Hampir setahun naik turun mahkamah, akhirnya ikatan perkahwinan antara pelawak dan pelakon Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, dengan isterinya, Afreena Suhaimi, 33, berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, hari ini.
Hakim Syarie, Muhamad Nazri Basrawi, mensabitkan berlakunya talak rajie seperti yang dilafazkan Along pada 18 Jun 2024. Afreena diperintahkan menjalani tempoh idah selama tiga kali suci.
Sebelum prosiding selesai, hakim sempat menitipkan pesanan penuh makna:
“Belajarlah bersabar dalam perkahwinan kerana rumah tangga tempat ujian. Allah uji masing-masing. Sama seperti nikah, cerai dan rujuk juga perlu diajukan kepada pihak berautoriti.”
Prosiding selama sejam itu turut mengesahkan tiada lafaz rujuk berlaku, sekali gus menoktahkan kisah rumah tangga yang hanya sempat bertahan setahun.
Along yang ditemui selepas prosiding mengakui lega meskipun hatinya berat menerima hakikat.
“Saya akui gagal mengemudi rumah tangga yang masih baru. Lapan tahun saya ambil masa membuat keputusan untuk berkahwin semula, tak sangka jadi begini. Akhirnya, ia tetap kembali kepada kekurangan saya sebagai suami,”
luahnya.Bagi Afreena pula, lafaz talak ini bukan lagi luka baharu. Beliau mengakui sudah lama melangkah ke hadapan.
“Seperti yang saya jangka, hari ini mahkamah mengesahkan lafaz talak. Saya sudah ‘move on’ lama. Hidup perlu diteruskan. Tumpuan saya sejak dahulu memang pada anak-anak, keluarga dan kerjaya,” katanya tenang.
Kisah rumah tangga mereka mula diperkatakan apabila Along memfailkan pengesahan lafaz cerai secara taklik pada Januari lalu, mendakwa isterinya melanggar beberapa perjanjian taklik.
Pertikaian mengenai dakwaan lafaz rujuk yang tidak diakui Afreena membuatkan proses perundangan berlarutan hingga berbulan lamanya.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 namun perkahwinan itu berakhir hanya selepas tiga bulan, apabila Along melafazkan cerai di rumahnya di Cyberjaya pada Julai 2024.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE