pasti ibu dan ayah anda juga turut gembira dengan kejayaan tersebut.

Bagi mereka yang tidak mendapat keputusan yang cemerlang, usahlah terlalu bersedih. Perjalanan anda sebenarnya masih jauh lagi. Jadikanlah kegagalan ini sebagai pemangkin untuk kejayaan-kejayaan yang akan mendatang.

Pengalaman saya sendiri bagi SPM dahulu, saya langsung tiada A bagi mana-mana subjek yang telah saya ambil. Terus terang saya katakan, yang ketika itu saya begitu malas untuk belajar sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Ibu bapa saya berasa sungguh kecewa dengan keputusan saya ini, kerana mereka telah memberikan yang terbaik di pihak mereka untuk melihat saya berjaya. Ini, termasuklah membeli buku-buku latihan tambahan, menghantar saya ke kursus motivasi dan juga menghantar saya ke pusat tuisyen.

IKLAN

Bangkit Semula

Di sepanjang menempuh perjalanan-perjalanan akademik yang seterusnya, saya bangkit semula dan belajar dari kesilapan yang lalu.

Saya bermula semula dari peringkat yang paling rendah sekali, iaitu Pra-Sains (pernah Gagal dan Diberhentikan pada semester pertama, tetapi kemudiannya ditawarkan kembali untuk belajar di semester kedua), diikuti peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda (bergraduasi dengan keputusan Kepujian Kelas Pertama, tidak perlu membayar kembali pinjaman PTPTN) dan juga Sarjana (berjaya menjadi pelajar terbaik).

Akhir sekali, saya telah berjaya untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari sebuah universiti di United Kingdom (UK) dengan tajaan penuh daripada kerajaan Malaysia.

IKLAN

Kepada ibu bapa yang anak mereka tidak mendapat keputusan cemerlang untuk SPM, usahlah bersedih, kerana perjalanan mereka sesungguhnya masih jauh lagi. Teruskanlah memberi galakan dan sokongan kepada mereka.

Setiap orang sesungguhnya mempunyai POTENSI DIRI yang berbeza. Jika mereka tidak berjaya pada hari ini, insyallah akan berjaya di kemudian hari. Kepada para pelajar pula yang bersedih dengan keputusan SPM anda, bangkitlah semula untuk perjalanan menuntut ilmu yang berikutnya. Buktikanlah bahawa anda juga sebenarnya boleh menggembirakan hati kedua ibu bapa anda.

Ingat pesanan saya sekali lagi,

“Gagal sekali, bukanlah bererti gagal selamanya”.

IKLAN

YAKIN BOLEH!!! Insya-Allah 💪💪💪

Nukilan ikhlas,

Prof. Madya Dr. Midhat Nabil,
Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

#Motivasi
#Janganputusasa
#Bangkitdarikegagalan

Sumber: Prof. Madya Dr. Midhat Nabil

MW: Sebaiknya sebagai mak, ayah teruskanlah memberi galakan dan sokongan kepada anak-anak kalian. Setiap orang tidak sama pencapaian dan potensi dirinya. Insyallah suatu hari nanti anak-anak akan berjaya dengan pilihan hidupnya.