Inspirasi

Sharifah Khasif Fadzillah Dinobat Tokoh Maal Hijrah Perak 1447H: Cinta Sejati Seorang Wanita kepada al-Quran

Share

Di sebalik suara merdu yang mengalun ayat-ayat suci al-Quran, tersimpan jiwa wanita yang tulus mencintai Kalamullah sepenuh hati. Semalam, cinta itu diangkat dan dimuliakan, apabila Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, 43, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Perak dalam sebuah majlis penuh keberkatan yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Wanita yang berasal dari Ipoh ini meluahkan rasa syukur dan rendah hati atas pengiktirafan tertinggi yang diterimanya. Dalam tutur katanya yang lembut dan penuh makna, beliau menzahirkan bahawa penghormatan itu bukan miliknya semata-mata, tetapi milik setiap pencinta al-Quran.

“Saya ini bukanlah siapa-siapa, cuma seorang hamba yang mencintai al-Quran. Ini bukan kerana kehebatan saya, tetapi bukti bahawa jika kita memuliakan al-Quran dengan seikhlas hati, Allah SWT sendiri akan mengangkat martabat kita.

Anugerah ini sebenarnya untuk ayahanda saya, Allahyarham Syed Badiuzzaman, yang selalu berpesan – jika kita menjadi ahli al-Quran, insya-Allah dunia dan akhirat akan bersama kita,” ujar beliau dalam nada yang penuh pengharapan.

Legasi Seorang Ayah, Tekad Seorang Anak

Sharifah Khasif bukan sahaja dikenali sebagai qariah bertaraf antarabangsa, malah turut memainkan peranan besar dalam pendidikan al-Quran menerusi Akademi dan Pusat Tahfiz al-Quran dan Taranum Sharifah Khasif yang diasaskannya. Beliau juga menjawat jawatan sebagai Penasihat Bidang al-Quran di Jabatan Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kejayaannya bukan baru semalam terbina. Pernah dinobatkan sebagai Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, serta qariah terbaik keseluruhan pada tahun 2009, beliau juga mengungguli tilawah peringkat negeri Perak sebanyak lapan kali berturut-turut dari tahun 2000 hingga 2008.

Seorang Ibu, Seorang Mujahidah Kalamullah

Di sebalik pencapaian menggunung, wanita ini adalah seorang ibu kepada dua cahaya mata. Keseimbangan antara kerjaya, perjuangan dakwah dan tanggungjawab keluarga menjadi contoh terbaik bagi wanita moden masa kini yang mahu mendekatkan diri kepada agama tanpa mengetepikan peranan di rumah.

Sebagai tanda penghargaan atas sumbangannya, Sharifah Khasif menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak serta sijil penghargaan daripada Kerajaan Negeri Perak.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu