Berita

Selamba Makan Ketika Bersiaran Langsung Di Tik Tok Atas Alasan Berpantang, Wanita Ditahan JAINS

Share

Selamba makan ketika bersiaran langsung di TikTok atas alasan berpantang, wanita ditahan JAINS. Tindakan seorang individu selamba makan dan minum ketika bersiaran di TikTok petang Ahad lalu membawa padah apabila dirinya ditahan di Kuala Pilah semalam oleh sepasukan anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Dalam siaran langsung dengan pengikutnya kira-kira jam 6.45 petang itu, wanita ini dilihat tiada segan silu dan penuh selamba makan dan meneguk minuman atas alasan dirinya sedang dalam pantang.

Dirinya ditegur oleh mereka yang mengikuti siaran langsung namun dirinya, dia memberikan jawapan andai tidak suka boleh keluar dari siaran langsungnya itu.

Dalam pada itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah memaklumkan wanita berusia 27 tahun itu telah ditahan dan kini disiasat di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 atas kesalahan menghina atau mencela agama Islam.

Jelasnya,  hasil penelitian terhadap video tular berkenaan mendapati wanita itu berinteraksi secara langsung dengan pengikutnya kira-kira 6.45 petang.

“Semasa siaran langsung itu, individu berkenaan didapati secara terbuka makan dan minum,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Asri berkata, orang ramai khususnya umat Islam dinasihatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti agama serta memuliakan Ramadan dengan mengamalkan sikap dan tingkah laku terpuji selaras dengan tuntutan agama Islam.

Beliau berkata, JHEAINS komited memastikan setiap urusan berkaitan umat Islam di negeri ini diurus dengan tertib, penuh hikmah dan berlandaskan syariat Islam serta undang-undang yang berkuat kuasa. Kredit :- BERNAMA

INFO WAJIB AMBIL TAHU

Jika Ada Uzur Syarie

Individu yang mempunyai keuzuran seperti wanita haid atau nifas (termasuk dalam tempoh pantang), sakit yang memudaratkan jika berpuasa serta musafir yang diharuskan berbuka maka diharuskan untuk makan dan minum.

Malah bagi wanita di dalam  haid dan nifas, mereka memang tidak dibenarkan berpuasa. Namun, puasa tersebut wajib diganti (qada) selepas Ramadan.

Namun selamba menayang makan dan minum di siaran langsung berkait dengan adab. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa “malu itu sebahagian daripada iman”.

Malu bukan sekadar pada manusia tetapi malu kepada Allah dan malu untuk mencemarkan kemuliaan bulan yang suci.

Jika perbuatan makan itu dipamerkan tanpa keperluan, wajar kita bertanya kembali di mana letaknya rasa malu dan kepekaan iman kita terhadap Ramadan?

Published by
Almaswa Haji Che Ros