Siti Saleha Bakal Masuk Trimester Ketiga, Lebih Fokus Kesihatan, Persiapan Belum Bermula

Share

Meniti usia kandungan yang semakin sarat, pelakon jelita Siti Saleha, 35, mengakui belum membuat sebarang persiapan menyambut cahaya mata sulungnya. Namun, baginya yang lebih penting kini adalah menjaga tubuh dan kesihatan agar proses kelahiran berjalan lancar.

“Saya tak beli apa-apa lagi. Selepas habis penggambaran dua bulan lalu, saya hanya fokus berjalan.  Saya banyak bersenam sebab nak senang melahirkan. Dulu sebelum hamil saya sangat aktif, jadi saya tak mahu hilang momentum,” ujarnya.

Gender Reveal & Adat Mitoni Jawa

Menariknya, menurut Saleha lagi, dia bakal mengadakan majlis gender reveal bulan hadapan. Lebih istimewa, suaminya yang berketurunan Jawa mahu mengangkat tradisi keluarga dengan upacara mitoni, adat budaya Jawa untuk meraikan kehamilan ibu.

Untuk info, mitoni merupakan adat Jawa untuk merayakan kehamilan memasuki bulan ketujuh yang bertujuan mendoakan keselamatan bagi ibu dna bayi serta kelancaran proses bersalin. Perkataan ‘mitoni’berasal dari kata ‘pitu’ (tujuh) yang melambangkan harapan dan pertolongan dari Tuhan Yang Maha Esa.

“Buat masa sekarang saya rahsiakan dahulu jantina anak. Nanti saya akan kongsikan di media sosial,” katanya sambil tersenyum.

Emosi Lebih Terkawal, Cuma…

Ditanya mengenai perubahan emosi sepanjang kehamilan, Saleha mengakui tidak banyak berubah terhadap suaminya. Namun ada kala, dia melepaskan rasa tidak puas hati pada pengurusnya.

“Emosi saya tak banyak berubah dengan suami, cuma pengurus saya yang selalu jadi tempat saya lepaskan kalau ada apa-apa yang merimaskan,” selorohnya.

Bagi bentuk tubuh pula, bintang drama 7 Hari Mencintaiku ini tidak terlalu obses dengan angka pada penimbang berat.

“Alhamdulillah, setakat ini berat saya dan bayi cantik. Doktor pun cakap semuanya okey,” kongsinya penuh syukur.

Kekal Bersinar Dalam Karier

Walaupun sedang hamil, rezeki Saleha tidak pernah putus. Terbaru, beliau dilantik sebagai duta Muaz Exclusive Brand bersama Datuk Aaron Aziz. Majlis pelancaran baru-baru ini menjadi medan untuk peminat melihat penampilan terkininya yang semakin berseri.

Sebelum ini, gosip mengenai kehamilannya mula bertebaran selepas satu video tular memperlihatkan dirinya seolah-olah mempunyai ‘baby bump’ ketika menghadiri acara filem. Akhirnya, Saleha mengesahkan berita gembira itu.

Bahagia Dalam Perkahwinan

Untuk rekod, Saleha mendirikan rumah tangga dengan pereka fesyen, Joshua Fitton, dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada Februari lalu.

Kini, perjalanan hidupnya memasuki fasa baru, bukan lagi sekadar pelakon berbakat dan ikon fesyen, tetapi bakal seorang ibu yang mendukung anugerah paling berharga dalam hidupnya.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE 

Published by
Rosmah Idayu