
Isi Kandungan
ToggleSungguh ada benarnya, sikap masyarakat kita menentukan sama ada Malaysia akan bertambah pulih daripada wabak COVID-19 seperti di Wuhan, China ketika ini atau berisiko menjadi pusat wabak baharu virus itu seperti di negara Eropah.
Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan telah diarahkan, namun kesalnya terdapat sikap segelintir daripada kita yang memandang ringan dan mempersendakan arahan ini.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, berkata mengambil kira sikap rakyat Malaysia yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, beliau percaya ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan penularan COVID-19.
Kurangkan Interaksi Sosial
Malah, pihaknya tidak terkejut jika negara melancarkan perintah berkurung sepenuhnya sekiranya orang ramai masih memandang ringan isu ini.
“Mereka kena faham tujuan utama perintah kawalan ini adalah untuk memutuskan transmisi wabak itu. Jika semua berpusu-pusu ke pasar raya, ia akan menambah risiko penularan…sepatutnya kena wujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk mereka membeli barangan keperluan.
“Jika orang ramai pulang ke kampung, ada kemungkinan pula ia merisikokan orang tua kerana mereka mudah dijangkiti berikutan imuniti yang rendah. Sepatutnya kena kurangkan interaksi sosial,” katanya.
Jujur Ketika Lakukan Saringan
Pada masa sama, Ganabaskaran berkata, penting bagi orang ramai berlaku jujur kepada pasukan perubatan ketika menjalani pemeriksaan atau saringan.
Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan individu berkenaan dikenakan hukuman mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan hukuman dua hingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, pakar undang-undang, Datuk Salehudin Saidin, berkata negara boleh mengikuti contoh penguatkuasaan dilaksanakan kerajaan China dalam membendung COVID-19 melalui kaedah yang lebih tegas.

“Kita lihat seperti peraturan penutupan dilaksanakan China, walau dianggap kejam dan dikatakan menentang hak kemanusiaan, ia amat efektif sehingga menyebabkan tiada kes domestik dilaporkan di negara itu.
“Kalau kita tolak ansur dengan rakyat, masalah akan menjadi lebih rumit, ” katanya.
MW: Semoga kita sedar dan patuh dengan perintah kawalan pergerakan yang ditetapkan ini. Sebolehnya jaga jarak dan elakkan interaksi sosial. Jika ada gejala segeralah mendapatkan rawatan dan berlaku jujurlah dengan pasukan perubatan. Jangan pentingkan diri sendiri yang mengakibatkan lebih banyak kes jangkitan dan kematian nanti. Semoga sikap kita, berjaya menangani wabak virus berbahaya ini, Malaysia kembali pulih dan bebas daripada pandemik ini.
Sumber: Bharian
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Baru Berniat, Sekali Allah Dah Sampaikan Hajat – Heliza Helmi

Isi Kandungan
ToggleDalam hati nak sangat hadiahkan diri dengan sesuatu. Tapi tak mampu. Cuma boleh doa dalam hati, simpan kemas-kemas hajat tu. Mana tahu nanti akan dapat. Tapi tak juganya dapat. Ada orang pula, baru saja niat, tiba-tiba hajat pun tertunai.
Itu namanya rezeki. Yang sama sekali kita takkan pernah tahu bila, macam mana dia datang dan dalam bentuk apa. Sebabnya semua itu kerja Allah Yang Maha Kuasa.
Tapi kita percaya kuat-kuat yang Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui isi hati hambanya. Dia akan beri apabila kita telah sedia menerimanya. Bermakna pemberian itu akan jadi yang terbaik untuk kita, walaupun ada ketikanya ia satu hal yang kita memang takkan sukai. Contohnya kematian, kehilangan.. sebab satu hari nanti musibah itu akan jadi rezeki yang tidak dijangka-jangka.
Sebab itulah orang kata rezeki tak pernah salah alamat. Tolaklah, pukaulah, santaulah macam mana sekalipun… kalau Allah kata kita punya. Maka ia akan jadi kita punya. Jadi, janganlah susah hati kalau belum mendapat ya.
