Tidak dinafikan terdapat sebahagian para suami yang terlalu bergantung dan harapkan isteri dalam menguruskan anak-anak. Dari anak-anak yang masih kecil hinggalah besar dengan alasan ‘tak pandai menguruskan mereka’. Perkara sebegini, suami memang perlu belajar sejak anak masih bayi lagi.

Mula-mula memang takut, kekok dan tak biasa, tapi lama kelamaan ia akan menjadi rutin dan terbiasa menguruskan anak-anak.Bukan apa, dalam situasi kecemasan seperti isteri sakit, perlu bertugas luar kawasan mahupun meninggal secara tiba-tiba, tidaklah suami mati akal dan buntu untuk menguruskan anak-anak.

Jemput baca dan hadam perkongsian daripada Dr Asmi Syabil ini;

SUAMI KIRIMAN TUHAN

“Puan perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut”, ujarku kepadanya.

“Boleh saya berbincang dengan suami saya dahulu tak doktor? sebabnya saya masih ada anak-anak kecil yang perlu dijaga dirumah”,pintanya kepadaku.

“Tiada masalah puan.Sekejap ye saya panggilkan suami puan”, beritahuku kepadanya.

Dia merenung ke lantai.Wajahnya kelihatan sugul.Mungkin risau memikirkan jika dia dimasukkan ke wad,siapa yang ingin menjaga anak-anaknya yang masih kecil? Ditambah pula dengan anak yang masih menyusu.

Dia baru sahaja mengungkapkan keresahannya itu kepadaku jika dia ditahan di wad.Anaknya empat orang semuanya dan yang paling kecil baru berusia 9 bulan.

“Jika dimasukkan ke wad,selama berapa hari doktor?”

“Itu belum pasti lagi untuk berapa lama puan,bergantung kepada keadaan puan sendiri dan juga doctor yang akan merawat puan di dalam wad”, jawapan yang biasa aku berikan kerana setiap pesakit itu berbeza-beza.

Aku pasti,jawapanku itu tambah meresahkan jiwanya.Sudahlah perlu dimasukkan ke wad, untuk berapa lama itu juga masih belum pasti. Adakah hanya sehari dua? ataupun seminggu?atau mungkin lebih lama.

Pesakit dihadapanku ini pada mulanya dimasukkan ke Zon Merah kerana tekanan darahnya rendah dan nadinya sedikit laju (tachycardic) disebabkan dehidrasi.Selepas resusitasi (fluid resuscitation) dijalankan,pesakit menunjukkan respon yang positif dan kembali stabil.Disebabkan kapasiti Zon Merah agak terhad,lalu pesakit di-triage ke Zon Kuning untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

“Berdasarkan symptom-simptom dan keputusan darah yang ada,isteri encik mungkin menghidap demam Denggi dan dia perlu dimasukkan ke wad untuk pemerhatian dan rawatan lanjut kerana dia sudah menunjukkan tanda-tanda bahaya denggi seperti muntah-muntah dan cirit birit”

“Selain dari itu,darahnya juga pekat berdasarkan FBC yang diambil dan juga platelet,iaitu sel pembekuan darah juga sangat rendah yang mana boleh menyebabkan pendarahan spontan berlaku secara tiba-tiba.Dalam kata mudah,dia dalam fasa kritikal demam denggi sekarang dimana keadaan pesakit boleh merosot dengan sangat drastic”,ujarku kepada lelaki dihadapanku menerangkan keadaan isterinya.

IKLAN

“Keputusan darah juga menunjukkan fungsi hati turut terjejas dan perlu kepada pengambilan darah secara bersiri untuk monitor keadaan dia”, tambahku panjang lebar.

Minta Discaj Atas Risiko Sendiri

Dia hanya mendengar dengan tekun.Selepas beberapa ketika dan juga perbincangan dengan isteri,dia memandangku,

“Doktor,boleh tak kalau kami nak minta discaj atas risiko sendiri?”

“Boleh saya tahu sebab mengapa puan tidak mahu dimasukkan ke wad?”, tanyaku inginkan kepastian daripada pesakit memandangkan segala risiko sudah diterangkan termasuk kematian.

Demam denggi bukan boleh dibuat main-main.Tanya sahaja kepada pegawai perubatan yang pernah dipanggil menghadiri Mortality Meeting apabila ada pesakit denggi meninggal dunia,boleh murung dibuatnya.

Wanita 30-an dihadapanku ini hanya mendiamkan diri.Matanya hanya tertacap pada permukaan lantai.Enggan bersuara dan hanya membiarkan si suami yang berkata-kata.

“Kami masih ada anak kecil doktor,kalau dia masuk wad,siapa yang nak jaga anak-anak?”, balas suami.

“Encik kan ada.Keadaan isteri encik sangat merbahaya jika dibenarkan pulang sekarang.Boleh merisikokan nyawa”, tegasku.

Si suami tetap berkeras mahu isterinya dibenarkan pulang.

