
Anak Dikebumikan
Tiada siapa yang sangka, selepas anak dikebumikan, ibu pula menyusul pergi pada hari yang sama dengan hanya berjarak kira-kira 10 jam.
Perkara itu dikongsikan seorang kenalan dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari menerusi hantaran di Facebooknya semalam.
Menurut perkongsian itu, arwah Syed Salim Syed Abdullah, 56, meninggal dunia pada pukul 12.57 pagi, 8 Ogos, manakala ibunya, Saripah Nariah Said Hanip, 76, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.39 pagi hari sama.
Lebih menyayat hati, Allahyarham Saripah meninggal dunia ketika jenazah anaknya baru sahaja selesai dikebumikan.
“Arwah abang Salim – 12.57 pagi. Arwah maknya – 11.39 pagi (meninggal ketika anaknya baru siap dikebumi),” tulisnya.
Menurut Izzat, Allahyarham Saripah pada awalnya berada dalam keadaan sihat dan masih mampu berbual bersama ahli keluarga ketika menunggu urusan pengebumian jenazah anaknya diselesaikan.
“Semasa menunggu jenazah anaknya disiapkan, arwah maknya sihat boleh borak dalam sedih,” katanya.
Izzat turut merayu kepada keluarga dan rakan-rakan agar sama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat kedua-dua arwah.
“Saya dengan rasa rendah diri, mohon jasa baik semua keluarga dan rakan untuk sedekahkan pahala al-Fatihah buat kedua mereka ini yang pergi serentak hari yang sama.
“Tolong ya semua. Mohon sedekahkan pahala al-Fatihah buat keduanya. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang beriman…Amin,”
katanya.Berdasarkan kad takziah yang dikongsikan, Syed Salim dilahirkan pada 11 September 1969, manakala Saripah dilahirkan pada 11 Ogos 1949.
Perkongsian tersebut mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial yang turut menitipkan doa buat kedua-dua arwah serta keluarga yang ditinggalkan.
“Semoga arwah kakak saya Saripah Noriah (Kak Pah) dan anak saudara saya Syed Salim) ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kasih sayang seorang ibu kepada anaknya sehingga ke hujung nyawa,” komen Sherry.
Semoga rohnya keluarga ini dicucuri rahmat bersama orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah.