
Air mata menitis lagi di Mahkamah Koroner hari ini apabila seorang saksi kanak-kanak tampil memberi keterangan tentang detik-detik akhir Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, sebelum remaja itu ditemui tidak bernyawa.
Menurut saksi yang merupakan pelajar sekolah sama, dia terlihat empat pelajar senior memasuki bilik Zara Qairina pada malam 15 Julai lalu. Zara dikatakan tiba terlebih dahulu di bilik tersebut sekitar jam 10.20 malam.
Peguam Joan Goh memberitahu, saksi itu sempat melihat seorang pelajar senior berbual dengan Zara sebelum beberapa lagi pelajar masuk menyusul.
“Saksi memaklumkan, ada senior yang marah Zara sambil menengking kuat-kuat malah terlepas kata-kata kesat ‘sial’. Seorang lagi senior hanya menegur Zara,” katanya.
Lebih memilukan, saksi itu juga memberitahu rakan sebilik Zara ketika itu sempat membuka almari dan menemui sehelai bendera milik pelajar senior, dipercayai punca Zara dimarahi pada malam kejadian.
Ditanya mengenai perwatakan Zara, saksi menggambarkan arwah sebagai seorang gadis yang ceria dan disenangi, meskipun mereka tidak rapat kerana berlainan kelas. Namun dia tidak dapat mengesahkan sama ada Zara pernah menjadi mangsa buli atau dera di asrama.
Prosiding inkues ini diteruskan dengan keterangan saksi ke-16 yang juga kanak-kanak, menjadikan ia saksi kelapan daripada kalangan pelajar sendiri.
Sumber: https://www.kosmo.com.my/
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE