Kerohanian

Solat Tanpa Sejadah, Hukumnya Makruh Atau Sebaliknya?

Share
Memang ada orang yang terbiasa solat
tanpa sejadah, tak kira lah di dalam rumah atau surau tetapi perkara ini kadang jadi tanya was-was. Apa lagi jika ada mata yang memandang, pasti timbul rasa nak tahu sama ada hukumnya makhruh atau tiada masalah.
Jadi untuk selesaikan tanda tanya, jemput baca penjelasan mufti mengenai perkara ini.

Solat Tanpa Sejadah, Hukumnya Makruh Atau Sebaliknya?

Menurut penjelasan mufti, hukum asal mendirikan solat di atas tanah atau lantai tanpa menggunakan sejadah adalah harus dan solat tersebut sah.

Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa bumi telah dijadikan sebagai tempat sujud bagi umat Baginda.

Rasulullah SAW bersabda:

“Dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat.” Hadis riwayat al-Bukhari (438).

Berdasarkan hadis tersebut, seluruh permukaan bumi pada asasnya boleh dijadikan tempat untuk mendirikan solat. Penggunaan sejadah bukanlah syarat sah solat.

Walaupun hukum asalnya adalah harus, terdapat beberapa pengecualian. Antaranya adalah kawasan perkuburan dan tandas. Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap jengkal di bumi ini merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali di atas kuburan dan tandas.” Hadis riwayat al-Tirmidzi (236), Ibn Majah (737) dan Abu Daud (415).

Selain itu, seseorang tidak boleh mendirikan solat di tempat yang terdapat najis sekiranya najis tersebut bersentuhan dengan badan, pakaian atau barang yang dibawa ketika solat.

Hal ini kerana kebersihan daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat merupakan antara syarat sah solat.

Ada Najis Berdekatan Tetapi Tidak Bersentuhan

Jika terdapat najis berdekatan dengan tempat seseorang mendirikan solat tetapi tidak menyentuh badan atau pakaiannya, keadaan itu tidak menjejaskan kesahan solat.

Namun, hukumnya menjadi makruh sekiranya najis tersebut berada terlalu dekat mengikut kebiasaan setempat.

Jadi sebaik-baiknya seseorang memilih tempat yang bersih dan jauh daripada sebarang najis bagi mengelakkan keraguan ketika menunaikan ibadah.

Walaupun solat tanpa sejadah adalah sah, namun sujud tanpa alas atau sejadah ini hendaklah diamalkan pada ketika ketiadaan atau kesukaran untuk mendapatkannya sahaja.

Jika sekiranya sejadah atau alas sudah tersedia dan senang didapati, maka hendaklah kita menggunakannya dan janganlah malas untuk membentangnya untuk solat di atasnya. Hal ini adalah lebih baik kerana menjamin kesucian dan menghilangkan rasa was-was di dalam diri.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Nadia Mohamad