sediakan sarapan

Ada lagi ke mak-mak yang skip sediakan sarapan sebab terlalu sibuk mencari rezeki. Atau mungkin penat dan tak mampu bangun awal pagi.

Haaa… kalau ada, mungkin mak-mak boleh renungkan kejap pesanan daripada Puan Ainun Mardhiah ini, betapa ‘manisnya’ air tangan seorang kepada anak-anak dan suami. Jemput baca.

BIHUN GORENG EMAK

“Yah, sibuk macam mana pun awak kerja, jangan lupa sediakan sarapan untuk suami dan anak-anak,” Mak sering memberi pesanan ini sejak dari awal saya berkahwin sehinggalah sekarang.

“Kasihan anak-anak kalau pergi sekolah tak sarapan pagi. Lesu je.. Anak-anak kena rasa masakan air tangan ibu. Itu yang ikat hubungan kita dengan anak,” Pesan mak lagi.

Mak Gigih Sediakan Sarapan

Ya, memang azam dan impian saya nak kuat dan rajin macam mak. Mak tak pernah gagal membahagiakan anak-anak, Subhanallah.

Kami tak pernah lupa, mak akan bangun seawal jam 4.30 pagi untuk solat dan selepas itu kami akan mendengar mak menggiling lada untuk membuat nasi goreng.

Boleh sahaja lada itu di blender, tetapi mak memilih untuk menggiling. Bayangkanlah, setiap pagi mengangkat batu giling yang berat tu. Kata mak, kalau guna lada giling, nasi goreng jadi lagi sedap. Subhanallah, kami dapat merasai keikhlasanmu duhai ibu. Sedaya upaya menyediakan yang terbaik untuk kami.

“BOLEH TOLONG MASAKKAN BIHUN GORENG MACAM MAK BUAT?”

Hijau biru rasa muka saya bila suami membuat permintaan ini.

Ustaz Mohd Asshik jarang request nak makan itu dan ini, jadi bila beliau berkata sedemikian, maka cepat-cepatlah saya ingat balik macamana cara mak masak bihun goreng yang best ni.

Baru-baru ni waktu balik kampung di Jengka, beliau makan bihun bertambah-tambah. Beberapa hari lepas tu, sekali lagi kami balik kampung, suami cakap kat mak, “Mak, makan tengahari kita makan bihun goreng jelah mak. Sedap sangat MashaAllah!” Kelakar betul suami koi.

Bihun goreng version mak, maksudnya kena tumis bawang lada tu lama sikit..kena sabar banyak. Hehe..

“Usaha belajar masak apa yang suami suka.” Terngiang lagi pesanan mak.

“Ok bang, saya try!” Saya menyatakan persetujuan.

Usah lelah dalam membahagiakan insan lain. Kita usaha sedaya mampu. Ikhlas kerana Allah. Kita hanya damba redha Allah dalam kehidupan ini.

Rumahtangga adalah peluang untuk kita berbakti sebanyak-banyaknya. Semoga Allah kuatkan kita untuk menggembirakan insan-insan yang kita sayang sehinggalah hari akhir kita di dunia.

Sekian, sambil memasak bihun goreng kita belajar sesuatu. Inilah kehidupan.

“Sebaik-baik manusia itu adalah mereka yang memberi manfaat kepada insan lain.”

Jangan Lupa Komen

komen