Tak seperti pengacara dan usahawan manis kita ini, Heliza Helmi yang membahasakan dirinya Kakja. Kisah yang dialami semanis orangnya. Bagaimana dia yang juga aktivis kerja-kerja amal ini cuma terdetikkan mahu menghadiahkan diri dengan Al Quran.. lalu Allah datangkan sahabat yang memberinya senaskah Al Quran.
Allah Maha Mendengar Dan Maha Mengetahui
Suatu kisah…
Teringin nak hadiahkan diri sesutu.
Minggu lepas atau dua minggu lepas Kakja rasa nak sangat hadiahkan diri sendiri senaskah Al Quran . Masa tu Kakja fikir nak pergi kedai buku nak beli Al Quran. Tiba tiba …..
Tiba tiba Kakja dapat mesej dari sahabat yang sayang kerana Allah nak hadiahkan Kakja Al Quran ???
“Ya Allah, kita baru sahaja niat, namun Allah dah sampaikan apa kita hajati. Masa tu rasa sebak teramat sangat”
Terima Kasih ALLAH
Terima Kasih ustazah @najiha23 atas pemberian sangat sangat bermakna ini . Banyak nota nota penting dan amalan yang baik boleh diamalkan
Kata Heliza lagi Al Quran yang dihadiahkan sahabatnya itu ada kelebihan khatam tracking. Bermakna boleh membantu mereka yang nak khatam Al Quran dengan sistematik.
Kalau nak tanya lanjut pasal Al Quran ini boleh rujuk dengan sahabatnya @norhafizahsaad.
Heliza Mohon Doa
Doakan Kakja yang dhoif lagi banyak khilaf ini sentiasa dekat dengan Al Quran, beramal dengan Al Quran, memahami Al Quran, dapat menghafaz Al Quran, berakhlak dengan akhlak Al Quran, menjalani kehidupan mengikuti Al Quran dan As Sunnah yang ALLAH redha. .
Mohon Aamiinkan semua?
Sumber/Foto : Instagram Heliza Helmi
Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan
Itu cerita Heliza Helmi, mak-mak pun tentu-tentulah ada cerita rezeki yang tak disangka-sangka tersendiri. Barangkali lebih hebat lagi Allah beri.
Kadangkala berdialog dengan Allah itu perlu. Bermohon denganNya bukan sekadar selepas solat. Sebenarnya ada waktu-waktunya yang mana Allah akan makbulkan doa kita.
1. Semasa Bersahur / Sepertiga Malam Terakhir
Seperti yang Allah katakan dalam Al Quran, Dia mencintai hambanya yang berdoa di sepertiga malam. Iaitu ketika bangun malam bertahajud mahupun mengerjakan solat sunat yang lain.
“Ketika sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon ampun” Surah Az Zariyat, ayat 18)
Hadis pula menyatakan “Rabb kita turun ke langit dunia sepertiga malam yang akhir pada setiap malamnya. Kemudian berfirman: ‘Orang yang berdoa kepada-Ku akan Ku kabulkan, orang yang meminta sesuatu kepada-Ku akan Kuberikan, orang yang meminta ampunan dari-Ku akan Kuampuni” (hadis riwayat Bukhari no.1145, Muslim no.758)
2. Ketika Berbuka puasa
Inilah keberkatan orang yang berpuasa iaitu Allah makbulkan doanya.
