
Malam Penghargaan AFFIN INVIKTA TOP50 Women of Excellence Awards 2025 sekali lagi mengangkat martabat wanita negara apabila 50 figura luar biasa diraikan dalam sebuah majlis penuh glamor dan sarat makna di Renaissance Hotel Kuala Lumpur, semalam.
Di sebalik kilauan lensa dan tepukan hormat yang memenuhi dewan, hadir lautan kisah tentang keberanian, kepimpinan dan dedikasi wanita Malaysia yang telah mencipta impak dalam pelbagai lapangan, daripada perniagaan ke pembangunan negara, sains, seni, sukan, tadbir urus dan kerja kemasyarakatan.
Majlis anjuran TOP50 Media Synergy Sdn. Bhd. dengan kerjasama strategik eksklusif AFFIN INVIKTA (Affin Bank Berhad) serta sokongan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ini sekali lagi membuktikan kedudukannya sebagai antara platform pengiktirafan wanita paling berprestij di Malaysia.
Tahun ini, lebih 300 pencalonan diterima petanda jelas bahawa negara terus melahirkan sosok wanita yang berkualiti, berdaya cipta dan berdaya saing. Antara nama besar yang menjadi tumpuan termasuk Tan Sri Michelle Yeoh, Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Hooi Ling, Y.A.M Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Dato’ Sheila Majid,Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Pandelela Rinong, Dr. Amalina Bakri dan Tan Sri Dato’ Seri Dr. Robaayah Zambahari.
Kesemua penerima dipilih berdasarkan kepimpinan, sumbangan berimpak tinggi serta peranan mereka dalam memacu kemajuan Malaysia di peringkat nasional dan global.
Pengasas TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin, menegaskan bahawa platform ini dibangunkan untuk memberikan pengiktirafan jangka panjang kepada wanita yang cemerlang.
“Malam ini bukan sekadar meraikan pencapaian tetapi legasi. Apabila wanita cemerlang, negara turut melangkah maju. Top50 bukan sekadar anugerah, tetapi sebuah gerakan,” katanya.
Inisiatif ini turut seiring dengan agenda AFFIN INVIKTA dalam memperkukuh kepimpinan wanita, keusahawanan, ketahanan kewangan dan mobiliti ekonomi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata AFFIN INVIKTA berbangga bersama wanita unggul Malaysia.
“Usaha ini mengukuhkan komitmen kami untuk memajukan kepimpinan, keusahawanan dan keterlihatan wanita di seluruh negara,” katanya.
Penganjuran ini turut menyokong Dasar Wanita Negara (DWN) serta Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025–2030, seiring dengan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan penyertaan inklusif wanita dalam semua sektor.
Sebagai kesinambungan, TOP50 Media Synergy bakal melancarkan Women of Excellence Legacy Series 2026, merangkumi forum kepimpinan suku tahunan dan Women Entrepreneurship Accelerator (WEA).
Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur menerima anugerah khas Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards 2025 di Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah yang diberikan itu seiring dengan kejayaan figura yang disegani ramai itu yang sudah membina nama dalam industri seni tempatan selama hampir tiga dekad dan pada masa sama berjaya memberikan inspirasi kepada generasi masa hadapan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih untuk anugerah ini. Saya harap pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur tapi juga berada di barisan hadapan.
“Apabila ada penganjur yang menghargai wanita hebat dalam negara ini, secara tidak langsung membuatkan semua wanita mampu berdiri sama tinggi dan membantu menjana ekonomi negara.
“Setiap wanita termasuk suri rumah perlu kita hargai sebab pengorbanan mereka sangat besar. Walau kita tahu mereka duduk rumah, tapi tanggungjawab yang mereka jalankan cukup luar biasa,” katanya kepada media.
Kemuncak acara menyaksikan penganugerahan Lifetime Achievement Award kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya yang melangkaui lapangan seni dan keusahawanan serta inspirasi yang dibawanya kepada generasi masa depan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE