Pada 1 Disember lalu, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah mengumumkan dirinya hamil anak kedua selepas menjalani proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) dan dijangka bersalin pada April tahun depan.
Siti dan suami mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Siti Aafiyah, yang kini berusia dua tahun.
Siti Nurhaliza Kongsi Berita Gembira Hamil Kedua Anak Lelaki
Baru-baru ini, Siti Nurhaliza telah mengumumkan bakal menimang cahaya mata lelaki untuk kehamilan keduanya.
Siti, 41, ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa berkongsi berita gembira tersebut menerusi siaran langsung bersama Shopee.
Ads
“Memanglah ikhlas dari hati saya, kalau dapat sepasang itu tentulah seronok bila ada girl dan boy. Bagaimanapun saya terima saja apa yang lahir nanti,” katanya.
Dalam pada itu, suami Siti, Datuk K turut berkongsi bakal memberikan nama cahaya mata lelakinya itu sebagai Muhamad dan seterusnya dengan nama yang bermula dengan huruf A.
Ads
“InsyaALLAH, nama anak akan diberikan pada hari ketujuh kelahiran. Nama anak lelaki saya sebelum ini, semua ada Muhamad dan bermula dengan hurup A. Jadi sama jugalah dengan yang ini.
“Syukur alhamdulillah untuk anugerah ini. Semoga dapat terus doakan yang terbaik agar baby yang bakal lahir nanti dapat menceriakan hidup kami sekeluarga, terutamanya pada Siti dan Aafiyah,” tambah Datuk K.
Hamil Lima Bulan, Tak Boleh Makan Pedas
Ads
Bercerita tentang kandungannya yang kini memasuki usia lima bulan, Siti menyatakan, semuanya dalam keadaan yang baik dan sebagaimana kandungan pertamanya dahulu, dia tidak mengidam sesuatu di luar jangkaan.
“Nasib baik kedua-dua anak saya termasuk semasa mengandungkan Aafiyah dulu, saya tidak mengidam nak makan yang susah-susah atau pelik.
“Cuma setiap kali mengandung, saya tak boleh makan pedas sedangkan saya memang sangat suka pedas. Jadi, makan tak puaslah. Apapun alhamdulillah semuanya okay,” terangnya.
MW: Tahniah diucapkan buat Siti & Datuk K. Wah seronoknya Aafiyah nak dapat adik lelaki.
Sumber / Sumber Foto : Instagram Datuk Siti Nurhaliza (CTDK)
Ashraf Muslim tunai umrah grup pertama ke tanah suci. Bersyukur ke hadrat Ilahi hari ini pelakon terkenal ini memaklumkan dirinya akan berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan umrah.
Seperti mana yang dikongsikan menerusi akaun Instagramnya, Ashraf berasa sangat teruja apabila dirinya bersama jemaah lain merupakan grup pertama dari Malaysia ke Mekah dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) baharu.
Ashraf Muslim Tunai Umrah Grup Pertama Ke Tanah Suci
“Assalamulaikum.. first of all, saya ingin memohon maaf kepada ahli keluarga saya, sahabat-sahabat saya, rakan-rakan media sosial dan seluruh mereka yg mengenali saya.
“Alhamdulillah, hari ini saya telah dijemput menjadi dhuyuf al rahman untuk ke tanah suci Allah swt.
“Dimana menjadi team pertama dari Malaysia yg membawa jemaah umrah dengan mengikuti SOP yg baru. Allahuakbar , besar betul kuasa Allah.. tiada kata yg boleh terucap dgn Allah selain TERIMA KASIH ALLAH and I LOVE YOU ALLAH! Banyak nak dibetulkan dalam diri yang hina ini. Semoga Allah ampunkan kita semua dan dengar segala rintihan dan kabulkan segala permintaan kita. InsyaAllah.
Rasa Macam Tak Percaya
“Ya Allah, rasa mcm tak percaya.. ya Allah.. Engkau jagalah, lindungilah keluargaku, sahabat-sahabatku dan mereka yg ku sayang serta harta bendaku ya Allah. Permudahkan urusan keluargaku sewaktu ketiadaanku bersama mereka. InsyaAllah, insyaAllah,” tulis Ashraf.
Terlibat kemalangan jalan raya Azhan Rani kini stabil. Dua hari yang lalu menerusi perkongsian rakan baiknya dalam industri seni, Beto Kusyairy di akaun Instagram telah memberitahu Azhan terlibat dengan satu kemalangan jalan raya dan sedang mendapat rawatan di sebuah hospital.
Malah pada waktu itu Beto juga menyatakan kejadian berlaku apabila motosikal kuasa besar yang ditunggang Azhan untuk ke sebuah lokasi penggambaran tengah hari Isnin telah bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain.
“Amanah daripada sahabatku Azhan Rani. Dukacita ingin menyampaikan kepada semua bahawa Azhan telah terlibat dengan kemalangan motosikal pada tengahari semalam (Isnin). Alhamdulillah keadaannya stabil dan masih dalam jagaan pakar (doktor),” tulis Beto.
Terlibat Kemalangan Jalan Raya Azhan Rani Kini Stabil
Dua hari selepas kejadian Azhan sendiri telah tampil berkongsi keadaan dirinya yang kini dalam keadaan stabil.
Malah pelakon hebat itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada sahabatnya, pelakon Beto Kusyairy dan isteri yang telah membantunya dalam tempoh sukar itu.
“Syukur atas izin Allah untuk saya terus bernafas.
“Doktor kata tulang scapula (belikat) saya pecah tapi dua insan hebat ini jadi tulang belakang saya untuk terus berdiri.
”Dulu dan kini, harta paling lumayan anugerah Ilahi buat saya. Terima kasih sahabat @beto_kusyairy & @tishashahar dan juga sahabat-sahabat lain yang tak henti-henti bertanya khabar. Semoga syurga menunggu kalian di sana nanti.
“Terima kasih juga untuk ingatan dan doa-doa semua. Ampun maaf tak dapat nak jawab dan balas semua. InsyaAllah saya ok atas izin Allah,” tulis Azhan.
Terima Kasih Kepada Yang Membantu
Azhan juga berasa sangat bersyukur kerana ramai yang membantu dirinya sewaktu kemalangan tempohari.
“Buat Muhammad Firdaus dan sesiapa saja yang bantu saya pada hari kejadian, 17 Januari 2022, sekitar jam 12.30 tengah hari di jalan Templer Park menghala Kuala Lumpur.
“Semoga Allah merahmati kalian. Terima kasih atas jasa baik anda.
“Buat dua orang abang lori yang berdiri tu, terima kasih kerana berjaya hentikan lori dan tak langgar saya,” luahnya.
Pesan Agar Penunggang Motosikal Berhati-Hati Di Jalan Raya
Azhan menerusi perkongsian tersebut juga menitipkan pesan agar penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan sama agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.
”Buat dua orang adik yang naik motor kapcai tengah bersembang tak pandang depan lepas itu tiba-tiba masuk lane saya nak buat pusingan u-turn, semoga anda tak apa-apa.
”Maaf saya tinggikan suara kat anda dalam ambulan hari tu. Mohon jangan bawa motor macam itu lagi.
”Kita sama-sama syukur Allah bagi peluang kita hidup. Maaf juga buat motor awak hancur,” pesannya.
Umpama mimpi apabila tragedi kepala air melibatkan ahli keluarga sendiri. Adik kepada mangsa tragedi ini akui masih terkejut dengan kejadian yang melibatkan keluarga kakaknya dan berharap semoga masih ada mangsa yang terselamat.
“Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini.”
Demikian kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman pada Ahad.
Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.
Mengulas lanjut, dia memberitahu mengetahui kejadian tersebut setelah tular di media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.
“Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.
“Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” katanya.
7 Anak Saudara Terlibat Dalam Tragedi
Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.
“Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.
Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.
“Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).
“Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.
Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.
8 Identiti Mangsa Dikenal Pasti
Sementara itu, identiti 8 individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat sini pada Ahad, dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.
“Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad malam.
“Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini, malam tadi.
Mayat Ditemui Orang Ramai
Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di sini, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.
“Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.
Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang Ahad atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.
“Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.
“Esok (Isnin) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.
“Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR pada Isnin akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.
Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan pada Isnin dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.
Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Isnin untuk bedah siasat. – Bernama
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.