“Ada tiga doa yang tidak ditolak. Doanya orang yang berpuasa ketika berbuka, doanya pemimpin yang adil dan doanya orang yang dizalimi” (hadis riwayat Tirmidzi no.2528, Ibnu Majah no 1752, Ibnu Hibban no. 2405, disahihkan Al Albani di sahih At Tirmidzi)
3. Semasa Malam Lailatul Qadar
Pada malam itu perbanyakkanlah doa. Seperti yang diceritakan oleh Ummul Mu’minin Aisyah R.A : “Aku bertanya kepada Rasulullah : Wahai Rasulullah, menurutmu apa yang sebaiknya aku ucapkan jika aku menemukan malam Lailatul Qadar? Sabda Rasulullah : Berdoalah (Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan menyukai sifat pemaaf, maka ampunilah aku) (hadis riwayat Tirmidzi, 3513, Ibnu Majah, 3119, At Tirmidzi berkata: “Hasan Sahih”)
4. Ketika Laungan Azan
Semasa azan berkumandang, berdoalah kerana ini waktu mustajab untuk berdoa. Sebagaimana sabda Rasulullah : ‘Doa tidak ditolak pada dua waktu, iaitu minimal kecil kemungkinan tertolaknya. Iaitu ketika azan berkumandang dan saat perang berkecamuk, ketika kedua kubu saling menyerang” (hadis riwayat Abu Daud, 2540, Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Nata-ijul Afkar, 1/369, berkata: “Hasan Sahih”)

5. Di Antara Azan Dan Iqamah
Berdoalah di antara waktu ini kerana rasulullah bersabda, “Doa di antara adzan dan iqamah tidak tertolak” (hadis riwayat Tirmidzi 212, ia berkata: “Hasan Sahih)
6. Sujud Semasa Dalam Solat
Sabda rasulullah SAW: “Seorang hamba berada paling dekat dengan tuhanNya ialah ketika ia sedang bersujud. Maka perbanyaklah berdoa ketika itu” (hadis riwayat Muslim, no 482).
7. Sebelum Memberi Salam Dalam Solat Wajib
Rasulullah bersabda: “Ada yang bertanya ; Wahai Rasulullah, bila doa kita didengar oleh Allah? Sabda nabi : “Di akhir malam dan di akhir solat wajib” (hadis riwayat Tirmidzi, 3499)
8. Pada Hari Jumaat
Dalam sabda Rasulullah : “Rasulullah menyebut tentang hari Jumaat kemudian beliau bersambda; ‘Di dalamnya terdapat waktu. Jika seorang muslim berdoa ketika itu, pasti diberikan apa yang ia minta’. Lalu beliau mengisyaratkan dengan tangannya tentang sebentarnya waktu tersebut.” (hadis riwayat Bukhari 935, Muslim 852 dari sahabat Abu Huraidah RA)
9. Waktu Hujan
Hujan itu nikmat tuhan. Jangan sesekali mengeluh, merungut bila hujan turun. Sebaliknya berdoalah. “Doa tidak tertolak pada 2 waktu iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun’ (hadis riwayat Al Hakim, 2534, disahihkan Al Albani di Shahih Al Jami’. 3078)
10. Hari Rabu Antara Zohor Dan Asar
Keterangannya diceritakan oleh Jabir bin Abdillah RA: “Nabi SAW berdoa di Masjid Al Fath 3 kali, iaitu hari Isnin, Selasa dan Rabu. Pada hari Rabulah doanya dimakbulkan, iaitu di antara dua solat. Ini diketahui dari kegembiraan di wajah beliau. Berkata Jabir “ “Tidaklah suatu perkara penting yang berat pada saya kecuali saya memilih waktu ini untuk berdoa dan saya mendapati dimakbulkan doa saya”
11. Pada Hari Arafah
Pada hari ini para jemaah haji melakukan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Disarankan banyakkan berdoa, baik jemaah haji mahupun seluruh umat Islam yang tidak menunaikan haji. Sabda Rasulullah:
“Doa yang terbaik adalah doa ketika hari Arafah” (hadis riwayat At Tirmidzi, 3585. Disahihkan Al Albani dalam Sahih At Tirmidzi)
12. Semasa Perang
Dalil hadis diterangkan dalam tip no. 4. Ketika ini mereka yang ke medan perang sedang berjihad di jalan Allah, jadi doa mereka tidak dihijab oleh Allah.
13. Semasa Minum Air Zam-zam
Ini sabda Rasulullah SAW: “Khasiat air zam-zam itu sesuai niat peminumnya” (hadis riwayat Ibnu Majah, 2/1018, disahihkan Al Albani dalam Sahih Ibni Majah, 2502)
Sumber: muslim.or.id
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Isteri Berhenti Kerja Serentak, Tapi Akhirnya Pasangan Ini Berjaya Ada Syarikat Sendiri

Isi Kandungan
ToggleUntungnya pasangan suami isteri, walau berhenti kerja dalam masa yang sama tetapi syukur alhamdulillah mereka berjaya mengaut rezeki luar biasa dalam bisnes.
Apa yang menarik, Puan Siti Zakirah Binti Ghazali, 28 tahun, atau lebih dikenali sebagai Mcyah Joanjett dalam akaun facebook miliknya bukan pekerja swasta tetapi pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran. Dan kini dia berjaya dalam dunia bisnesnya.
Namun sebelum mengecapi kejayaan ini, wanita ini juga pernah diuji dalam kehidupan berumah tangga apabila suaminya terlibat kemalangan jalan raya. Bermulalah kisah ibu muda berhati angkasa, dia mula mengambil alih tugas suaminya dalam menguruskan hal rumah tangga dan mencari rezeki demi kelangsungan hidup.
Ikuti perkongsian penuh daripada wanita ini…
Sejak akhir-akhir ni hangat isu BERHENTI KERJA/RESIGN. Berbaloikah?
Salam perkenalan dari BEKAS PENJAWAT AWAM PPKP GRED U29 atau lebih dikenali dengan jawatan INSPEKTOR KESIHATAN.
Ramai yang berhenti kerja hidup senang-lenang, berjaya dan mewah. Tak kurang juga yang merempat, menyesal dan mengais pagi makan pagi demi sesuap nasi.
Suami Kemalangan
Genap 3 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam, suami pula genap 1tahun. Masa ni aku partime buat kuih tapi penat sangat sebab anak dua-dua kecik. Dua-dua masih tak reti bertatih. Fuhh. Kehidupan bertambah berat apabila suami terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang dari kerja. Cuti sakit selama 400hari.
Disini bermulanya keperitan hidupku. Dirumah akulah ibu akulah bapa, akulah isteri akulah suami. Dulu masa suami sihat ada juga duit lebih sebab dia partime buruh kasar. Sekarang memang zero lah. Harapkan separuh dari gaji U11 memang tak tertanggung. Pagi-pagi sebelum kerja, aku hantar anak ke taska.
Kemudian aku akan ke tempat kerja punch card dan minta kebenaran bos keluar urus suami. Aku akan balik siapkan suami untuk dibawa ke klinik terdekat bersihkan luka. Siap dia makan minum aku akan masuk kerja semula. Petang-petang balik kerja, selepas amik anak aku akan bawa mereka pusing-pusing dengan kerusi roda. Kesian juga suami bosan terperuk dirumah. Keadaan ini sukar kerana kami tinggal jauh dari kampung dan keluarga. Minta tukar balik kampung tapi tak ada rezeki.
Ujian Demi Ujian
Apabila keadaan suami beransur pulih. Aku tekad nak ubah nasib keluarga, aku mohon sambung pengajian supaya boleh naik pangkat atau mohon pekerjaan lain. Harapan aku, boleh la hidup senang sikit gaji besar. Suami dengan patah kaki sanggup hantar aku sampai depan asrama di USM p.pinang. Tapi aku lupa, jika kau tak berduit, secomel mana pun anak kau, sebagus mana pun anak kau, tak kan ada orang yang sudi jaga mereka dalam tempoh masa yang lama walaupun saudara mara. Aku betul betul terkesan dengan isu ini. Aku sempat belajar 6bulan sahaja. Kemudian aku terminate walaupun ia sebuah impian besar. Dahla time tu suami terpaksa pinjam duit RM1k untuk bayar yuran pendaftaran pengajian aku. Maafkan aku.
Aku kembali bekerja seperti biasa dan uruskan anak-anak serta suami yang masih bersimen kaki nya. Aku pinjam duit tabung di pejabat sebanyak RM2,000, campur duit gaji kami, campur simpanan dalam tabung haji dan aku ajak suami ke vietnam untuk beli barang niaga. Jenuh jugak bawak dia dengan berkerusi roda, imegresen tanya macam-macam. Aku bagi alasan bawak suami sakit ke sana untuk berubat haha. Suami boleh berdiri dan berjalan dengan kaki simen tapi tak boleh lama nanti sakit. Sukar jugak nak ke mana-mana sebab kami tambang taxi motor je. Nak naik yang kereta takut lari bajet.
Buat Bisnes Online
Walaupun sukar giler kat sana, kene tipu hidup-hidup, dibawa lari oleh taxi moto tu. Maklumlah first time sampai sana. Tapi akhirnya kami boleh juga beli tudung dan kasut untuk dibawa balik malaysia. Aku jual online dan offline. Pukul 8pg-5ptg kerja seperti biasa. Rehat pukul 1-2ptg orang lain pergi makan, aku pulak sibuk cod dan pos barang. Bonet kereta lah kedai aku. Hehe. Malam jual secara online dan packing barang. Kadang suami lah yang tolong tulis borang dan packing dirumah. Hujung minggu aku berniaga dipasar malam. Alhamdulilah rezeki sentiasa ada.
Dari order barang dengan supplier 2 kotak je, dah jadi berkotak kotak. Dari 2-5 parcel dah jadi 10-20 parcel sehari. Dari simpan stock atas katil, dah boleh order rak buat mini stor. Syukrann. Order tak putus-putus, online offline sama2 ligat. Tak kurang yang nak jadi ejen. Dari buat sorang-sorang dah ada 20 orang ejen. Kemudin aku tak dapat nak tumpukan perhatian pada kerja hakiki. Setelah buat keputusan dan sediakan payung sebelum hujan, aku pun buat keputusan berhenti kerja. Apa yang paling buat keluarga dan orang sekeliling terkejut adalah, kami suami isteri resign serentak bersama pada hari dan tarikh yang sama.

Pandangan Keluarga Terdekat
Apa kata keluarga? Fuhh memang krisis betul. Dalam 7 beradik, aku sorang je yang keje makan gaji. Bak kata pepatah, akulah harapan keluarga. Memang mak aku merajuk tak mau bercakap dengan aku. Marah. Ayah pula redha. Tapi muka dia kesal. Keluarga sebelah Suami? Sama juga weh. Ayah dia, Abang adik dia semua kerja makan gaji, takkan nak pecahkan tradisi keluarga kenn. Huhu
Aku cakap dengan suami, tak apa kita sama-sama bangkit dan buktikan yang kita boleh. Kami berdua buat bisnes masing-masing. Suami buruh kasar, dia dah mula masuk kursus, pergi kelas, buat lesen pembinaan. Aku juga sama, ke majlis-majlis ilmu, bina team luaskan rangkaian marketing. Sebulan selepas resign, aku pregnant anak ketiga, tapi aku tetap gigih ulang alik ke kilang di vietnam untuk shipping barang.
Kehidupan Selepas Berhenti Kerja
Alhamdulillah sekarang genap 1 tahun kami berhenti kerja dan selamat menimang cahaya mata ketiga. Suami dari gali lubang sendiri, pasang paip sendiri, sekarang dah punya sebuah syarikat construction dan team bernama #tz9088construction. Pelbagai job kerajaan dan swasta suami aku dapat. Syukur. Aku juga sama, dah punya office sendiri, gudang sendiri, pekerja tetap dan sambilan, hampir 700 orang ejen dibawah naungan #9088legacySDNBHD dan 5 transport hasil jualan online. Dari zero emas sekarang kumpul 1kg lebih dah.
Allahuakhbar.. aku sangat gembira walaupun aku tak sehebat dan semewah orang lain tapi aku lebih hebat dari aku yang dulu. Terlalu cepat dan singkat masanya. Segalanya untuk sebuah kehidupan yang sempurna. PTPTN aku dah bayar cash lega didada. Nampak simple tapi aku sangat struggle untuk buktikan segalanya.
