Penjagaan Diri

Sharifah Rose Jadi Tumpuan, Doa Yang Terlindung Tepis Karakter ‘Kayu’

Share

Sharifah Rose jadi tumpuan, Doa Yang Terlindung tepis karakter ‘kayu’. Ternyata aura drama tempatan tersebut membuka mata orang ramai terhadap pelakon dan model wanita cantik ini sehingga tular beberapa video pendek di laman media sosial.

Sharifah Rose Jadi Tumpuan

Drama Doa Yang Terlindung yang kini bersiaran menerusi Slot Akasia nyata mencuri perhatian penonton, bukan sahaja kerana jalan ceritanya, malah perkembangan lakonan barisan pelakonnya.

Antara yang paling ketara menjadi bualan ialah Sharifah Rose, yang kali ini tampil dengan aura berbeza sehingga menerima pujian terbuka daripada peminat drama tempatan.

Doa Yang Terlindung Tepis Karakter ‘Kayu’

Jika sebelum ini dia sering dikritik sebagai pelakon kayu, namun dia memilih untuk tidak terus tenggelam dalam komen negatif itu. Menerusi satu kenyataan media tempatan sebelum ini, beliau mengakui banyak belajar sepanjang penglibatannya dalam drama yang sedang disiarkan kini.

“Melihat lakonan saya di dalam drama tersebut, saya boleh nampak kesalahan kecil yang dibuat. Jujurnya saya banyak belajar di set penggambaran ini dengan semua pelakon yang terbabit dan juga pengarah.

Mereka banyak membantu saya dan mereka juga sangat menyokong. Saya rasa dari drama terdahulu dengan drama ini, memang banyak beza. Malah saya merasakan saya mula selesa dengan lakonan,” katanya.

Kenyataan itu seolah-olah menjadi cerminan kepada apa yang penonton lihat hari ini. Lakonan yang lebih terkawal, emosi yang sampai, dan karakter yang tidak lagi terasa kaku.

Walaupun tampil lebih matang dan yakin, gadis kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini tidak menafikan dirinya juga seorang manusia biasa. Ada kalanya, lontaran cemuhan dan kata-kata negatif meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya. Namun, Rose memilih untuk bangkit, belajar dan memperbaiki diri dan hasilnya kini mula diakui penonton.

Suka Kongsi Tip Cantik

Berkongsi perihal cantik, ramai yang terpegun melihat kecantikan asli Sharifah Rose. Dia yang cukup meminati mekap dan menitikberatkan penjagaan kulit, tidak lokek berkongsi rutin harian yang melibatkan pembersihan, penyegar, dan pelembap.

@sharifahroses Nights just got better with Skintific’s new Retinol Skin Renewal Serum and Moisturiser. 🌜✨ Formulated for all skin types, these products target excess oil and acne, leaving your skin smooth and radiant by morning. Perfect for those aged 20 and above. #SkinReset
@skintific.my ♬ original sound – Sharifah Rose

Beliau juga mengamalkan rutin memakai masker setiap tiga hari sekali untuk mengekalkan kesihatan kulit dan selesa menggunakan beberapa jenama produk kegemaran yang sedia ada di pasaran.

Jadi buat peminat yang teruja mahu menjaga kulit wajah seperti pelakon wanita ini, bolehlah ikut sama mengamalkan set penjagaan wajah yang selamat dan teratur setiap hari.

Published by
Nadia