
Isi Kandungan
ToggleMak-mak yang nak pilih ketam segar, manis & banyak isi ada tip tertentu.Ketam bukanlah hidangan makanan laut yang kita makan hari-hari. Tapi bila sesekali teringin nak makan ketam, bila dah siap masak, mesti rasa kecewa bila rasanya, tak seperti yang kita harapkan. Berbau, tak segar, isi sikit dan sebagainya. Harga ketam boleh tahan mahal harganya. Biarlah harga yang dibayar berbaloi dengan kualiti ketam yang dibeli.Ada caranya yang tersendiri nak pilih ketam yang segar agar tak menyesal bila tersalah pilih nanti.
Berikut merupakan perkongsian tip oleh Penjual Makanan Laut sendiri, yang boleh dijadikan panduan ketika membeli ketam.
1.Waktu Membeli
Jika ingin membeli ketam, belilah ketam di waktu selepas bulan mengambang penuh,kerana pada waktu ini isi ketam lebih padat dan banyak. Nampak seperti tidak logik, tapi percayalah memang ada perbezaannya.
2.Warna Cengkerang
Jika beli ketam, terutama ketam bunga yang bermacam jenis, lihat pada warna cengkerangnya, terutama bahagian atas dan juga pada sepit. Andai ada warna kebiruan, ia menandakan ketam itu masih segar.
3.Pilih Ketam Berat
Pilih ketam yang lebih berat daripada yang lain, timbang dengan tangan anda. Ketam lebih berat daripada yang lain menunjukkan isinya padat. timang-timang sikit ketam tu, untuk mengagak berat ketam.
4.Lihat Belakang Ketam
Ketam boleh juga diketahui kesegaran dengan lihat belakang ketam. Bentuk tiga segi dekat belakang, jika masih kuat melekap, ia adalah ketam segar.
5. Bau Laut
Bau mestilah ada bau laut, kalau dah ada bau hanyir yang kuat tu.Faham-faham aje la ehh.
6. Cukup Sifat
Ketam haruslah masih cukup sifat . Contohnya, kaki ketam masih kuat melekat pada badan dan mata ketam mesti ada lagi.Ini menunjukkan ia masih segar dari laut.
7.Pilih Ketam Betina
Jika berpeluang untuk memilih, pilihlah ketam betina. Ini kerana ketam betina ni, ada telur dan selalunya ketam betina lebih banyak isi.

*Cara memilih ketam betina ialah dengan melihat pada bahagian belakang badan ketam yang selalunya lebih lebar, bulat dan bukan tirus. Ketam betina badan agak bulat dan sepit yang ada adalah lebih pendek dan kecil berbanding ketam jantan yang mempunyai sepit lebih besar. Dari segi warna, ketam betina warna agak kelabu-coklat, berbanding ketam jantan putih-kebiruan.
8. Tiada Tompok-Tompok
Bahagian bawah ketam yang segar selalunya putih bersih, kalau ada tompok-tompok atau warna selain putih, ia sudah agak kurang segar.
Sumber: The Ikan Dot Com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hilang Suami, Anak Serentak, Isteri Hamil Pengsan Berkali-kali Ketika Tunggu Jenazah

Isi Kandungan
ToggleMendekati waktu maghrib, Allahyarham Leftenan Maritim Md Firdaus Omar, 35 menunggang motosikal jenis Honda Vario bersama anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8. Bapa ini mahu menghantar anak lelakinya itu ke kelas mengaji.
Bagaimana pun hajat keduanya tak kesampaian, apabila sekitar jam 7 malam, mereka terlibat dalam kemalangan maut yang meragut nyawa keduanya di simpang tiga Jalan Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus.
Ketika ditempat kejadian, motosikal Allahyarham dikatakan keluar dari simpang, kemudian dirempuh Proton Preve dipandu lelaki berusia 38 tahun. Pelanggaran itu menyebabkan dua beranak ini tercampak dan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami. Sementara, pemandu proton Preve mengalami kecederaan ringan.
Pemergian Allahyarham Md Firdaus dan anak sulungnya ini tentunya memberi tamparan hebat buat Siti Hawa Mohd Sebari, 30, isteri dan juga ibu yang sedang hamil anak keempat ini.
Kehilangan Mengejut, Isteri Hamil Pengsan Beberapa Kali
Pemergian ini mengundang kejutan yang teramat buat Siti Hawa. Malah, sewaktu menunggu jenazah suami dan anaknya, tak berhenti air mata berlinang. Beberapa kali suri rumah ini pengsan, malah perlu ditenangkan ahli keluarganya sewaktu menunggu jenazah suami dan anak di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) .
