Sedih Baca Luahan Hati Isteri Alif, Perasaannya Bercampur Baur Air Mata Peneman Setia

Share

Wanita sangat cepat berasa sedih dan hatinya mudah rapuh terutamanya bila berkaitan tentang suami dan anak-anak. Apatah lagi bila suami dan beberapa ahli keluarga disahkan positif Covid-19 dan nasib dirinya dan anak-anak masih samar.

Begitulah yang dirasai oleh isteri kepada penyanyi Alif Satar, Sha Dila Hadid semalam dimana hatinya bercampur baur dan sedih sebelum mengetahui keputusan ujian saringan yang dilakukan pada dirinya dan tiga anak kecil adalah negatif.

Sedih & Sebak

Menerusi perkongsian, di laman Instagram miliknya, isteri Alif bertambah sedih apabila dua anak kecilnya Ariana dan Ali menangis ketika swab test dilakukan.

Alif dan Sha Dila bersama tiga anak mereka.

Baca Disini Juga:

“Allah SWT Makbulkan Doa Kalian Semua,” Alif Satar Umum Isteri, Anak Negatif COVID-19

Lepas Alif Ibu, Bapa & Adik Positif Covid 19 “Doakan Isteri & Anak-Anaknya Dilindungi Jangkitan Virus”

Kontak Rapat Alif, “Mohon Doa Kalian” Zulin Aziz Jalani Kuarantin & Ujian Saringan Covid-19

Ibu kepada tiga orang anak ini tidak sanggup menahan sedih dan sebak apabila melihat tiga anaknya Alisha Anugerah, 5 Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1 sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 di kediamannya.

“Selepas Alif disahkan positif, semua ahli keluarga pergi buat ujian saringan di klinik dan hospital, tapi saya di rumah bersama tiga anak yang masih kecil.

“Saya juga tak boleh nak pandu kereta kerana Alif orang terakhir yang memandu kereta itu. Jadi, saya lakukan ujian saringan di rumah dan doktor datang jam 9.30 pagi.

“Ketika ujian dilakukan, kesiannya tengok anak-anak kerana saya sendiri rasa tak selesa, inikan pula mereka.

“Mereka mula menangis terutama Ariana dan Ali. Jadi, sedih sangat tengok mereka. Tapi, ini tanggungjawab yang mana memang kena buat juga,” tulis Sha Dila.

Undang Sedih Bila Kemas Baju Bersiap Sedia Jika Ambulans Datang

Isteri Alif juga menerangkan mereka sekeluarga tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Kami tidak ada sebarang gejala dan saya berasa keputusannya negatif. Tapi apabila dapat tahu mentua dan adik Alif positif, saya menjadi risau. Alif juga tidak ada gejala, tapi positif.

“Disebabkan belum tahu keputusan, jadi semalam saya kemaskan baju dan keperluan anak-anak dalam beg. Jika keputusan positif, jadi semuanya sudah tersedia, sekiranya ambulans datang mengambil kami” luahnya yang mengakui tidak dapat menahan air mata ketika itu kerana terlalu sedih.

Semalaman Tidak Dapat Tidur

Wanita kesayangan Alif ini juga menyatakan dia tidak boleh tidur semalaman memikirkan pelbagai kemungkinan yang mendatang.

“Macam-macam saya fikirkan. Paling menakutkan bagaimana jika saya positif tapi anak-anak negatif atau seorang anak negatif dan dua lagi positif?

“Saya fikir macamana keadaan ketika itu. Adakah diasingkan atau kuarantin bersama? Kalau diasingkan anak-anak duduk dengan siapa? Siapa nak menjaga mereka? Kiranya semalam memang tak boleh tidur jika terjadi keadaan seperti ini.

“Alhamdulillah, ketika dimaklumkan ujian saringan negatif, tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana.

“Dalam masa sama lega, tapi saya tahu perkara ini belum berakhir apatah lagi Alif dan keluarga lain sedang dirawat di hospital dan melawan virus ini. Jadi, perasaan bercampur baur. Saya nak semua orang akan kembali sihat selepas ini.

Terima Kasih Kepada Semua Yang Mendoakan

“Tahun ini memang tahun mencabar buat semua orang. Jadi, saya berharap semua boleh menyokong pesakit dan sesiapa saja sebab semua terkesan dengan penularan wabak ini.

“Walaupun orang itu tak kena Covid-19, tapi dari segi ekonomi, kerja, keluarga dan macam-macam lagi mereka terkesan. Jadi, kita perlu bersama-sama. Terima kasih pada semua yang mendoakan dan sudi membantu,” kongsinya yang cukup memberi kesan kepada setiap yang membaca.

“Kasihan Bila Pakwan Kena” – Sha Dila 

Terbaru Alif Satar telah berkongsi entri di Instagram di mana datuknya yang kini berusia 91 tahun turut disahkan positif Covid-19, Sabtu lalu.

Datuknya, Mohamad Che Noh atau dipanggil Pakwan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh. Turut dirawat di sana ialah ibu, bapa dan adik bongsu Alif yang juga dijangkiti Covid-19.

“Pakwan (datuk) saya, 91 tahun juga pesakit Covid-19. Saya minta tolong semua untuk doakan agar Pakwan saya terus kuat dan dikurniakan kesihatan seperti biasa. Semoga Allah merahmati kalian semua.

“Terima kasih warga barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh kerana menjaga keluarga saya dan semua pesakit Covid-19. Anda semua sudah jalankan tugas dengan baik,” tulisnya.

Seperti mana dipetik menerusi Harian Metro Sha Dila berasa simpati dengan Pakwan.

“Pakwan pun disahkan positif pada Sabtu lalu. Dia tidak ada apa-apa sakit kronik, cuma jalan saja kena pimpin atau pakai tongkat.

“Mungkin Pakwan terkena jangkitan sebab semua bergilir-gilir menjaga dia. Kasihan juga apabila dia kena,” üjar Sha Dila.

Sumber: Harian Metro

Sumber/Sumber Foto: Instagram Sha Dila dan Instagram Alif Satar

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

IKLAN