Apa aku buat SEBELUM BERHENTI KERJA?
?aku pastikan bisnesku stabil selama 6bulan.
?gigih simpan 6bulan gaji.
?ada bisnes planner.
Apa yang aku buat supaya aku boleh sustain dalam bisnes selepas resign?
❤️jaga hubungan dengan Allah, ibubapa, keluarga.
❤️aku hadir majlis ilmu.
❤️aku tidak membuat pinjaman bank dalam perniagaan.
❤️aku melibatkan diri dalam kebajikan sukarela.
❤️zakat dan cukai wajib bayar.
❤️gigih marketing.
❤️realisasikan impian orang tersayang.
❤️abaikan cakap cakap orang sesungguhnya ia akan membuat kita rasa down.
❤️sentiasa berfikiran positif, bersangka baik dengan Allah dan tidak putus asa.
Pilihan ditangan kita sendiri. Harus seiring dengan usaha dan semangat kental. Allah sentiasa ada bersama kita, kita sahaja sering kali melupakannya. MasyaAllah. Janganlah kita cemburu dengan rezeki orang lain. Sesungguhnya kau tidak akan pernah rasa kesukaran yang mereka hadapi. Keperitan yang mereka alamai. Kesakitan yang mereka rasai. Bebanan yang mereka tanggung.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lisdawati Tepis Stigma Hamil Lewat Usia

Isi Kandungan
ToggleNama Lisdawati bukanlah sosok yang asing dalam dunia seni lakonan tanah air. Mula aktif sejak 18 tahun yang lalu, Lisdawati tidak pernah menyepikan diri dalam dunia lakonan walaupun sudah berumah tangga dengan aktor dan pengarah yang berbakat besar, Fauzi Nawawi pada 2007.
Hasil perkongsian hidup pasangan selebriti ini dikurniakan empat orang cahaya mata. Lisdawati yang baru sahaja melahirkan anak keempat mereka baru-baru ini telah dijemput untuk menghiasi muka depan MW.
Berlakon Ketika Dalam Pantang
Memasuki usia 40-an pada tahun ini, Lisdawati tampil cukup menawan meskipun sudah beranak empat dan juga baru melepasi tempoh berpantang. Menurut aktres ini, walaupun sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, tawaran berlakon tidak pernah putus untuk dirinya. Tapi dengan statusnya itu, fokus utama adalah keluarga tapi tidak menolak jika ada tawaran watak yang sesuai dengan dirinya.
“Alhamdulillah saya baru sahaja lepas berpantang anak yang keempat. Sekarang bayi lelaki saya sudah berumur dua bulan setengah. Saya masih lagi aktif berlakon dan baru-baru ini saya telah muncul dalam drama bersiri Bahagia Bukan Bidaan bersama suami saya, Fauzi Nawawi dan beberapa pelakon lain seperti Nora Danish dan juga Dato’ Adi Putra.
“ Ketika penggambaran drama tersebut, usia bayi saya baru sahaja 20 hari. Saya dah terima tawaran berlakon ni sebelum bersalin lagi. kalau nak ikutkan saya bersalin awal 10 hari dari tarikh jangkaan. Jadi kerana komitmen tersebut saya perlu lakukan juga penggambaran tersebut.
“Nasib baik saya berlakon bersama suami dan adegan yang melibatkan saya semuanya di rumah. Jadi saya tidak terlalu terdedah dengan angin luar. Bayi saya juga saya perlu bawa bersama kerana dia masih menyusu badan. Saya bawa pembantu untuk uruskan bayi ketika saya berlakon. Syukur semuanya dipermudahkan. Ada ketikanya saya perlu bawa makanan pantang saya sendiri, jadi walaupun perlu berlakon, rutin pantang saya tetap diteruskan,”ceritanya tentang pengalaman berlakon ketika masih dalam pantang.
Menurut Lisdawati lagi, sungguhpun dirinya bergelar isteri dan juga ibu, bahkan penampilan juga sudah agak berubah, itu semua sedikit pun tidak memudarkan minatnya dalam bidang lakonan. Malah sehingga kini dia masih lagi aktif dan rezekinya sentiasa ada. Jiwa seni dalam dirinya sentiasa menebal namun fokusnya kini lebih kepada keluarga tercinta.
Tambahnya lagi, ada juga tawaran lakonan lain yang datang selepas drama Bahagia Bukan Bidaan tapi memandangkan bayinya yang masih kecil dan ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga, hanya tawaran berlakon yang bermula pada tahun hadapan yang diterima Lisdawati.
Rahsia Kekal Ramping
Turut berkongsi pengalaman hamil di usia yang agak lewat, jelas Lisdawati memang ada perbezaan ketara daripada kehamilannya yang terdahulu.
“Kali ini saya hamil pada usia 40 tahun, memang berbeza dengan yang terdahulu. Dari segi tenaga terutamanya dan juga nak dapat balik bentuk badan yang asal seperti dahulu. Hamil pada usia dah menjangkau 40-an ini banyak yang perlu dijaga. Saya banyak jaga pemakanan dan melakukan senaman untuk kembalikan bentuk badan yang asal. Bagi saya mudah sahaja, apa yang kita lakukan sekarang adalah bekalan untuk hari tua, jadi penting untuk saya menjaga pemakanan saya dan yang sentiasa menjadi amalan adalah minum air kosong yang banyak.
“Saya memang tak boleh kalau tak minum air manis tapi apa yang saya lakukan adalah pastikan diri sentiasa berdisiplin untuk minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari,” ujarnya lagi.
Walaupun sudah memasuki usia 40-an dan mempunyai empat orang anak, ibu kepada Nor Aini Farhana, Nor Aina Fazneesya, Ahmad Nur Fyrdaus dan Ahmad Nur Fayyadh ini tetap kelihatan muda dan jelita. Turut berkongsi rutin pemakanan yang diamalkan menurut Lisdawati, dia jarang makan ayam dan daging.
“Saya memang seorang yang jaga pemakanan. Saya memang jarang makan ayam dan daging. Dalam hidangan untuk saya sendiri atau keluarga, memang saya banyakkan sayuran terutamanya lobak merah. Anak-anak dan suami memang dah sedia maklum, kalau saya yang masak, lobak merah pasti ada dalam menu kami.
“Untuk makan malam pula, saya lebihkan sayuran dalam hidangan. Kalau ambil nasi dan lauk, separuh pinggan saya adalah sayuran. Saya pernah buat eksperimen dengan badan saya. Dua minggu saya tak jaga makan dan makan ayam setiap hari, hasilnya badan saya naik 4kg. Nak turunkan balik punyalah lama ambil masa. Sejak itu saya kurang makan ayam dan daging. Kalau nak makan protein, saya lebih memilih ikan dan juga makanan laut yang lain sebagai ganti.
“Bagi saya, paling penting adalah jaga pemakanan dan lakukan senaman. Kita sendiri tahu apa yang badan kita perlukan. Kalau nak diet pun boleh tapi jangan sampai paksa diri tidak makan dan sebagainya. amalkan pemakanan yang sihat dan jangan lupa bersenam itu yang paling penting,” ulasnya lagi.
11 Tahun Mematangkan Hubungan Suami Isteri
Mengulas lanjut mengenai suaminya, Fauzi Nawawi yang pernah dijemput ke program Talkshow MW untuk perbincangan tentang isu panas baran, Lisdawati akui suaminya itu pernah suatu ketika dahulu panas baran. Namun itu semua cerita lama, semakin matang usia dan perkahwinan mereka, sikap itu sedikit demi sedikit berkurangan.
“Saya akui suami saya dahulu panas baran. Sebelum berkahwin juga saya pernah dimaklumkan oleh ibunya tentang hal ini. Bila dah kahwin dan hidup bersama, baru saya alami sendiri. Tapi suami saya tidak pernah berbuat apa-apa yang memudaratkan fizikal dan juga emosi saya selama kami bersama. Biasanya kalau dia marah, mukanya bertukar merah dan dia akan keluar dari rumah untuk tenangkan diri.
“Sepanjang 11 tahun kami bersama, apa yang saya ingat sepanjang tempoh tersebut hanya dua kali kami berselisih pendapat yang agak serius. Apa yang kami berdua buat berbincang menerusi mesej atau whatsapp. Kami memang tak bergaduh depan-depan atau dalam telefon. Tujuannya kami tak mahu bila berdepan, lagi tambah mengeruhkan keadaan dengan nada suara yang tinggi dan sebagainya. Alhamdulillah, cara itu berkesan untuk kami berdua,” kongsi artis cantik ini.
Jelas Lisdawati lagi, ketika meniti usia bersama dengan beberapa ujian dalam kehidupan yang melanda, membuatkan suaminya lebih muhasabah diri. Setelah lapan tahun berkahwin, Fauzi mula menunjukkan perubahan positif dan sikap panas baran juga sudah berkurangan. Malah hubungan mereka berdua juga bertambah baik ditambah dengan kehadiran empat orang cahaya mata yang melengkapkan kehidupan mereka di samping empat orang anak Fauzi yang lain menerusi perkahwinan terdahulu.
Baik Dengan Anak Tiri
Mempunyai empat orang anak tiri yang sedang meningkat remaja, Lisdawati ternyata cukup disenangi. Malah keempat-empat mereka kini juga sudah tinggal bersama kerana melanjutkan pelajaran di ibu negara.

“Alhamdulillah, hubungan saya dengan anak-anak suami memang baik. Ada yang belajar di universiti dan kolej di Lembah Klang. Jadi setiap hari minggu, jika tiada kelas, mereka akan balik ke rumah kami.
“Nak jaga hubungan dengan anak-anak yang meningkat dewasa ini bagi saya bergantung kepada diri kita sendiri. Buatkan mereka rasa selesa bila berada dengan kita, jadikan kawan dan dengar apa sahaja cerita mereka. Dengan cara itu mereka akan sedar bahawa saya dan suami sentiasa ada untuk mereka. Lagi pula anak-anak abang Fauzi memang semuanya baik-baik, hormat saya dan sentiasa senangkan hati kami berdua.
“Saya layan mereka sama sahaja dengan anak-anak saya, tak ada bezanya. Kalau beli baju raya, kami semua sedondon. Kalau pergi bercuti, lapan-lapan orang kami bawa. Kalau kena marah pun sama, tiada diskriminasi antara anak kandung dengan anak suami. Apa yang saya ajar anak-anak saya, saya berikan yang sama untuk anak-anak tiri saya, begitu juga soal kasih sayang,” jelas Lisdawati.
Tambah Lisdawati, dia sebenarnya kagum dengan anak-anak tirinya. Walaupun bersekolah di sekolah yang terletak di luar bandar, mereka dapat membuktikan bahawa mereka boleh berjaya walaupun tidak bersekolah di sekolah elit atau sekolah swasta seperti di bandar. Kesedaran itu membuatkan Lisdawati juga sedar bahawa yang paling penting adalah ajaran dan didikan di rumah berserta usaha dan kesedaran anak-anak itu sendiri adalah perkara paling utama untuk berjaya dalam pelajaran.
Kini anak sulung Fauzi sedang belajar di Universiti Malaya, manakala anak ketiganya baru sahaja menamatkan pengajian di INTEC sebelum menyambung lagi pengajian dalam bidang yang lebih tinggi.
******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pelakon cantik Lisdawati. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu November, Volume 2 ini.
Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!
Penulis & Penyelaras: Shahrina Azlin Abdullah
Konsep: Mustaizah & Musnida
Foto: TM Azman
Solekan & Dandanan: Atie Jengka
Busana: Zara
Tudung: Sofea Rose
Lokasi: The Villas, Sunway Resort & Hotel SPA
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI