Setiap anak menyimpan rindu yang tidak pernah padam, apatah lagi apabila kasih itu telah pergi buat selama-lamanya.
Itulah yang dirasai oleh Muhammad Alif Ajmal Hamidan yang menyifatkan peluang ini bukan sekadar rezeki, tetapi doa lama yang akhirnya dimakbulkan Allah SWT.
“Saya menyimpan rindu dalam diam dan mendoakan satu hasrat yang bertahun-tahun dipendam. Ingin menziarahi pusara ibu bapanya di Tanah Suci Mekah.
Dalam nada sebak, Alif berkongsi bahawa kedua-dua ibu bapanya telah kembali ke rahmatullah di Mekah, tempat yang menjadi destinasi akhir buat insan paling disayanginya.
“Mak dan ayah meninggal dunia di Mekah. Ayah bekerja di sana, dan mak pula ikut menemaninya selepas bersara sebagai seorang guru. Kami adik-beradik tinggal di sini. Tahun 2018 mak pergi menyambut panggilan Illahi. Kemudian pada tahun 2022 pula, ayah pula menyusul akibat serangan jantung,”ujar Alif ketika ditemubual media.
Sejak saat itu, Alif hanya mampu berdoa agar suatu hari diberi rezeki untuk ke Tanah Suci. Bukan untuk melancong atau membeli-belah seperti kebanyakan orang, tetapi hanya untuk menziarahi pusara insan yang membesarkannya.
“Kalau bukan untuk diri sendiri pun… cukuplah kalau dapat tengok kubur mereka. Itu pun dah cukup besar nikmat.”ujar alif.
Seperti doa yang tersembunyi dalam hati, Alif akhirnya menemui sinar apabila terlihat satu pautan kempen tajaan umrah untuk golongan asnaf. Dan mimpi itu akhirnya menjadi nyata apabila Alif terpilih sebagai salah seorang daripada 15 individu asnaf terpilih, daripada ribuan calon seluruh negara, menerusi kempen Umrah 1,000 Asnaf itu.
“Saya isi saja borang tu. Dalam hati saya kata, kalau Allah nak, Dia akan buka jalan. Tapi saya tak letak harapan tinggi pun. Lepas dua bulan, mereka call… ajak temuduga. Masa tu saya dah tak boleh berkata-kata. Rasa macam mimpi,” katanya, sambil menghela nafas panjang.
Apabila ditanya tentang perasaannya kini, Alif hanya mampu berkata dia amat terharu dan terasa diri amat kerdil.
“Terharu sangat. Saya rasa diri saya kecil, tapi Allah tetap pandang saya. Saya tak tahu nak balas macam mana nikmat ini. Sampai sekarang pun saya masih terfikir betul ke saya diberi peluang ke Mekah dan ziarah pusara mak dan ayah?”
Momen sebak jelas terasa apabila Alif berjaya menjejak pusara kedua ibu bapanya yang terletak di salah sebuah tanah perkuburan Islam di Tanah Haram. Langkah pemuda berusia 35 tahun itu penuh pengharapan sambil memanjatkan doa dan rasa syukur akhirnya hajat menziarahi pusara kedua orang tuanya akhirnya dimakbulkan olehNya.
Meskipun dapat menziarahi pusara dalam jangka masa yang sekejap, namun wajah penuh syukur jelas terbayang di wajahnya yang sudah sekian lama menantikan momen istimewa itu.
Yang pasti, doa yang tidak pernah putus disampaikan buat kedua-dua orang tuanya dipanjatkan setiap masa. Peluang menziarahi pusara direalisasikan sememangnya menyentuh jiwa dan naluri seorang insan bergelar anak.
Bagi Muhammad Alif Ajmal, peluang menunaikan umrah ini bukan sekadar ganjaran spiritual, tetapi penghormatan terakhir buat kedua ibu bapanya, yang pernah memegang tangan kecilnya suatu masa dahulu. Kini menanti ziarah anak-anak di bumi suci.
Alif bukanlah berasal dari keluarga berada. Kehidupannya sederhana, dan menanggung kos untuk ke Tanah Suci selama ini hanya tinggal angan-angan dalam bisikan doa. Namun, kasihnya pada ibu dan ayah tak pernah luntur walau mereka telah tiada. Dia memegang erat kenangan dan tanggungjawab sebagai anak meski hanya untuk menziarahi pusara.
“Saya tak sangka… saya ni siapa? Tapi Allah pandang juga saya. Ini bukti, kalau kita ikhlas minta, Allah akan jawab pada waktu yang paling tepat.”
“Allah takdirkan dua orang tua saya meninggal dunia di sana. Saya tak pernah ziarah kubur mereka. Jadi memang saya sentiasa berdoa, berharap sangat diberi peluang ke Tanah Suci untuk ziarah mereka di sana. Mulia sebenarnya program ini, membantu orang yang tak berkemampuan menunaikan umrah.”
“Orang lain mungkin ke sana untuk umrah dan haji, saya pula, cuma nak ziarah mak dan ayah. Nak duduk sekejap di sisi pusara mereka, nak kirim doa depan-depan. Itu je hajat saya sejak mak ayah pergi…”ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.