Kekeluargaan

“Setiap Kali Melintasi Terusan Ini, Hati Saya Sayu” – Nazriah ‘Hilang’ Ayah 37 Tahun Lalu Di Sungai Korok

Share

“Setiap kali melintasi terusan ini, hati saya sayu” – Nazriah ‘hilang’ ayah 37 tahun lalu di Sungai Korok. Tragedi lemas enam sekeluarga yang menggemparkan negara baru-baru ini bukan sahaja menyentuh hati masyarakat, malah mengembalikan memori duka buat seorang guru, Nazriah Abd Razak, 46, yang pernah kehilangan ayahnya di lokasi yang sama 37 tahun lalu.

“Setiap Kali Melintasi Terusan Ini, Hati Saya Sayu” – Nazriah ‘Hilang’ Ayah 37 Tahun Lalu Di Sungai Korok

Menurut Nazriah, hatinya terasa pilu setiap kali melalui terusan Sungai Korok kerana di situlah bapanya, Abd Razak Osman, 38, terkorban dalam satu kemalangan jalan raya pada 15 Jun 1988.

“Setiap kali melintasi terusan Sungai Korok ini, hati saya sayu. Inilah tempat ayah saya meninggal dunia 37 tahun lalu, dan kini enam sekeluarga pula terkorban di lokasi sama,” katanya ketika ditemui pada Jumaat di lokasi kejadian.

Mengimbas tragedi silam, Nazriah memberitahu ketika itu bapanya sedang dalam perjalanan dari Jerlun ke Jitra bersama dua rakan. Kereta mereka terbabas ke dalam terusan tersebut pada awal pagi. Ketiga-tiganya ditemui meninggal dunia akibat lemas kira-kira dua jam kemudian.

Nazriah berada di lokasi kejadian enam beranak ditemukan lemas di Sungai Korok yang juga pernah mengorbankan bapanya pada 1988. Gambar kecil: Abd Razak.

“Mayat mereka ditemui kira-kira dua jam selepas kejadian, masih berada di dalam kereta. Arwah dipercayai meninggal dunia akibat lemas. Ketika itu saya baru berusia sembilan tahun,” ujarnya.

Tragedi tersebut bukan sahaja meragut nyawa ayah yang menjadi tonggak keluarga, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap ibunya yang ketika itu tidak bekerja dan perlu membesarkan tujuh anak yang masih kecil.

“Mak tidak bekerja. Ayah tinggalkan kami tujuh beradik yang masih kecil. Sejak hari itu, mak banyak mendiamkan diri. Datuk bawa mak berubat ke merata tempat sebab dia hilang semangat,” katanya sebak.

Kejadian yang menimpa enam sekeluarga baru-baru ini benar-benar menyentuh hatinya, apatah lagi salah seorang mangsa merupakan bayi yang masih kecil.

“Bila tengok berita, saya terus teringat arwah ayah. Mak pula tak boleh tengok berita orang mati lemas di sungai sebab akan teringat tragedi tersebut,” katanya.

Kini, hanya gambar lama dan keratan akhbar tragedi 1988 menjadi kenangan yang tersisa buat Nazriah dan adik-beradiknya. Lebih memilukan, beliau berkongsi bahawa adik bongsunya yang paling rapat dengan arwah ayah sedang menantikan hari lahir ketika tragedi berlaku.

“Adik bongsu paling rapat dengan ayah. Dua hari lagi dia nak sambut hari lahir ketika kejadian berlaku. Kami semua memang rapat dengan ayah. Sepatutnya saya ikut dia ke Alor Setar hari tu, tapi tak jadi sebab demam,” ujarnya.

Jenazah arwah ayahnya telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya, Pokok Sena.

Nazriah menunjukkan gambar arwah bapanya.

Sehingga hari ini, Nazriah masih menghormati lokasi itu setiap kali melaluinya. Dia akan memperlahankan kenderaan apabila melintasi terusan Sungai Korok sebagai tanda mengenang tragedi lalu.

“Laluan ini gelap, tiada lampu jalan. Banyak kemalangan berlaku di sini. Kalau pihak berkuasa dapat pasang lampu jalan, ia boleh kurangkan risiko, apatah lagi ramai guna jalan ini waktu malam,” katanya.

Untuk rekod, kejadian lemas enam sekeluarga yang berlaku pada Isnin lalu mencetuskan duka ramai apabila mereka ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta selepas dilaporkan hilang sejak pagi Sabtu.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: “Pengebumian Enam Sekeluarga Mangsa Sungai Korok Paling Menyayat Hati- Setiausaha Masjid Kongsi Rasa Sayu

Tragedi Sungai Korok, “Semalam Qisya Pakai Baju Arwah Uminya, Mungkin Dia Rindu Nenek Qisya

Elak Unsur Khurafat, JHEAIK Pantau Kubur 6 Beranak Mangsa Tragedi Sungai Korok

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has