“Saya Mahu Dunia Lihat, Batik Itu Elegan & Hidup”. Anuar Faizal Bawa Batik Malaysia Ke Arus Baharu

Share

Dalam dunia fesyen moden yang sentiasa berubah, pereka tersohor Anuar Faizal membuktikan bahawa batik bukan sekadar warisan, tetapi juga medium seni yang boleh terus berkembang dengan jiwa dan gaya masa kini.

Menerusi acara Batik Lestari 2025, anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang kini memasuki tahun kedua, Anuar tampil berani mengangkat cabaran memodenkan batik tradisional melalui koleksi eksklusif berjudul “The Renaissance of Batik Malaysia”  14 rekaan yang menggambarkan keanggunan, evolusi dan semangat baharu fesyen tempatan.

Namun di sebalik kemilau fabrik dan potongan moden itu, ada kisah perjuangan dan keberanian yang jarang diceritakan.

“Terus terang, saya bukan pengusaha batik. Jadi bila pertama kali menerima cabaran ini, agak tertekan juga. Tambahan pula saya bekerjasama dengan pembuat batik yang hebat dan berpengalaman, jadi ada beberapa perkara yang perlu saya patuhi,” ujar Anuar, yang hanya diberi 10 hari untuk menyiapkan semua rekaan.

Dalam keterbatasan masa, beliau bijak bereksperimen dengan pelbagai teknik seperti batik lukis, batik cop dan cetakan digital, menyatukan tradisi dan teknologi dalam satu naskhah seni.

Menariknya, projek ini turut menjalin kolaborasi bersama Penjara Marang, Penjara Kajang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Galeri Diraja Tunku Ja’afar, yang bersama-sama menghasilkan batik bermotifkan bunga Lado, simbol kekuatan dan keanggunan wanita Melayu klasik.

“Saya mahu sampaikan mesej bahawa batik ini untuk semua. Ia boleh digayakan dalam pelbagai bentuk — dari sari moden, trench coat, baju kasual hingga ke busana formal. Asalkan kita faham karakter coraknya, batik akan sentiasa nampak cantik.”

Baginya, memodenkan batik bukan bermaksud meninggalkan tradisi. Sebaliknya, ia adalah langkah berani untuk memperluas tafsiran terhadap keindahan warisan agar lebih relevan kepada generasi baharu.

“Saya sangat menghormati pengusaha batik tradisional. Sebab itu, saya tak keluar daripada motif dan warna asal. Saya hanya menyesuaikan pendekatan supaya batik lebih mudah diterima oleh generasi muda.”

Bagi Anuar, batik bukan sekadar corak di atas kain. Ia adalah titik pertemuan budaya serantau yang menyatukan negara-negara ASEAN sebuah bahasa seni yang difahami tanpa perlu diterjemah.

“Batik ini ‘connecting point’ antara budaya di rantau ini. Sebab itu saya aktif menyertai acara fesyen di luar negara, bukan untuk melompat ke sana-sini, tapi kerana saya mahu dunia kenal batik Malaysia. Saya tak mahu jadi jaguh kampung. Saya mahu bawa identiti kita ke pentas dunia.”

Langkah itu kini menjadi nyata apabila koleksi The Renaissance of Batik Malaysia bakal diperagakan di Manila, memperkenalkan batik Malaysia sebagai simbol elegan, lestari dan berinovasi di mata dunia.

Dengan semangat dan visi yang tidak pernah padam, Anuar Faizal bukan sekadar menjenamakan semula batik, tetapi menyuntik nafas baharu kepada seni warisan, agar terus hidup dan disanjung generasi mendatang dari tangan tradisional ke pentas global.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Rosmah Idayu