Pemergian insan kesayangan secara serentak tentunya memberi kejutan buat mereka yang ditinggalkan. Allahyarham meninggalkan dua orang anak perempuan dan bayi yang masih dalam kandungan isterinya.
Ketika hayat masih ada, anak lelaki sulungnya rajin membaca Al-Quran. malah, kata bapa mentua arwah, Mohd Sebari Kabon, 72 cucunya itu juga cukup menghormati orang tua.
Allahyarham Md Firdaus pun cukup sayangkan anak sulungnya itu. Bila saja pulang bercuti baik di rumah keluarga dekat Tambun, Perak atau rumah keluarga mentua di Felda Adila, Kota Tinggi, dia pastu meluangkan masa bersama Allahyarham Muhammad Lutfil.
Hari Ini Kami Berpisah Buat Selama-lamanya
Sebak apabila bapa Allahyarham Md Firdaus, Omar Endut, 71 berkongsi rasa hati. Amat sukar untuknya menerima hakikat kehilangan anak lelakinya yang begitu bertanggungjawab dengan keluarga.
Tak pernah pun sekali bapa dan anak ini berpisah dalam hidup mereka. Sejak arwah masih kecil sehingga bergelar Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2008 belum pernah mereka berjauhan.

“Tapi hari ini (semalam) kami berpisah buat selama-lamanya.”
Biarpun bapa ini redha dengan qada dan qadar Allah SWT, kesedihan di hati tetap tak dapat ditahan-tahan.
Jenazah dua beranak ini kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Terengganu dan dihantar ke Kota Tinggi dengan van jenazah maritim dan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah perkuburan Islam Felda Adila.
APMM Johor turut memberikan penghormatan kepada jenazah dengan Majlis Istiadar Pengebumian dan Kawalan Jenazah yang dilaksanakan oleh 15 Pegawai penguatkuasa dan 17 Pegawai lain-lain Pangkat daripada Maritim Negeri Johor.
Sumber/Foto : Harian Metro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kuatnya Wanita Ini, Dalam Tempoh Dapatkan Surat Cerai Hanya Air Mata Peneman “Penat Berulang Ke Mahkamah, Jaga Anak Seorang Diri, Kekurangan Wang”

Kuatnya wanita ini, dalam tempoh dapatkan surat cerai hanya air mata sebagai peneman. Bukannya satu perkara mudah untuk seorang wanita yang sebelum ini setia menjadi seorang isteri akhirnya rumah tangga berantakan.
Melalui proses perceraian juga bukannya mudah perlukan masa dan wang untuk berulang alik ke mahkamah. Apatah lagi ibu tersebut memiliki lima orang anak.
Menerusi perkongsian wanita yang kuat juga bergelar ibu tunggal ini apa yang dilalui dahulu boleh dijadikan iktibar buat wanita di luar sana yang melalui perjalanan yang serupa dengan dirinya.
Puan Dzuriasikim Dzulkefli berkongsi kisahnya sewaktu melalui proses perceraian.
“Ketika baru berpisah dan waktu saya perlu pindah dari rumah sewa dulu, saya tak ada duit untuk bawa barang-barang dan sewa lori…
Ada seorang bidadari yang Allah hadirkan dalam hidup saya telah meminjam kan sejumlah wang tanpa saya pinta. Wang itu adalah bagi membantu saya untuk melangsaikan sewa tertunggak rumah sewa lama, bayaran pendahuluan, cagaran dan sewa rumah baru. Bakinya adalah untuk duit sewa lori.
Selepas tolak semua, baki wang yang tinggal tak lebih dari rm400 ringgit. Itu lah duit belanja yang tinggal. Itulah juga duit lori. Saya cari lori paling kecil yang mampu saya sewa.
Saya cari nombor-nombor lori sewa yang biasanya di tulis di bawah jambatan. Cari punya cari dapatlah lori sewa dengan harga dalam 200 Ringgit. Lori kecil sahaja.
Untuk lori size kecil, saya hanya dapat bawa:
- Meja makan uzur pemberian adik.
- Tempat TV uzur.
- 1 tilam.
- 1 katil yang saya beli waktu Ikea baru dibuka di Malaysia.
- Sedikit pinggan mangkuk.
- Beberapa biji periuk dan kuali.
- Beberapa helai toto.
- 1 peti ais uzur tapi masih boleh digunakan untuk simpan makanan.
- Beberapa biji bantal.
- 1 ketuhar gelombang mikrowave lama. Ketika itu usianya mungkin dalam 10 tahun. Tapi sampai hari ini pun masih boleh guna.
- 1 almari lama pemberian adik.
- Buku-buku sekolah anak. Kasut dan pakaian anak-anak yang kalau digilir pakai pun tak cukup untuk satu minggu.
- Mesin basuh masa tu rosak. Jadi tak bawa.
- Pakaian saya sendiri pun jika digilir pakai tak cukup untuk seminggu. Tapi pandai-pandai saya “mix and match” untuk cukup diulang pakai selama 5 hari bekerja. Saya juga hanya ada sepasang sahaja kasut kerja yang selesa (waktu pindah saya baru sebulan bekerja).
- Selebihnya kotak-kotak barangan plastik yang saya jual ketika itu.
Rasanya itu sahaja yang saya bawa. Peti TV yang anda lihat dalam gambar ini hanya saya beli setelah berapa bulan pindah dan saya beli dari wang gaji. Itu sahaja hiburan di rumah untuk anak-anak. Mereka belum ada telefon ketika itu.
Jadi saya pindah rumah tanpa dapat membawa perabut. Kerusi, almari, katil tempat tidur anak, pinggan pun tak bawa semua, sudu, garfu pun hanya bawa beberapa pasang sahaja, banyak yang tidak dapat saya bawa. Bukan kerana tidak dibenarkan oleh bekas pasangan. Tetapi kerana saya tak ada wang dan tidak ada kemampuan untuk membawanya.
Barangan yang saya bawa itu pun sebenarnya bukanlah barang-barang baru. Semuanya dalam keadaan uzur. Tetapi masih boleh digunakan.
Saya pada ketika itu kekurangan wang. Tidak banyak kawan. Tidak ada orang kenal. Tidak ada sesiapa pun. Tidak juga berniaga. Hanya baru dapat kerja.
Saya punya impian kecil, sama seperti wanita lain. Nak dapur yang ada kabinet cantik. Kecil pun tak apa. Asal dapat simpan periuk kuali saya yang buruk. Jadi akan tersorok.
Alhamdulillah, di rumah sewa baru ketika itu ada kabinet comel yang cukup untuk saya menyimpan periuk dan kuali. Jadi dapur nampak kemas dan rapi.
Lain-lain….
Saya dan anak-anak harungi hidup dengan bersusah payah dalam segala perkara. Tidur di lantai bertahun. Makan berjimat cermat. Saya ingat lagi, saya kena kira duit untuk beli KFC atau McD buat anak-anak saya. Saya anggap makanan itu mahal. Kami boleh makan begitu sebulan sekali sahaja untuk beberapa tahun.
Kuatnya Wanita Ini, Dalam Tempoh Dapatkan Surat Cerai Hanya Air Mata Peneman
Melalui proses perpisahan adalah tidak mudah. Saya perlu berjuang untuk banyak perkara seperti wanita lain yang sering anda lihat sedang berjuang hari ini. Bezanya saya tidak menuntut apa-apa. Menerima apa sahaja takdir dan ketentuan Allah dengan terbuka dan penuh redha. Bukanlah kerana saya kuat, tetapi kerana sudah terlalu penat.
Bukan juga kerana saya sudah kaya (kerana sudah mulai bekerja), tetapi kerana yakin dan percaya dengan rezeki Allah.

Proses saya turun naik mahkamah bukan sahaja memakan wang, waktu dan tenaga. Bahkan sangat menguji emosi, hati dan jiwa. Kadang saya datang awal pagi untuk seisi penghakiman, tetapi apabila bekas pasangan tidak muncul, ia harus dibawa ke petang pula.
Sebagai seorang ibu yang perlu menjaga 5 orang anak, saya berusaha untuk menjimatkan cuti kerja. Jadi bila ada seisi di mahkamah yang perlu dihadiri, saya ambil cuti separuh hari. Tetapi bila seisi saya terpaksa dianjakkan ke sebelah petang, saya perlu hubungi ketua jabatan untuk memaklumkan saya perlu ambil cuti sehari.
Saya disindir. Dimarah. Dianggap sebagai tidak bertanggungjawab. Ketika masuk ke pejabat saya dipanggil. Kata ketua jabatan, kakaknya juga telah melalui proses cerai dengan sangat mudah. Dia tidak perlu ke mahkamah pun. Hanya perlu bayar yuran guaman 5 ribu ringgit (ketika itu). Mengapa saya perlu pergi berkali ke mahkamah dan masih tidak selesai.
Saya tak ada jawapan. Rasa lemah. Kerana penat berulang ke mahkamah dan menunggu belum habis. Penat jaga anak seorang diri. Penat berjalan kaki. Penat kena pinjam kereta. Kadang sewa kereta murah. Kadang kereta sewa pun rosak. Datang ke pejabat dimarah pula. Saya rasa orang susah dan tak ada wang tidak ada kuasa untuk berkata-kata. Yang ada hanya airmata.
Ini hanyalah sebahagian yang perlu saya lalui sepanjang tempoh untuk mendapatkan surat cerai.
Dipendekkan cerita, saya tidak mendapat apa-apa pun “hadiah” dari perceraian. Ketika hakim bertanya kepada bekas pasangan saya, apakah dia mahu memberikan saya hadiah kerana telah menjadi isteri kepadanya selama 20 tahun dan melahirkan 5 orang cahayamata untuknya, dia berkata, tidak ada. (saya mohon tidak ada sebarang cemuhan ke atas bekas pasangan saya ya. Dia pun sudah meninggal dunia. Tujuan perkongsian ini hanyalah untuk mendidik hati wanita agar bertawakal kepada Allah. Saya sentiasa maafkan semua orang dalam hidup saya).
Hakim bertanya kepada saya, apakah saya tidak mahu menuntut apa-apa dari bekas pasangan. Saya menjawab dengan suara perlahan kerana menahan sedih. Perasaan saya sangat hiba. Bukan kerana sayang untuk melepaskan (saya sudah 20 tahun menangis). Tetapi mengenangkan anak-anak, kehidupan, pengakhiran sebuah pernikahan, macam-macam.
Saya kata,
“Tak ada yang arif. Walau pun saya sedang sangat susah, tetapi saya yakin dengan rezeki Allah”.
Itu sahaja jawapan saya.
Saya ingat jawapan itu hingga hari ini.
Saya anggap perpisahan adalah sebuah “hadiah”. Untuk rumahtangga tidak aman yang kisahnya tidak boleh saya buka.
Sejak hari itu, hidup saya fokus kepada anak, pengajian mereka, memperbaiki taraf hidup sedikit demi sedikit. Dengan sangat perlahan. Apa yang anda lihat pada hari ini bukanlah datang dalam sehari dua.
Ia memerlukan banyak airmata, usaha, berjaga malam, kudrat, doa yang berterusan, keyakinan kepada Tuhan, membawa saya melalui banyak penghinaan, berjumpa dan belajar tentang hidup dengan banyak orang, sangat banyak kali dianiaya orang, ya Allah. Tak tertulis.
Saya hanya ingin berkongsi, bahawa segala harta adalah pinjaman. Jika tak dapat semula tak mengapa. Jika ada, kita berlapang dada. Jika orang tidak menghargai, kita pergi perlahan-lahan. Dunia ini hanyalah persinggahan.
Kalau saya sedih, saya selalu ingatkan diri saya bahawa saya tidak akan ada selamanya. Airmata ini pun tidak akan lama. Saya yakin dengan takdir Allah 100 peratus yang tidak akan pernah menzalimi kita. Cuma lambat atau cepat sahaja penentuannya.

Sehingga ke hari ini, saya tidak pernah kesal untuk berbuat baik walau tidak dihargai dan tidak dibalas dengan kebaikan.
Ini gambar rumah lama saya. Bertahun saya tinggal di sini dan bina kebahagiaan baru. Dan itu anak bongsu saya yang masih kecil ketika itu.
Saya doakan agar wanita semua bersabar selalu. Sungguh hadiah sabar itu sangatlah indah.
Jangan menangis.”
Begitulah kuatnya wanita ini, benarlah jangan ada dendam dan maafkanlah mereka yang pernah bersalah pada anda.
Baca Disini : Linda Jasmine Lalui Kehidupan Dengan Baik Sebagai Ibu Tunggal “Tiada Masalah Dengan Que. Kami Berpisah Secara Baik”
Kuat sungguh dugaan bintang lagenda Uji Rashid ini. Walau sudah berusia namun amat tabah meneruskan kehidupan mencabar dalam menjaga anaknya Cico Harahap yang kurang sihat.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Mahu Suami Terabai Isteri Usaha Carikan Jodoh, Ikhlas Bermadu

Isi Kandungan
ToggleBukan mudah bagi seorang wanita bergelar isteri untuk berkongsi kasih suami. Dalam erti kata lain meneruskan kehidupan berpoligami bersama dengan wanita lain.Namun, atas rasa tanggungjawab tak mahu suami terabai, seorang isteri sanggup berusaha mencarikan jodoh, menyunting wanita lain buat suaminya, malah tinggal sebumbung. Memang satu dalam sejuta.
Perkenalannya bermula melalui laman sosial namun dengan izin Allah SWT membuatkan hati seorang isteri terbuka untuk melamar kenalan terbabit yang juga ibu tunggal menjadi madunya.
Khuzatul Atiqah Abu Seman, 31, memilih untuk melamar Nur Fathonah Abdul Rahim, 30, sebagai isteri kedua suaminya, Samuel Dzul, 29, sebelum pasangan terbabit selamat diijab kabul, baru-baru ini.
Tak Mahu Kehidupan Suami Terabai
Ia bukan sesuatu yang mudah namun bagi Khuzatul Atiqah yang sarat mengandung anak sulungnya kerana dia mahukan kehidupan suami tidak terabai serta mendapat layanan adil.
Lebih menggembirakan apabila mereka memilih untuk tinggal sebumbung di Shah Alam, Selangor yang bukan sahaja membolehkan mereka beribadah bersama-sama malah berkongsi kasih.
“Selepas disahkan mengandung, saya tidak sihat. Suami terpaksa dukung setiap hari untuk naik ke pejabat di tingkat tiga. Apabila melihat wajah suami, hati saya terdetik untuk membantunya dan saya berusaha mencari seorang lagi isteri untuknya.
“Saya terfikir jika keadaan ini berterusan siapa hendak jaga suami. Lantaran, saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh untuknya.
“Ramai wanita yang saya temui, ada antara mereka masih anak dara tetapi apabila memberitahu niat saya, mereka memberi pelbagai alasan. Hinggalah saya bertemu Nur Fathonah dan saya melamarnya untuk suami,” katanya.
Lamaran Untuk Suami
Katanya, pertemuan berlaku tahun lalu dan pada ketika itu, Khuzatul Atiqah tidak berbincang mengenai niatnya sehingga pertemuan kedua beberapa bulan kemudian.
“Ketika itu, saya memegang tangannya dan memberitahu niat saya. Saya tahu dia ibu tunggal dua anak dan melihat kepada keperibadiannya selain solat istikharah memohon petunjuk daripada-Nya.
“Dia (Nur Fathonah) tidak terkata apa-apa dan hanya memandang mata saya. Saya jelaskan kepadanya kebaikan serta pendapat mengenai berpoligami. Alhamdulillah, dia terima lamaran hingga disatukan,” katanya.
Pernah Tolak Poligami
Sebelum ini, Khuzatul Atiqah memuat naik status kisah dia membantu mencarikan calon untuk suaminya.Coretan itu mendapat pujian ribuan netizen malah ada yang memuji kemuliaan hatinya demi memastikan kehidupan suaminya terjaga sepanjang masa.
“Sesungguhnya… cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mentua ada 3 orang isteri, di mana arwah ibu adalah isteri pertama.
Dipendekkan cerita, sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga mentua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai keluarga poligami yang harmoni,” ujarnya.
Khuzatul Atiqah dia tidak menjangka status dimuat naik itu dikongsi warga maya hingga tular di media sosial.

“Kehidupan bermadu saya banyak pelajari daripada keluarga mentua. Bapa mentua saya berkahwin tiga dan saya masih mempunyai tiga ibu mentua,” katanya.
Reaksi Suami
Ditanya apa reaksi suaminya apabila dia mahu mencari isteri kedua, Khuzatul Atiqah berkata, suaminya tidak banyak tanya dan sekadar melemparkan senyuman.
“Semua sudah selesai, saya bukan sahaja menghadiahkan sesuatu untuk suami malah turut membantu Nur Fathonah yang sebelum ini bergelar ibu tunggal,”
“Status yang dimuat naik itu kerana mahu menceritakan perkara sebenar. Ini kerana, ada yang salah faham dan melemparkan fitnah kepada madu saya,” katanya.
Ketiga-tiga pasangan terbabit menetap bersama di rumah di Shah Alam dengan membuka sebuah studio rakaman di Seksyen 15, Shah Alam.
MW:Bukan mudah bagi seorang wanita berkongsi suami, malah mencarikan isteri baru pada suami tersayang. Memang satu dalam sejuta. Apa pun bermadu itu tiada salahnya, jika caranya betul dan atas keredhaan isteri.Selamat berbahagia dan menempuh kehidupan baru.
Sumber: Hmetro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI