
Pihak Sekolah Nafi Abaikan Murid OKU
Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan seorang murid Pendidikan Khas dilihat bergerak ke kantin sekolah dalam keadaan berlutut. Video tersebut pantas mengundang rasa sebak dan kemarahan warganet yang mendakwa murid Orang Kurang Upaya (OKU) itu diabaikan tanpa pemantauan pihak sekolah.
Ramai ibu bapa, khususnya golongan wanita dan ibu, meluahkan rasa simpati serta mempersoalkan tahap keprihatinan pihak sekolah terhadap kebajikan murid berkeperluan khas. Namun di sebalik emosi yang tercetus, pihak sekolah tampil memberikan penjelasan bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.
Menurut Yang Dipertua (YDP) sekolah berkenaan, Jeehan Adam, kejadian itu berlaku apabila murid terbabit keluar dari kelas secara spontan kerana teruja melihat kehadiran ibunya di kawasan sekolah pada hari tersebut.
“Murid berkenaan bukan ditinggalkan atau diabaikan. Dia keluar dari kelas atas inisiatif sendiri untuk menunjukkan kepada ibunya kawasan sekolah termasuk kantin dan rakan-rakan,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa rakaman video yang tular itu tidak memaparkan keseluruhan konteks kejadian, sekali gus mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Mengulas isu murid dilihat tidak menggunakan reverse walker, Jeehan menjelaskan bahawa penggunaan alat bantuan tersebut tidak diamalkan di dalam bilik darjah.
Ini kerana susun atur kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) direka khusus bagi memudahkan pergerakan murid tanpa alat bantuan, selain memberi ruang pergerakan yang lebih selamat dan terkawal.
Selain itu, murid berkenaan juga masih baharu bersekolah dan sedang melalui proses penyesuaian diri dengan persekitaran sekolah, rakan-rakan serta rutin harian sebagai murid Pendidikan Khas.
Tegas Jeehan, guru-guru PPKI sentiasa memantau dan menjaga murid di bawah tanggungjawab mereka. Justeru, dakwaan bahawa pihak sekolah mengabaikan kebajikan murid OKU itu disifatkan sebagai tidak adil serta menyedihkan.
Lebih mengecewakan, video pendek yang tular tersebut menyebabkan guru-guru terpaksa memberikan penjelasan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Malah, mereka turut berdepan kecaman, komen kasar serta tuduhan melampau daripada warganet walaupun hakikat sebenar tidak seperti yang digambarkan dalam rakaman tular berkenaan.
Bagi Mingguan Wanita, keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan anak-anak OKU adalah satu perkara yang sangat wajar dan terpuji. Namun, setiap isu perlu dilihat secara menyeluruh dan berfakta, bukan sekadar berdasarkan rakaman singkat yang tular di media sosial.
Anak-anak istimewa memerlukan sokongan semua pihak — ibu bapa, guru dan masyarakat. Dalam menyuarakan keprihatinan, empati dan kefahaman perlu berjalan seiring agar tidak menzalimi pihak lain yang juga sedang berusaha melakukan yang terbaik.
Kerana dalam dunia pendidikan, kasih sayang tidak pernah memilih, dan keadilan bermula apabila kita memilih untuk memahami sebelum menghukum.
Sumber: TiktTok jeehan.adams