Alasannya:
“Saya tidak pandai nak urus budak kecil, susahlah saya nanti doktor”

Allahu,aku mengucap panjang di dalam hati.

IKLAN

Isterinya hanya menunduk dan mendiamkan diri.Entah apa perasaannya sekarang tidak dapat aku bayangkan.Dihidap demam denggi yang mungkin boleh meragut nyawa,tetapi suami mahu berkeras untuk membawanya pulang, atas alasan sukar untuk menguruskan anak-anak.

Suami Tak Pandai Uruskan Anak Kecil

Ini bukan kali pertama aku berhadapan dengan situasi sebegini dimana masalah akan timbul apabila si isteri perlu dimasukkan ke wad dan si suami pula sukar membenarkan atas alasan tidak pandai mengurus anak-anak.

Sama juga keadaannya apabila salah seorang anak perlu dimasukkan ke wad atas sebab-sebab tertentu tetapi si ayah tidak membenarkan atas alasan susah untuk menguruskan anak-anak yang lain kerana si ibu sudah pasti akan menemani dan menjaga anaknya yang sakit itu di hospital.

Tanyalah kepada mereka yang bekerja di dalam sektor kesihatan, acapkali berlaku situasi sebegini.Ini hanya satu sahaja kisah daripada beribu kisah yang hampir sama cuma dilakonkan watak yang berbeza.

Susah sangatkah untuk para suami di luar sana untuk belajar menguruskan anak-anak?
Atau semenjak dilahirkan sampai merangkak kemudiannya berjalan hanya sang isteri yang bertekah memandikan anak?
Hanya isteri yang menjirus dan menukarkan lampin anak setiap kali?
Hanya isteri sahaja yang tahu menyediakan makan minum anak-anak?
Hanya isteri sahaja yang tahu sukatan membancuh susu anak?

Sampai tahap nyawa isteri menjadi taruhan pun persoalan begini yang bermain di fikiran?

Ini tidak termasuk lagi bagi kes-kes isteri menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi hati,buah pinggan,kanser dan sebagainya, bukan kata nak menguruskan anak,siap ada yang bermain kayu tiga pula dibelakang isteri.

Na’uzubillah.

Bayangkan jika jawapan suami kepada isteri sebegini:

IKLAN

“Tak apa sayang,jika itu yang terbaik,masuk sahaja kedalam wad.Anak-anak jangan risau,pandailah nanti abang uruskan,bukannya abang tak biasa”

Sudah semestinya perit sakit yang ditanggung secara fizikal akan terasa ringan,apatah lagi beban emosi,pastinya rasa bahagia mendakap jiwa.

Ingatlah wahai para suami,melindungi isteri dan anak-anak dari segi keselamatan dan KESIHATAN juga tanggungjawab kita.

Belajarlah bagaimana menguruskan anak kecil sedari bayi yang baru lahir.

Ya,memang pada awal akan ada yang berasa takut,tetapi selepas kerapkali dilakukan,ia akan menjadi rutin yang kita sudah terbiasa dengannya.

– Seawal mendukung si kecil kali pertama dan mendendangkan azan di telinganya
– Belajar menguruskan dan menanam uri
– Usah takut memandikan anak yang baru lahir
– Belajar mencukur rambut anak jika ingin lakukan sendiri
– Belajar bagaimana menukarkan lampin
– Belajar memahami tabiat tidur dan penyusuan anak terutamanya 6 bulan pertama,yang mana seringkali menjadikan ibu bapa stress kerana anak kerap kali menangis di tengah malam dan sebagainya.
– Bangunlah di tengah malam untuk membancuh susu atau menukarkan lampin anak.
– Dan banyak lagi yang perlu dipelajari ,tidak termasuk lagi mengemas rumah,memasak,membasuh kain dan sebagainya.

Ini hanyalah secebis contoh daripada apa yang boleh kita lakukan,sekurang-kurangnya apabila isteri kita tidak sihat atau memerlukan rawatan lanjut di hospital,atau pergi berkursus bagi yang bekerjaya,atau apa-apa jua situasi, tiada lagi persoalan :

“Siapa mahu uruskan anak-anak”

Barulah kita boleh digelar Suami Kiriman Tuhan.

Semoga bertambah sakinah dan mawaddah apabila suami isteri bergandingan dan berpimpinan tangan menguruskan rumahtangga bersama-sama.

Tidak hina seorang suami menguruskan anak dan melakukan kerja-kerja rumah, bahkan lebih mulia dan selari dengan ajaran Baginda Rasulullah s.a.w.

Asmi Syabil
Coretan hujung minggu.
Suami dan bapa yang masih bertatih.

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, tak salah suami turut membantu dan ambil peduli menguruskan anak-anak dan rumahtangga dengan tidak terlalu mengharapkan pihak isteri sahaja. Sekurang-kurangnya apabila isteri tiada disisi, suami tahu bagaimana menghadapinya.

Sumber: Asmi Syabil

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI